non-governmental organization | organisasi bukan kerajaan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Pertubuhan sukarela yang dibentuk untuk memperjuangkan kepentingan sesuatu kelompok. Pertubuhan ini sering disebut sebagai kumpulan pendesak yang bergerak dengan menganjurkan pelbagai aktiviti yang mewakili kepentingan masing-masing. Sifat utama pertubuhan ini adalah untuk mempengaruhi dasar kerajaan tetapi tidak bertujuan menyertai persaingan merebut kuasa pemerintahan, dan ini membezakannya dengan parti politik. Kumpulan ini menggunakan pelbagai cara untuk mempengaruhi keputusan kerajaan seperti melobi, menggunakan media, menulis surat kepada pihak berkuasa, membuat petisyen atau melancarkan tunjuk perasaan. Walau bagaimanapun, pertubuhan ini tidak melaksanakan gerakan secara keganasan. Contohnya, pertubuhan alam sekitar seperti Sahabat Alam dan Pertubuhan Alam Semula Jadi Malaysia (MMS), pertubuhan pengguna seperti Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan pertubuhan buruh pula seperti Persatuan Pekerja Kerajaan Awam (Ceupacs) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). |
voluntary organization | organisasi sukarela | Sains Politik | Politik Perbandingan | Pertubuhan yang dibentuk bagi melakukan kerja-kerja sukarela untuk kepentingan orang ramai. Organisasi seperti ini lazimnya mempunyai matlamat yang baik iaitu untuk memberi kemudahan atau memperjuangkan sesuatu kepentingan yang tersendiri seperti pemeliharaan alam sekitar, perjuangan hak asasi, pembelaan hak wanita, perjuangan kepentingan buruh atau pergerakan pengakap, pandu puteri, palang merah dan kadet polis. Badan ini boleh berbentuk kecil-kecilan seperti persatuan di kampung atau boleh juga bersifat pertubuhan yang besar dan global seperti Pertubuhan Kehidupan Binatang Liar Sedunia (WWF). Anggota yang menganggotai pertubuhan ini tidak memikirkan matlamat keuntungan atau kepentingan kewangan sebaliknya bergerak untuk memenuhi matlamat pertubuhan. Contohnya, Persatuan Pengguna Pulau Pinang merupakan organisasi sukarela yang aktif bergerak untuk memelihara kepentingan pengguna di Pulau Pinang khasnya dan di Malaysia amnya. |
national convention | konvensyen kebangsaan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Persidangan atau perhimpunan yang diadakan aleh sesebuah pertubuhan untuk membincangkan perkembangan tahunan, pemilihan jawatan penting dan merumus dasar-dasar utama bagi pertubuhan tersebut. Parti politik lazimnya mengadakan konvensyen kebangsaan tahunan bagi memenuhi tujuan ini. |
nominating convention | konvensyen pencalonan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Perhimpunan khas yang diadakan oleh sesebuah pertubuhan untuk memilih calon bagi jawatan penting. Perhimpunan ini boleh diadakan secara tahunan atau berkala. Bagi pertubuhan yang bersifat parti politik, konvensyen ini diadakan untuk memilih calon menjelang pilihan raya. Konvensyen seperti ini terpaksa diadakan kerana terlalu ramai calon atau ahli berhasrat bertanding bagi mewakili parti tersebut. Contohnya, Konvensyen Pemilihan Calon Parti Republikan Amerika Syarikat diadakan empat tahun sekali untuk memilih calon bagi bertanding kerusi presiden. |
labour movement | pergerakan buruh | Sains Politik | Politik Perbandingan | Pertubuhan sukarela yang dibentuk oleh golongan buruh bagi memelihara kepentingan mereka khususnya berhubung dengan upah, kebajikan, tempat kerja yang baik serta layanan yang mesra. Pergerakan ini sering membuat tuntutan sama ada kepada majikan mahupun kepada kerajaan, bergantung kepada isu yang dibawa. Pertubuhan yang mantap ini lama-kelamaan telah membuatkan mereka turut peka kepada masalah sosial, ekonomi dan politik negara. Mereka kemudiannya bersifat responsif terhadap perkembangan ekonomi dan politik tanah air dengan menyatakan pendirian mereka atau menuntut kerajaan melakukan sesuatu menurut cadangan mereka. Dalam negara tertentu seperti di India, Amerika Latin dan United Kingdom, pendirian mereka telah terikat dengan ideologi tertentu yang menjadikannya sangat rapat dengan parti politik atau pemerintah. Contoh pergerakan buruh yang aktif di Malaysia ialah CUEPACS dan MTDC. |
