supreme | terutama | Sains Politik | Politik Perbandingan | Kedudukan tertinggi dalam sesuatu hierarki sama ada dalam bentuk pangkat, gelaran dan darjah kualiti. Kedudukan tertinggi membawa autoriti yang paling berkuasa dan mendapat penghormatan dari orang bawahan. Kedudukan ini meletakkan individu, badan atau organisasi sebagai yang terunggul dan tidak ada individu atau badan lain yang dapat mengatasinya. Sebagai contoh, Yang di-Pertuan Agong memiliki kedudukan yang tertinggi dalam sistem pemerintahan dan perundangan di Malaysia. Sinonim badan tertinggi/tertinggi. |
populist group | kumpulan populis | Sains Politik | Politik Perbandingan | Kelompok yang berjuang untuk kepentingan golongan bawahan atau orang kebanyakan. Gerakan ini sering menggunakan isu kesusahan golongan tani, buruh dan pekerja bawahan lain untuk mendapatkan sokongan daripada golongan popular ini. Isu pekerjaan dan tempat kerja, perumahan dan kesesakan, pendapatan dan kemiskinan serta isu penindasan dan kebebasan merupakan isu utama yang dilaungkan oleh kelompok ini. Kumpulan populis berkembang di Amerika Syarikat pada hujung abad ke-19 yang banyak berjuang untuk kepentingan golongan tani. Contohnya Parti Populist yang dibentuk pada tahun 1892 di Amerika Syarikat. |
repression | penekanan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Tindakan menindas atau tidak memberi peluang oleh golongan yang berkuasa terhadap golongan yang lebih subordinat kedudukannya seperti buruh, petani, penyewa atau orang kebanyakan. Tindakan ini menyebabkan golongan bawahan terpaksa akur kepada golongan atasan yang mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan hasil hubungan yang tidak seimbang ini. Golongan yang ditindas juga tidak diberi hak yang sewajarya tetapi terpaksa berada dalam hubungan ini kerana sesuatu keperluan seperti mata pencarian. Contohnya, pemodal melakukan penindasan terhadap golongan buruh dengan memberi gaji yang murah, masa kerja yang panjang dan tempat kerja yang buruk. |
sociological novel | novel sosiologikal | Kesusasteraan | Tiada | Novel yang memaparkan masalah sosial atau politik dalam sesuatu masyarakat atau kehidupan. Tekanan persekitaran biasanya mempengaruhi watak dan peristiwa dalam novel ini. Novel sosiologikal juga memaparkan masalah sosiopolitik di samping menyarankan pembaharuan dan perubahan bagi menangani setiap permasalahan tersebut. Contohnya novel bertajuk Empangan oleh Zakaria Ali. Novel ini mendedahkan penindasan golongan korporat gergasi terhadap kelas bawahan dan orang kampung. Lihat juga kritikan sosial. |
dekorum | ketertiban | Kesusasteraan | Tiada | Prinsip yang menekankan pentingnya komponen sesebuah karya sastera saling berpadanan antara satu sama lain. Contohnya, isi, bentuk, watak, latar, aksi dan gaya. Prinsip ini bertolak daripada teori klasik Yunani dan Romawi yang mewujudkan hierarki bagi jenis tulisan serta gaya yang sepadan dengannya. Umpamanya, tragedi dan epik yang dianggap bentuk sastera yang tinggi hanya wajar memperkatakan perkara yang serius, berlegar pada watak raja, orang bangsawan atau mereka yang mempunyai kedudukan penting sahaja dengan menggunakan bahasa yang tinggi dan halus. Sebaliknya, komedi yang dianggap sebagai bentuk sastera yang rendah perlu menggarap permasalahan yang sederhana dan lucu, memaparkan watak orang biasa atau bawahan dengan menggunakan bahasa harian yang kasar. Namun, prinsip ini telah ditentang oleh kebanyakan pengarang. Pengarang berasakan mereka lebih bebas berkarya dan memanfaatkan bentuk dan gaya yang berbeza dalam karya mereka. Ketertiban berasal daripada bahasa Latin decorum bermaksud �yang sesuai�. Lihat juga diksi, gaya, konvensi sastera, neoklasisme. |
petit bourgeois | borjuis kecil | Sains Politik | Politik Perbandingan | Kelas dalam masyarakat yang berada di pertengahan antara proletar dan borjuis. Mereka terdiri daripada golongan sederhana seperti pekedai, petani yang memiliki tanah dan berupaya bekerja sendiri, golongan yang menghasilkan pertukangan dan mengusahakan pengeluaran kecil. Golongan ini bukan merupakan buruh kerana tidak bekerja dengan orang lain dan bukan juga borjuis kerana tidak mengeksploitasi tenaga buruh lain. Karl Marx menyatakan bahawa kelas borjuis kecil terdedah kepada proses pemproletaran yang dikuasai oleh borjuis yang lebih kaya dan lama-kelamaan akan terhapus. Contohnya, golongan usahawan kecil seperti pekedai dan peraih. Sinonim borjuis bawahan. |