Safariyyah, Kerajaan (254–289 H./ 868–902 M.).
Kerajaan Safariyyah didirikan di bahagian selatan
Iran. Nama kerajaan ini bersempena dengan nama
Ya‘kub ibn al-Layth al-Safar, seorang yang berani,
yang mengambil kesempatan semasa kerajaan
Abbasiyyah lemah akibat bergolak politik serta
kekacauan yang semakin serius, yang dilakukan oleh
orang Negro. Dia memang bercita-cita untuk
menguasai kawasan selatan Iran, Parsi dan
Khurasan. Dia berjaya menubuhkan kerajaannya
selepas menjatuhkan kerajaan al-Tahiriyyah, dan
diiktiraf oleh Baghdad sebagai gabenor yang
merdeka. Namun, dia masih belum berpuas hati
malah bercita-cita untuk mengambil alih kedudukan
orang Turki di Baghdad. Kerajaan terpaksa akur
kepada kehendaknya apabila dia menyiapkan
angkatan tentera untuk tujuan tersebut. Justeru itu,
al-Safar diberi pengiktirafan sebagai gabenor di
wilayah Khurasan, Tabaristan, Jurjan, Ray dan Parsi.
Dia juga dilantik sebagai Ketua Polis Baghdad dan
Samarra’. Al-Safar masih belum berpuas hati. Dia
berhasrat untuk ke Baghdad dan mengambil alih
Baghdad yang merupakan pusat kekuasaan bangsa
Turki. Khalifah al-Muwaffaq tidak ada pilihan lain
kecuali bertindak memerangi al-Safar. Khalifah
mengetuai satu angkatan tentera lalu menyerang al-
Safar berserta tenteranya dan berjaya menewaskan
mereka. Al-Safar tewas kerana tenteranya berpaling
tadah dan menyertai tentera khalifah apabila mereka
melihat pasukan yang akan ditentang diketuai oleh
khalifah sendiri.