metadrama | metadrama | Kesusasteraan | Tiada | Bentuk drama yang sengaja dipersembahkan untuk menarik perhatian khalayak, mengenai kehadirannya sebagai sebuah karya rekaan. Hal ini dilakukan melalui ujaran secara langsung kepada penonton dalam bentuk prolog, epilog, atau �lakonan dalam lakonan� dalam sesebuah drama. Situasi ini memungkinkan penonton mentafsir lebih lanjut tentang drama itu sebagai suatu bentuk seni. Justeru, metadrama menyedarkan penonton bahawa apa yang disaksikan di atas pentas hanyalah sebuah cereka. Contoh metadrama ditemui dalam karya Luigi Pirandello yang berjudul Six Characters in Search of an Author (1921). Lihat juga metafiksyen. |
counter culture | budaya saingan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Budaya yang bersaing dengan budaya lain yang menjadi ikutan majoriti masyarakat. Budaya ini dibentuk dan digerakkan oleh sekelompok minoriti ahli masyarakat yang cuba mempertahankan nilai tradisional dan tempatan yang terhakis akibat pengaruh nilai luar yang semakin menular ke dalam masyarakat tersebut. Kelompok yang menggerakkan budaya ini akan menggunakan pelbagai mekanisme untuk menyaingi budaya majoriti, antaranya melalui bahasa, organisasi, muzik, ideologi, penampilan dan juga tingkah laku sebagai langkah menyedarkan masyarakat. Contohnya, irama muzik etnik sebagai budaya saingan kepada irama muzik Barat yang digemari oleh remaja di negara ini. |
humanism | humanisme | Kesusasteraan | Tiada | Fahaman yang mengagungkan status dan sifat-sifat manusia. Istilah �humanis� pada asalnya merujuk kepada sarjana ilmu kemanusiaan pada Zaman Pembaharuan (Renaissance) pada abad ke-16. Secara khususnya, hurmanis merujuk kepada cendekiawan Eropah yang mengkaji kebangkitan semula budaya dan sastera Yunani dan Rumawi. Tumpuan mereka adalah pada karya klasik yang dihasilkan oleh penyair, dramatis dan ahli falsafah seperti Cicero, Aristotle dan Plato. Hasil daripada kajian itu, timbul fahaman baharu tentang manusia yang berbeza daripada pandangan Kristian yang lebih dominan. Fahaman ini cenderung mengagungkan sifat-sifat manusia, khususnya kebolehan menaakul. Bentuk humanisme yang ekstrem menganggap manusia sebagai kayu ukur bagi segala kewujudan yang lain. Umumnya, humanisme menyedarkan manusia tentang kuasa dan bakat mereka yang berpeontesi menjadikannya lebih beradab. Pada zaman yang kemudian, wujud humanisme Kristian seperti yang terpancar dalam penulisan Sidney, Bacon, Spenser dan Milton. Humanisme ini lebih memberatkan keunggulan nilai dan pengalaman manusia serta mengutamakan kesempurnaan kehidupan duniawi. Sikap humanisme ini bertentangan dengan sikap Kristian Zaman Pertengahan yang melihat manusia sebagai orang yang berdosa dan terkutuk, justeru mereka mengharapkan penyelamatan daripada juruselamat. Dominasi sains dan industri pada abad ke-19 mendorong ramai pengarang, terutamanya Matthew Arnold mementingkan nilai-nilai humanis dalam usaha untuk mewujudkan pendidikan yang seimbang. Humanisme Baharu Amerika pada tahun 1920-an dan 1930-an juga menegaskan tuntutan yang sama terhadap nilai humanis tersebut. Dengan idealisme tentang manusia yang seimbang, golongan ini menentang dakwaan sains. Humanisme jenis ini amat berpengaruh dalam sastera dan budaya Anglo-Amerika. Idea pusatnya adalah mengenai individu yang utuh dan bebas sepenuhnya sebagai penentu nasibnya sendiri. Pemikiran humanisme tentang keagungan manusia umumnya kini dicabar oleh pendirian pascastrukturalisme. Golongan pascastrukturalis lebih cenderung menggantikan konsep keutuhan dan kebesaran manusia dengan idea �subjek� yang dicirikan oleh fragmentasi dan ketidakutuhan. Sebagai �subjek�, manusia bukan lagi penentu nasibnya sendiri. |
