poll | pengundian | Sains Politik | Politik Perbandingan | Pilihan raya atau tinjauan pendapat yang diadakan untuk memilih wakil rakyat atau untuk memperoleh sesuatu pandangan. Pengundian diadakan secara berkala dengan penglibatan pemilih untuk memilih calon wakil rakyat manakala pungutan suara atau tinjauan pendapat awam diadakan apabila perlu untuk melihat sesuatu isu. Pengundian lazimnya diadakan dalam satu atau beberapa hari yang ditetapkan dan hanya pengundi berdaftar yang layak mengundi. Pemilih dikehendaki menandakan calon yang dipilih dalam kertas undi yang disediakan dan kemudian memasukkannya ke dalam kotak undi ang disediakan di pusat mengundi. Pungutan suara pula boleh dilaksanakan dalam bentuk kertas tinjauan, temu bual secara langsung, telefon, internet dan sebagainya. Pelaksanaan pungutan suara lebih fleksibel dan tidak terikat dengan pelbagai peraturan perundangan. Contoh pengundian ialah pilihan raya umum di Malaysia yang diadakan pada setiap empat atau lima tahun sekali. Sinonim pungutan suara. |
proportional representation | perwakilan berkadar | Sains Politik | Politik Perbandingan | Sistem pilihan raya yang berasaskan nisbah penduduk dengan wakil rakyat untuk memastikan setiap kelompok memiliki wakil rakyat di dewan perundangan. Melalui sistem ini, pembahagian kawasan berasaskan jumlah penduduk iaitu penduduk yang ramai akan mendapat lebih ramai wakil manakala yang lebih kecil mendapat wakil yang kurang. Sistem ini mempunyai dua bentuk amalan yang utama iaitu sistem Hare dan List. Dalam sistem ini, pengundi diberikan senarai calon yang bertanding dan mereka diminta memilih beberapa bilangan calon yang ditetapkan, seperti tiga sahaja atau lima sahaja. Sementara itu, satu jumlah purata yang munasabah telah ditetapkan oleh suruhanjaya pilihan raya dan calon yang mengatasi bilangan ini dianggap menang. Walau bagaimanapun, calon yang mendapat jumlah undi yang besar mengatasi jumlah purata boleh memindahkan lebihan undi kepada calon lain dari parti yang sama. Sistem ini berbeza dengan sistem majoriti mudah apabila lebihan undi majoriti tidak boleh dipindahkan. Sinonim sistem berkadar. |
representative democracy | demokrasi berperwakilan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Sistem pemerintahan demokrasi tidak langsung yang memerlukan wakil rakyat untuk menyuarakan kepentingan orang ramai serta membincangkan masalah dan kepentingan negara. Sistem perwakilan terpaksa dibentuk kerana demokrasi langsung tidak mungkin dilaksanakan lagi, kesan daripada penduduk yang ramai. Dengan itu, orang ramai memilih wakil rakyat dalam pilihan raya untuk mewakili suara mereka. Kelompok perwakilan yang mendominasi dewan perundangan akan membentuk kerajaan manakala selebihnya akan menjadi pembangkang. Terdapat dua jenis demokrasi perwakilan iaitu demokrasi berparlimen dan demokrasi berpresiden. Contohnya, Malaysia telah melaksanakan amalan demokrasi berperwakilan sejak mula merdeka hingga kini. Malaysia juga dikuasai oleh kerajaan Perikatan dan kini dikenali sebagai Barisan Nasional. |
representative govemment | kerajaan berperwakilan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Kerajaan yang dibentuk melalui wakil rakyat yang memenangi pilihan raya dan mendominasi dewan perwakilan. Kerajaan ini bertindak memelihara kepentingan orang ramai dan menyuarakannya dalam persidangan dewan. Kerajaan berperwakilan juga bertanggungjawab sepenuhnya kepada dewan perundangan atau dewan perwakilan dan perlu peka kepada kehendak orang ramai yang boleh menjatuhkan mereka melalui undi tidak percaya wakil rakyat. Contohnya, kerajaan dalam demokrasi berparlimen Malaysia. |
