Nabi Ismail a.s. ialah seorang nabi dan rasul,
anak kepada Nabi Ibrahim a.s. dan ibu baginda Hajar
berasal dari Mesir. Sarah, isteri pertama Nabi
Ibrahim a.s. tidak dapat melahirkan zuriat pada
waktu itu dan telah dihadiahkan seorang hamba
perempuan oleh Raja Mesir untuk berkhidmat
kepadanya. Dengan alasan tidak dapat melahirkan
anak, Sarah telah memberikan hamba tersebut iaitu
Hajar, kepada suaminya Nabi Ibrahim a.s. dengan
harapan dapat melahirkan seorang anak yang dapat
menggembirakan mereka. Akhirnya mereka
dikurniakan seorang anak dengan kelahiran Nabi
Ismail a.s. Setelah itu, perasaan cemburu mula
timbul di hati Sarah lalu dia merayu suaminya
membawa anak tersebut bersama-sama ibunya ke
suatu tempat yang jauh daripada pandangan
matanya. Hikmah Allah SWT sememangnya
menghendaki perkara tersebut berlaku, lalu Nabi
Ibrahim a.s. memperkenankan permintaan isterinya.
Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Ibrahim a.s.
untuk membawa Nabi Ismail a.s. bersama-sama
ibunya dan menempatkan kedua-duanya di suatu
wadi yang tidak ditumbuhi sebarang tumbuhan. Ini
merupakan satu ujian kepada Nabi Ibrahim a.s., iaitu
perpisahan dengan anaknya yang sangat dicintai.