Salam.. Adakah semua perkataan berikut di bawah boleh dikategorikan sebagai simpulan bahasa? Mohon penjelasan pihak DBP. 1.abad komputer 2.abang ipar 3.abang kandung 4.abang kendong 5.abang sanak ayah 6.abang sanak ibu 7.abang saudara 8.abang sepupu 9.abang tiri 10.abilah peringgi 11.baju dalam 12.baju dingin 13.baju hujan 14.baju jas 15.baju Johor 16.baju kahwin 17.baju kebal 18.baju kebaya 19.baju kelepak 20.baju kemeja 21.baju kepuk 22.baju kotong 23.baju kuntum 24.baju kurung 25.baju lasak 26.baju monyet 27.baju panas 28.baju sejuk 29.baju seroja 30.baju teluk belanga 31.baju teratai Terima Kasih. | Simpulan bahasa ialah ungkapan yang terdiri daripada dua perkataan atau lebih dan mempunyai makna yang berlainan daripada erti perkataan-perkataan yang membentuknya seperti kaki ayam yang bemaksud orang yang tidak memakai kasut dan tangkai jering bermaksud orang yang kedekut. Contoh perkataan yang saudara berikan tidak termasuk dalam kumpulan simpulan bahasa. | Tatabahasa | 23.11.2012 |
Salam, istilah 'abang ipar', 'abang angkat' dikira sebagai simpulan bahasa atau kata majmuk? Terima kasih. | Abang ipar dan abang angkat ialah kata majmuk. | Tatabahasa | 31.03.2014 |
assalam, di sini saya ada sedikit kekeliruan, mohon penjelasan daripada pihak tuan/puan: cth: Ayah Salima or ayah Salima perkataan 'ayah' perlu dimulai dengan huruf besar atau kecil? contoh lain: abang Daniel (abang kepada Daniel) abang Daniel (panggilan untuk seorang abang) perkataan 'abang' perlu dimulai dengan huruf besar atau kecil? | Jika perkataan ayah dan abang berada dalam ayat dituis dengan huruf kecil seperti Ali sangat menghormati keperibadian ayah Ahmad. | Tatabahasa | 30.07.2015 |
Yang manakah ayat berikut betul? 1. Abang saya melanjutkan pelajarannya di London. 2. Abang saya melanjutkan pelajarannya ke London. 3. Abang saya akan melanjutkan pelajarannya di Universiti Malaya. 4. Abang saya akan melanjutkan pelajarannya ke univerisiti Malaya. | Jawapan yang betul ialah 1. Abang saya melanjutkan pelajarannya di London. 2. Abang saya akan melanjutkan pelajarannya ke Univerisiti Malaya. | Lain-lain | 19.08.2010 |
Adakah kedua-dua dialog ini sama maksud dan betul?? "Abang, ayah berpesan supaya abang menunggang basikal dengan berhati-hati" " Abang, ayah berpesan supaya berhati-hati semasa menunggang basikal." | Kedua-dua ayat tersebut sama maksudnya. Walau bagaimanapun ayat yang betul ialah “Abang, ayah berpesan supaya berhati-hati semasa menunggang basikal.” | Tatabahasa | 24.07.2024 |
Siapakah penulis yang menggunakan nama pena APAM? | Abang Patdeli Abang Muhi. Beliau dilahirkan di Kuching, Sarawak dan menulis dalam genre skrip drama dan cerpen. Sekarang beliau bertugas sebagai Pegawai Perancang Bahasa di DBP Kuala Lumpur. | Lain-lain | 12.11.2007 |
Bagi perkataan "abang" atau "kakak", bilakah ianya boleh dijadikan kata nama khas? Ayat contoh : "Hi Abang Ali!" atau "Hi abang Ali!" Bagaimana pula dengan panggilan "Kak Long" atau "kak long". Sememangnya, saya keliru dengan penggunaan kata nama khas. Di mana boleh saya dapatkan panduan yang lebih lanjut mengenai perkara ini? Terima kasih. | Menurut data kami, kata nama khas cuma terbahagi kepada dua, iaitu kata nama khas hidup dan kata nama khas tak hidup. Kata nama khas hidup pula terbahagi kepada dua, iaitu kata nama khas hidup manusia dan kata nama khas hidup bukan manusia. Contohnya, Ahmad (kata nama khas hidup manusia, Tompok (kata nama khas hidup bukan manusia) dan Kuala Lumpur (kata nama khas tak hidup). Oleh itu, "abang" dan "kak long" bukan merupakan nama khas dan tidak perlu dieja dengan huruf besar kecuali kata nama khas Ali kerana perkataan tersebut tergolong dalam panggilan. Untuk maklumat yang lebih lanjut, tuan boleh merujuk Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 20.03.2020 |
1. Buku itu dibaca oleh abang. 2. Buku itu abang baca. Ayat 1 @ Ayat 2 betul? 3. Kasut itu saya cuci. 4. Kasut itu dicuci oleh saya. Ayat 3 @ Ayat 4 betul? 5. Kampung itu dibersihkan oleh mereka. 6. Kampung itu mereka bersihkan. Ayat 5 @ Ayat 6 betul? TQ..... | 1. Buku itu dibaca oleh abang. 2. Buku itu abang baca. - Kedua-dua ayat ini betul. 3. Kasut itu saya cuci. - betul 4. Kasut itu dicuci oleh saya. - salah 5. Kampung itu dibersihkan oleh mereka. 6. Kampung itu mereka bersihkan. - kedua-dua ayat ini betul. | Tatabahasa | 06.03.2012 |
Adakah penggunaan ayat ini betul dalam penulisan, contohnya, "Abang aku telefon aku.", "Abang aku hubungi aku." atau boleh digunakan kedua-duanya dalam penulisan? | Ayat yang betul dalam penulisan ialah "Abang saya menghubungi saya ..." | Tatabahasa | 25.03.2021 |
Abang menolong ayah memasang siku-siku di bilik saya. Apakah maksud siku-siku di dalam ayat di atas? | Siku-siku ialah alat yang berbentuk berbentuk tiga segi (bersudut 90, 60 dan 30 atau bersudut 90, 45 dan 45). | Makna | 14.11.2012 |