prediction/ forecast | ramalan | Kesusasteraan | Tiada | Jalan cerita atau perwatakan yang dapat dijangkakan oleh pembaca. Contohnya, sesuatu cerita boleh diramalkan sekiranya jalan ceritanya biasa atau lumrah bagi pembaca. Contohnya, dalam kebanyakan cereka Melayu, lelaki berumur yang berjawatan tinggi sering digambarkan sebagai seorang yang suka berpoligami. Kadang-kadang, bayangan depan sangat ketara sehingga pembaca dapat meneka perkara yang akan berlaku seterusnya. Unsur suspens yang ingin diwujudkan oleh pencerita tidak kesampaian. Dari segi perwatakan watak stereotaip seperti emak tiri (ibu garang yang selalu mendera anak tiri) dan nenek kebayan adalah beberapa potret yang dapat diramalkan oleh pembaca sehingga tiada lagi kejutan yang dapat dilakukan penulis. Contohnya, dalam novel berjudul Mereka yang Tertewas oleh Hasanudin Md. Isa. Novel ini mengisahkan watak Lebai Pa yang distereotaipkan sebagai seorang alim dan kuat agama yang ingin menyedarkan masyarakat sekelilingnya untuk kembali ke jalan Allah SWT. |
existentialism | eksistensialisme | Kesusasteraan | Tiada | Fahaman bercorak falsafah atau keagamaan. Fahaman ini menekankan kewujudan dan pembentukan diri manusia, berkaitan dengan sifatnya, tempat dan fungsinya dalam dunia, serta hubungannya dengan Tuhan. Fahaman ini dikembangkan dalam agama dan falsafah, namun unsur-unsurnya banyak meresap ke dalam kesusasteraan. Fahaman ini dimulakan oleh Soren Kierkegaard (1813-55) melalui karyanya Fear and Trembling (1843), The Concept of Dread (1844) dan Sickness Unto Death (1848). Kierkegaard cuba menangani masalah keresahan manusia dengan menampilkan idea bahawa �kewujudan menerusi Tuhan dan dalam Tuhan� boleh membawa kelegaan, bukannya keresahan dan kekecewaan. Oleh itu, manusia dapat mencapai ketenangan fikiran dan rohani. Idea ini berterusan dalampemikiran Kristian hingga abad ke-20. Pendukung utama eksistensialisme Kristian ialah Gabriel Marcel, seorang ahli falsafah dan dramatis yang dikatakan memperkenalkan fahaman eksistensialisme ke dalam falsafah Perancis. Pemikiran eksistensialisme selepas Kierkegaard dikembangkan pada awal abad ke-20 oleh ahli falsafah Jerman, iaitu Martin Heidegger dan Jaspers. Umumnya, pemikiran mereka dianggap punca berlakunya eksistensialisme ateistik. Suatu unsur penting dalam eksistensialisme ialah idea yang menyatakan bahawa kewujudan mendahului dan mengatasi esensi atau inti pati diri. Amat diyakini bahawa manusia hidup berdasarkan kewujudannya dan membentuk dirinya sendiri dengan memilih apa yang dilakukan, dan apa yang tidak dilakukan. Jean-Paul Sartre dari Perancis merupakan pengasas eksistensialisme moden. Ajaran beliau yang disampaikan menerusi novel, drama, dan penulisan falsafah merupakan jenis eksistensialisme yang amat berpengaruh. Menurut Sartre, manusia dilahirkan dengan kekosongan. Manusia bebas untuk tinggal dalam kekosongan itu dan menghayati makna kewujudan yang pasif, yakni dalam keadaan �separuh sedar� tentang dirinya. Sebaliknya, manusia juga boleh keluar daripada keadaan ini. Manusia menjadi lebih sedar akan dirinya, tetapi mungkin mengalami keperitan metafizik dan moral. Pengalaman ini akan menyedarkan manusia tentang sifat absurd pada kewujudannya, justeru mereka berasa resah dan hampa. Namun, tenaga yang dihasilkan oleh kesedaran ini membolehkan manusia �mengheret dirinya keluar daripada lumpur�. Pada masa inilah, kehidupan mereka benar-benar bermula dan manusia menjadi lebih tulen. Dengan menggunakan kuasa memilih, manusia dapat memaknakan kewujudannya, dunia persekitarannya serta bertanggungjawab ke atasnya. Contoh karya eksistensialisme dalam kesusasteraan Barat ialah The Stranger oleh Albert Camus dan Nausea oleh Sartre. Contoh karya sastera daripada alam Melayu ditemui dalam novel Kering Iwan Simatupang. |