clerihew | syair ejekan | Kesusasteraan | Puisi | Syair yang mengandungi nada dan persoalan yang boleh menimbulkan kesan ejekan. Persoalan yang timbul dalam puisi ini menggambarkan tentang kehidupan tingkah laku yang tidak memberi faedah. Contohnya, syair "Pedoman Belia" karya Za'ba di bawah. Jangan biasakan meminta tolong, Ke sini tersembah ke sana terlolong, Ikhtiar sendiri bantut bergulung, Akhirnya kebolehan lenyap terlelong. |
collophon | kolofon | Kesusasteraan | Tiada | Maklumat pada bahagian akhir sesebuah manuskrip bertulis tangan atau bercetak yang mencatatkan nama pengarang, tajuk karya, tarikh diterbitkan, dan nama pencetak. Dalam konteks penulisan moden, kolofon biasanya terdapat pada bahagian awal buku, mencatakan nama penerbit, tempat terbit, tanda dagangan, jenis kertas, jenis huruf, dan sebagainya. Dalam tradisi penulisan manuskrip lama, kolofon merupakan salah satu bahagian yang sangat penting untuk diketahui oleh pembaca. Pada bahagian tersebut, pembaca akan mengetahui nama pengarang, penyalin manuskrip, tarikh dan tempat manuskrip ditulis atau disalin. Maklumat yang diperoleh menjadi panduan kepada pembaca atau pengkaji untuk mengetahui sejarah dan latar belakang manuskrip berkenaan. Manuskrip yang tidak mempunyai kolofon akan memberikan pelbagai masalah kepada pembaca atau pengkaji untuk menentukan kedudukan manuskrip berkenaan. Contohnya, dablah Hikayat Raja Pasai (Russell Jones, 1987), terdapat kolofon seperti yang berikut: �Tamat Hikayat Raja Pasai. Selamat sempurna yang membaca dia dan segala yang mendengarkan dia, istimewa yang menyuratkan dia, dipeliharakan Allah subhanahu wa taala apalah kiranya dari dunia datang ke akhirat, berkat shafaat Nabi Muhammad mustafa, sallallahu alaihi wassalam. Tamat hari Isnin, kepada hari, Dua puluh sa, kepada bulan, Muharam, sanat za Hijratul Nabi 1230, Sangking Kyai Suradimanggala, bupati sapupu nagari Demak nagari Bagor , warsa 1742.� |
biography | biografi | Kesusasteraan | Tiada | Riwayat hidup seseorang atau sebuah keluarga yang ditulis oleh orang lain secara menyeluruh. Penulisan biografi diusahakan untuk memperlihatkan perwatakan individu atau sesebuah keluarga termasuklah aktiviti dan pengalamannya serta persekitaran yang mengelilinginya. Pada zaman Yunani dan Romawi, biografi dianggap sebahagian daripada tulisan sejarah. Bentuk bagiografi atau kisah hidup para santo (saints) adalah antara tulisan biografi yang awal. Selain itu, biografi awal juga berlegar pada periwayatan raja dan tokoh wira. Rata-rata penekanan tulisan adalah pada kekuatan dan kebaikan tokoh yang diperkatakan. Bentuk biografi pada tahap ini lebih bersifat pemujaan yang tidak objektif. Walau bagaimanapun, dalam karya Lives of The Poets, Samuel Johnson mula meninggalkan ciri-ciri pendewaan tokoh dan penulisannya memperlihatkan objektiviti yang menjadi tuntutan sesebuah biografi. Johnson meletakkan biografi sebagai genres sastera yang diakui dan diterima khalayaknya. Dengan terhasilnya tulisan James Boswell berjudul Life of Samuel Johnson, biografi sebagai bentuk tulisan menjadi lebih kukuh. Sementara dalam tulisan Lytton Strachey berjudul Eminent Victorians, bentuk penulisan ini lebih mantap seperti yang dilihat dan difahami sekarang. Dewasa ini, biografi meliputi kisah riwayat hidup orang biasa, dan tulisannya berbentuk ilmiah dan popular. Contoh biografi dalam sastera Arab ialah Hayat Salah al-Din al-Ayubbi oleh Ahmad Bili. Dalam kesusasteraan Melayu, bentuk biografi dapat dilihat pada karya seperti Pendeta Za�ba dalam Kenangan oleh Abdullah Hussain, dan Biografi Usman Awang: Sebuah Benua Rusuh oleh Muhammad Haji Salleh. Biografi berasal daripada bahasa Yunani yang bermaksud �penulisan riwayat hidup�. Lihat juga anekdot, autobiografi, hagiografi. |