romanticism | romantisisme | Kesusasteraan | Tiada | Aliran sastera dan seni di Eropah pada abad ke-18 hingga awal abad ke-19. Aliran ini mengutamakan perasaan, keindahan dan kebebasan melahirkan perasaan dan isi hati individu. Suatu era dalam kesusasteraan Inggeris dari 1789 (di awal permulaan Revolusi Perancis) atau 1798 (penerbitan Lyrical Ballads oleh Wordsworth dan Coleridge) sehingga 1832 (Queen Victoria menaiki tahta). Aliran ini bermula sebagai reaksi terhadap kekangan yang ada pada jarak estetik dan formalisme neoklasisme, dan memerlukan puitika dan falsafah yang menumpu kepada perasaan dan imaginasi individu. Istilah romantisisme buat pertama kalinya digunakan oleh penulis Jerman, Friedrich von Schlegel dalam membicarakan sastera khayalan. Sastera ini mempunyai kaitan dengan karya roman awal dan berbeza dengan sastera klasik. Pomantisisme membayangkan penggunaan emosi dan imaginasi lebih daripada kewarasan. Fokus pada keunikan dan perwatakan individu adalah asas bagi penekanan moden bagi suara. Secara falsafahnya, perkembangan ini mengundang kepada beberapa pendapat: Pertama, manusia dilahirkan baik dan hanya dikorupsikan oleh pengalaman dalam masyarakat. Kedua, kerohanian dan emosi manusia adalah alat yang paling sesuai untuk menghasilkan puisi. Ketiga, perubahan spiritual manusia secara evolusi boleh didatangkan dengan meletakkan alam semula jadi pada tahap yang lebih tinggi daripada ketamadunan manusia, revolusi lebih daripada status quo, dan daya melebihi kekangan. Dari segi puitika, pergerakan ini berusaha untuk menukar diksi kepada bahasa basahan, menggunakan bahan rujukan daripada cerita rakyat, mitos, autobiografi, dan pengalaman visionari, menggunakan alam sekitar sebagai pemangkin meditasi dan perasaan, menggalakkan inovasi dan komposisi organik berbanding dengan forma yang dikenakan seperti koplet wiraan dan ode, dan bercita-cita untuk melepasi batas-batas kebiasaan. Era ini turut dikenali sebagai zaman keemasan puisi Barat dengan penulis puisi seperti Wordsworth, Coleridge, Shelley, Keats, Byron dan Blake. Kadangkala zaman ini turut dikebelakangkan lagi masanya meliputi zaman Robert Burns atau ditambah masa ke depan dan mengambil kira penyajak zaman Victoria seperti Brownings, Tennyson, Arnold dan Yeats. Yeats sering dikenali sebagai ahli puisi roman terunggul yang terakhir. Antara penulis puisi roman Amerika yang terkenal ialah Walt Whitman yang menghasilkan paradigma puisi romantik yang memaparkan idealisme, bentuk organik, perasaan terbuka, diksi dan keraian alam semula jadi. Penulis Amerika lain termasuk Bryant, Irving, Cooper, Hawthorne, Melville, Stowe, Poe, Whitman dan Emerson. |
reality effect | kesan realiti | Kesusasteraan | Tiada | Butiran dunia realiti yang tidak berfungsi untuk mengembangkan plot sesuatu cerita tetapi merupakan dariapda realiti yang dipaparkan. Butiran ini dianggap penanda untuk mengesahkan kesahihan realiti tersebut. Kesan realiti berkaitan dengan aliran realisme yang muncul sebagai respons kepada aliran romantisisme yang mengatakan bahawa penulis sastera harus menggambarkan kehidupan yang ideal. Penulis kesan realiti gemar memilih objek biasa, tetapi melalui teknik penceritaan, objek itu digambarkan secara terperinci untuk melahirkan kesan realiti yang menarik perhatian pembaca. Contohnya, novel Mereka yang Tertewas oleh Hasanuddin Md. Isa (1993). Novel ini menggambarkan secara terperinci keadaan Kampung Bukit Setugal untuk melahirkan kesan realiti seperti yang berikut: �...sebatang sungai mengalir, di puncak Bukit Setugal ia berpunca. Sungai itu membelah tanah-tanah sawah yang terbentang sesayup mata memandang. Aur-aur yang menumpang berdiri di tepi-tepi tebing sungai itu meliuk-liuk dedaunnya bergeseran setelah ditiup angin. Sungai Cheneor yang secara tidak rasmi dinamakan oleh peneroka awal Bukit Setugal, setiap hari sejak wujudnya, ia tetap matang, waras dan dewasa dengan pengalamannya. Airnya yang deras tetap menghanyutkan sampah-sarap, membiakkan anak-anak baung, temalian, kenerap, patin, jelawat, sengiring, tilan, kelah, tapak belida dan puluhan jenis ikan-ikan lagi.� Kutipan petikan novel di atas sarat dengan butiran dunia kampung sehingga menjadikan gambarannya hidup dan meyakinkan. |
neo-classicism | neoklasisme | Kesusasteraan | Tiada | Gaya penulisan yang berasaskan ciri-ciri warisan Latin dan Yunani klasik yang dihidupkan semula di Eropah. Gaya penulisan menggunakan ciri-ciri keseimbangan, kesantunan, ketelitian dan kejituan dihidupkan semula di Eropah pada abad ke-17 dan 18. Mengikut peraturannya fungsi puisi adalah untuk pendidikan moral, manakala bentuk puisi perlu terhad kepada bentuk yang tetap seperti kuplet wiraan bagi mencerminkan keadaan manusia yang terhad dan serba kekurangan. Berbanding dengan romantisisme yang dianggap lebih bebas dan ghairah, neoklasisme mewakili sistem nilai yang lebih mengutamakan kewarasan, kejelahan, disiplin dan ketertiban sesuai dengan zaman yang dikenali sebagai Zaman Rasional. Oleh sebab nilai klasik dianggap sudah sempurna, tugas penulisan moden adalah untuk meniru gaya warisan ini. Antara penulis utama neoklasisme ialah Dryden, Pope, Addison, Johnson, goldsmith dan Swift. Lihat juga kuplet wiraan, romantisisme. |