isolationist | pemencil | Sains Politik | Politik Perbandingan | Negara atau kelompok masyarakat yang bertindak memisahkan hubungannya dengan negara, masyarakat dan badan dunia lain. Dasar luarnya tidak menyentuh pihak lain dan tidak juga menjemput perwakilan luar datang ke tempatnya. Bagi negara yang mengamalkan pemencilan ini, mereka tidak menganggotai sebarang pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Opec, Nato atau Komanwel. Tujuan pemisahan ini dilakukan kerana ideologi, budaya dan keselamatan. Contohnya, Republik Rakyat China telah lama menutup pintu terhadap kemasukan delegasi atau peniaga negara lain sejak menjadi komunis. Perubahan dasar China hanya berlaku pada dekad 1980-an. |
apolitical | polos politik | Sains Politik | Politik Perbandingan | Konsep yang menerangkan atau memperjelaskan sama ada seseorang, organisasi atau kaum yang tidak terikat atau tidak mempunyai hubungan atau rangkaian politik dengan mana-mana pertubuhan dan organisasi politik tertentu. Dengan kata lain, ia bersifat neutral dalam percaturan politik mereka. Organisasi seperti Sahabat Alam, Green Peace ataupun pertubuhan Amnesty Antarabangsa merupakan sebuah organisasi atau pertubuhan yang bersifat polos politik. Polos politik juga membawa maksud sesuatu keadaan yang neutral iaitu tidak mempunyai sebarang matlamat politik. Contohnya, lawatan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Acheh bagi meninjau keadaan masyarakat selepas kejadian tsunami merupakan lawatan yang bersifat polos politik. |
merger | percantuman | Sains Politik | Politik Perbandingan | Tindakan menyatukan dua atau lebih pertubuhan, badan atau institusi kepada satu unit yang lebih besar. Percantuman ini akan menghapuskan entiti asal badan masing-masing dan ini membezakannya dengan konsep gabungan atau kerjasama. Dengan percantuman ini, satu badan yang baharu terbentuk tetapi di dalamnya terdapat beberapa badan yang pelbagai. Satu imej baru muncul dalam pertubuhan ini dan sekali gus meninggalkan ciri-ciri terdahulu. Contoh percantuman ialah penyatuan Parti Keadilan dengan Parti Rakyat Malaysia menjadi Parti Keadilan Rakyat Malaysia pada tahun 2004. |
interest group | kelompok sekepentingan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Pertubuhan sukarela yang dibentuk secara rasmi untuk mewakili kepentingan ahlinya. Mereka ini amat sensitif terhadap perkembangan kepentingan yang diperjuangkannya. Kumpulan ini boleh mempengaruhi proses penggubalan sesuatu dasar kerajaan tetapi tidak terlibat secara langsung dalam proses pembentukan kerajaan. Pergerakan kelompok ini adalah untuk kepentingan awam secara keseluruhannya tetapi secara spesifik bergerak untuk kepentingan yang lebih khusus seperti memelihara alam sekitar, peminat seni, pendukung kepentingan wanita, pejuang kebebasan politik dan sebagainya. Mereka mendesak kerajaan dalam melaksanakan perjuangannya dengan pelbagai cara seperti melobi, menulis surat kepada pihak berkuasa, berjumpa dan berunding dengan anggota pemerintah, menganjurkan demonstrasi dan berbagai-bagai program kempen. Contohnya, Sahabat Alam Malaysia untuk alam sekitar dan Tenaganita untuk kepentingan kaum wanita. Sinonim kumpulan berkepentingan. |
pressure group | kumpulan pendesak | Sains Politik | Politik Perbandingan | Pertubuhan sukarela yang dibentuk secara rasmi untuk mewakili kepentingan kelompok tertentu bagi mempengaruhi proses penggubalan dasar kerajaan. Kelompok ini tidak terlibat dalam proses pembentukan kerajaan tetapi mempunyai bidang kepentingannya sendiri dan bergerak untuk memelihara kepentingan tersebut. Secara keseluruhannya, pergerakan kelompok ini adalah untuk kepentingan awam namun secara khusus adalah untuk memelihara kepentingan tertentu seperti kebersihan alam sekitar, kebajikan buruh, pengguna, pelajar, bahasa, wanita, anak seni, kebebasan politik dan sebagainya. Mereka mendesak kerajaan melalui pelbagai cara seperti melobi, menulis surat kepada pihak berkuasa tertentu, berjumpa dan berunding dengan anggota pemerintah, mengadakan demonstrasi dan berbagai-bagai program kempen dan poster. Contoh kumpulan pendesak di Malaysia ialah Aliran, Suaram dan Hakam yang sensitif terhadap perkembangan politik dan hak asasi manusia. |