| SIREN | Siren ialah alat yang digunakan untuk membunyikan isyarat amaran. Ambulans, kereta bomba, dan kereta polis menggunakan siren untuk memberitahu lalu lintas supaya memberi jalan. Siren yang dikenali sebagai hon kabut digunakan pada rumah api dan kapal untuk memberi amaran kepada kapal-kapal lain semasa cuaca berkabut dan cuaca buruk. Siren juga digunakan sebagai amaran serangan udara. | UMUM | |
| JABATAN METEOROLOGI MALAYSIA | Jabatan yang menyediakan secara saintifik amaran atau ramalan dan maklumat berhubung dengan cuaca, iklim dan fenomena seismologi di Malaysia. | SAINS POLITIK DAN KETATANEGARAAN | Institusi/Organisasi |
| PERANG MISLUN | Perang Mislun atau Maysalun ialah peperangan orang Syria dengan penjajah Perancis. Perancis dan British telah membahagikan negara Syam kepada Syria, Lubnan, Palestin dan Jordan selepas Perang Dunia I (1914–1918 M.) mengikut Perjanjian Sykes–Picot. Perancis menjajah kawasan pantai Syria manakala bahagian pedalaman Syria diperintah oleh al-Amir Faysal. Perancis yang ingin menguasai keseluruhan Syria, telah menghantar Jeneral Gourand untuk berbincang dengan al-Amir Faysal. Dia meminta al-Amir Faysal menerima penyatuan Syria yang akan dibuat oleh Perancis dan beberapa permintaan lainnya. Kabilah-kabilah Arab di Syria menolaknya. Ini memaksa Jeneral Gourand memberi amaran secara bertulis kepada al-Amir Faysal supaya menerima tuntutan itu. Kerajaan al-Amir Faysal menerima amaran itu walaupun kabilah Arab tetap menolak tuntutan Perancis. | UMUM | |
| OSTEOPOROSIS | Osteoporosis ialah kehilangan tisu tulang. Tulang yang normal terdiri daripada siri plat nipis, bersilang yang dikelilingi oleh cangkerang yang tebal. Dalam osteoporosis, plat ini dipenuhi dengan lubang — atau mungkin hilang keseluruhannya. Cangkerang juga sering menjadi semakin nipis. Tulang menjadi amat rapuh, dan boleh retak sekalipun akibat kecederaan kecil. Walaupun osteoporosis mengambil masa bertahun-tahun untuk terjadi, biasanya tiada amaran tentang kewujudannya sehinggalah berlaku kecederaan. | UMUM | |
| TANJUNG HATTERAS | Tanjung Hatteras ialah tanjung tinggi yang indah yang terletak di hujung tenggara Pulau Hatteras yang menjadi sebahagian daripada Outer Banks. Tanjung ini terletak lebih daripada 48 kilometer ke timur pantai Carolina Utara di Amerika Syarikat (lihat Carolina Utara ). Beting Diamond Shoals berbahaya bagi kapal, hingga tempat ini digelar Perkuburan Atlantik (Graveyard of the Atlantic). Rumah api dan stesen api luar pesisir memberi amaran kepada kapal supaya mengelak kawasan tersebut. Cape Hatteras National Seashore terletak di Tanjung Hatteras. | UMUM | |
| PULAU BAFFIN | Pulau Baffin terletak di utara tanah besar Kanada. Ia sebahagian daripada Wilayah Barat Laut Kanada. Ia adalah pulau yang kelima terbesar di dunia, dengan keluasan 507 450 kilometer persegi. Ia kaya dengan lapisan longgokan bijih besi. Beberapa orang Denmark dan Eskimo menduduki kawasan pantai yang berbatu-batu dan tinggi. Kanada dan Amerika Syarikat mempunyai stesen radar di Pulau Baffin, sebagai sebahagian daripada sistem Amaran Utara mereka. Taman Negara Auyuittuq terletak di pulau ini. | UMUM | |
| PERTEMPURAN CONCORD | Pertempuran Concord berlaku pada 19 April 1775, menandakan pertempuran yang kedua antara kumpulan patriot dengan pihak Inggeris dalam Revolusi Amerika. Peperangan ini mula meletus berhampiran Lexington, Massachusetts. Semasa musim sejuk sebelumnya, orang Amerika telah mengumpul bekalan ketenteraan sebagai persiapan jika berlakunya peperangan. Kerajaan Inggeris mengarahkan ketua turus angkatan tenteranya di Boston , Leftenan Jeneral Thomas Gage, untuk memusnahkan simpanan bekalan di Concord. Pada malam 18 April, Gage menghantar 700 orang tentera di bawah pimpinan Leftenan Kolonel Francis Smith untuk melaksanakan arahan ini. Tetapi, Paul Revere dan William Dawes memberi amaran kepada penduduk di kawasan itu bahawa tentera Inggeris sedang mara. | UMUM | |
| SAINT BERNARD | Saint Bernard ialah anjing besar, bijak yang menjadi terkenal kerana menyelamatkan pengembara yang sesat. Anjing ini dilatih pada tahun 1600-an oleh sekumpulan rahib dari biara St. Bernard, di Pergunungan Alps Switzerland. Pada masa itu, ramai pengembara pergi ke Pergunungan Alps dengan berjalan kaki. Ada yang sesat semasa perjalanan atau tertimbus oleh salji hanyut atau ribut salji yang datang secara tiba-tiba. St. Bernard dilatih untuk menyelamatkan mereka yang menghadapi masalah begini. Dengan deria bau yang tajam, St. Bernard boleh menjumpai orang yang tertimbus di bawah timbunan salji. Setelah menemui mangsa, ia meminta pertolongan dengan menyalak kuat-kuat. Anjing ini juga dilatih untuk memandu pengembara melalui laluan yang berbahaya, dan memberi amaran tentang tempat berpijak yang berbahaya. Pelukis Inggeris, Sir Edwin Landseer, melukis gambar anjing ini pada sebuah tong kayu kecil yang tergantung di lehernya. Tetapi pihak berkuasa menyatakan St. Bernard tidak pernah membawa tong kecil ini semasa misi menyelamat. | UMUM | |
| RUMAH API | Rumah api ialah menara yang memancarkan cahaya yang kuat sebagai bantuan pandu arah kepada pelaut. Rumah api membantu pelayar menetapkan kedudukan mereka, menandakan bahawa tanah daratan semakin hampir, dan memberi amaran tentang kawasan berbatu dan terumbu yang berbahaya. | UMUM | Umum |