legislative | legislatif | Sains Politik | Politik Perbandingan | Badan yang terdiri daripada wakil rakyat dan anggota terpilih yang bersidang di dewan perundangan (parlimen) dan bertanggungjawab dalam menggubal dan meminda undang-undang, perlembagaan atau dasar negara. Badan ini dipimpin oleh ketua negara dan merupakan salah satu badan pemerintahan di samping eksekutif dan kehakiman. Badan ini bertanggungjawab menggubal semua dasar negara yang melibatkan pembangunan ekonomi, keselamatan negara dan perpaduan nasional. Ia bersidang mengikut jadual dan anggotanya boleh bertukar secara lantikan atau selepas pilihan raya. Contohnya, Parlimen Malaysia merupakan satu badan legislatif. Sinonim perundangan. |
suffrage | hak mengundi | Sains Politik | Politik Perbandingan | Hak untuk memilih pemimpin atau wakil rakyat yang diberikan kepada individu setelah memenuhi syarat mengundi seperti warganegara, berdaftar, cukup umur dan bermastautin di sesebuah tempat. Hak ini terdapat dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Hak untuk mengundi tidak boleh dipindah milik atau diwakili oleh orang lain. Dalam sistem komunis, hak mengundi diberi kepada ahli parti komunis sahaja. Contohnya, hak mengundi di Malaysia diberikan kepada semua warganegara berumur 21 tahun yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia. |
voting right | hak mengundi | Sains Politik | Politik Perbandingan | Hak untuk memilih pemimpin atau wakil rakyat yang diberikan kepada individu setelah memenuhi syarat mengundi seperti warganegara, berdaftar, cukup umur dan bermastautin di sesebuah tempat. Hak ini terdapat dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Hak untuk mengundi tidak boleh dipindah milik atau diwakili oleh orang lain. Dalam sistem komunis, hak mengundi diberi kepada ahli parti komunis sahaja. Contohnya, hak mengundi di Malaysia diberikan kepada semua warganegara berumur 21 tahun yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia. |
lobbying | melobi | Sains Politik | Politik Perbandingan | Cubaan individu atau golongan pendesak mempengaruhi keputusan kerajaan sama ada secara memujuk anggota dewan perundangan, kabinet atau pihak tertentu yang membuat keputusan. Ia boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk seperti desakan secara langsung, pembujukan kepada wakil rakyat atau menteri, menulis surat, membangkitkan isu tersebut di akhbar, menelefon pegawai yang terlibat dan penggunaan wang supaya desakan mereka diterima. Istilah melobi bermula daripada amalan pembujukan yang dilakukan di bahagian lobi atau ruang anjung dewan sehingga namanya ini kekal digunakan untuk menjelaskan maksud tersebut. Di Amerika Syarikat, golongan pendesak tertentu melaksanakan kajian terperinci mengenai sesuatu isu dan kemudian mendedahkan hasil kajian dan kesan jangka panjangnya kepada wakil rakyat, dan ini boleh mempengaruhi beliau dalam menggubal keputusan. |
single system of voting | sistem pengundian tunggal | Sains Politik | Politik Perbandingan | Sistem pengundian yang dijalankan dengan cara menandakan Ya atau Tidak kepada calon yang bertanding dalam pilihan raya. Calon yang mendapat undi tertinggi akan dipilih menjadi wakil rakyat. Walau bagaimanapun sekiranya perbezaan majoriti antara calon adalah kecil, maka pilihan raya akan diadakan sekali lagi. Pada pemilihan kedua ini, hanya dua calon yang mendapat undi tertinggi dibolehkan bertanding semula seperti yang diamalkan di Perancis. |
self-government | kerajaan sendiri | Sains Politik | Politik Perbandingan | Kerajaan yang dibentuk dan dikuasai oleh penduduk tempatan tanpa campur tangan pihak asing. Kerajaan ini dapat dibentuk apabila sebuah negara itu bebas daripada penjajahan atau penguasaan pihak lain. Dalam pembentukan kerajaan ini, penduduk di sesebuah negara perlu menguruskan proses pemilihan wakil rakyat dan kemudian menentukan agenda pembangunan negara sendiri. Status berkerajaan sendiri bagaimanapun tidak menghalang negara ini berhubung dan bekerjasama dengan negara lain atau badan antarabangsa. Contohnya, Timor Leste sudah membentuk kerajaan sendiri setelah mendapat kemerdekaan dari Indonesia pada 2001. |