Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ba.ha.sa] | بهاس

Definisi : 1 sistem lambang bunyi suara yg digunakan sbg alat perhubungan dlm sesuatu kelompok manusia utk melahirkan perasaan dan fikiran: ~ Melayu; ~ Jawa. 2 kata-kata yg disusun menurut tatabahasa dan digunakan oleh seseorang dlm percakapan atau tulisan: Orang-orang drpd pelbagai kaum di Malaysia menggunakan ~ Melayu. 3 kelakuan yg baik: tak tahu ~ kurang ajar; tidak sopan. ~ asing bahasa yg bukan bahasa ibunda sendiri, yg dipelajari secara formal atau tidak formal. ~ badan cara berkomunikasi melalui gaya duduk, berjalan, mimik muka dsb, bukan melalui pertuturan. ~ baku ragam bahasa yg diakui betul dan diterima oleh penutur aslinya yg terdidik dlm bahasa bkn (ditandai oleh bentuk kata dan ayat yg mengikut kaedah tatabahasa dan digunakan dlm perhubungan rasmi, tulisan ilmiah atau perbicaraan umum). ~ basahan bahasa yg digunakan sehari-hari dlm keadaan tidak rasmi. ~ dalam kata-kata atau bahasa yg biasa digunakan di kalangan raja-raja (spt santap, gering, dan mangkat). ~ halus kata-kata atau bahasa yg sopan yg digunakan dlm pertuturan atau tulisan (spt bersalin, hamil, dan meninggal dunia). ~ ibu (ibunda) bahasa yg pertama sekali dikuasai oleh seseorang dan digunakan utk berhubungan dgn keluarga dan lingkungannya. ~ kasar kata-kata atau bahasa yg tidak sopan yg digunakan dlm pertuturan atau tulisan (spt mampus dan melahap). ~ kebangsaan bahasa yg diterima dan digunakan oleh rakyat sesebuah negara sbg alat perhubungan dan juga menjadi kebanggaan negara. ~ lisan ragam bahasa yg digunakan dlm pertuturan, iaitu sewaktu bercakap. ~ moden bahasa yg masih hidup dan berkembang serta digunakan hingga kini, mis bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. ~ pasar ragam bahasa Melayu yg tidak betul jalan bahasanya (terutamanya spt yg dituturkan oleh orang asing yg tidak tahu akan kaedah bahasa Melayu). ~ pengantar bahasa yg digunakan utk berhubung dlm mesyuarat, dlm pemberian pelajaran di sekolah dsb. ~ penyatu bahasa yg memainkan peranan penting dlm menyatukan masyarakat, terutamanya masyarakat yg berbilang kaum, budaya, agama dsb. ~ persuratan bahasa yg digunakan dlm penulisan dan dlm karya kesusasteraan. ~ rasmi bahasa yg digunakan dlm perhubungan rasmi kerajaan sesebuah negara. ~ tulis (tulisan, surat) ragam bahasa spt yg digunakan dlm karangan-karangan bertulis (sbg lw bahasa lisan). berbahasa 1 menggunakan bahasa: Orang Melayu ~ Melayu. 2 mempunyai budi bahasa yg baik; bersopan santun: Orang berbudi kita ~. membahasakan 1 menyebut atau memanggil seseorang dgn panggilan tertentu: Orang-orang di negeri Perak ~ saudara lelaki mereka yg tertua, yop. 2 menyatakan dgn kata-kata; menuturkan: Dia tidak sanggup ~ kesedihan yg ditanggungnya. kebahasaan hal mengenai bahasa atau yg berkaitan dgn bahasa. perbahasaan perihal berbahasa; pertuturan. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata bahasa

Puisi
 

Apa dijual apa dibeli,
     Mari sukat gantang Ali;
Bahasa tak boleh dijual beli,
     Dari hidup sampai mati.


Lihat selanjutnya...(34)
Peribahasa

Hilang bahasa lenyap bangsa.

Bermaksud :

Apabila sesuatu bahasa itu sudah tidak terpakai lagi maka lambat-laun hilanglah bangsa itu; hilang budi bahasa hilang derajat (darjat) diri.

 

Lihat selanjutnya...(15)

361

Manners make the man

Budi bahasa yang ada pada seseorang sangat penting dan itulah yang dipandang orang.

Yang merah saga, yang kurik kundi; yang indah bahasa, yang baik budi

Remember that manners make the man. You'll be judged on how to behave, not on what you like, whe you come from,or how much money you make in a year.

Ingat yang merah saga, yang kurik kundi; yang indah bahasa, yang baik budi. Kita akan dinilai dari segi tingkah laku, buka rupa, asal usul, atau jumlah pendapatan kita.

Peribahasa dan Ungkapan Inggeris - Melayu


Lihat selanjutnya...(10)

Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Nama saya Farouk Azim dan saya seorang penggemar bahasa yang berminat tentang bahasa-bahasa Orang Asli. Merujuk kepada artikel bertajuk "Orang Asli voices may go silent as languages face extinction" yang menyatakan JAKOA bersama DBP telah dan masih membuat kajian untuk bahasa-bahasa Orang Asli untuk menghasilkan kamus daripada hasil kajian tersebut, saya ingin mengetahui jika saya boleh mendapat apa-apa kemaskini status atau laporan tentang kajian tersebut? Di samping itu, saya ingin mengetahui jika ada apa-apa usaha lain untuk mendokumentasikan bahasa-bahasa Orang Asli menggunakan media seperti rakaman audio dan video supaya lebih mudah untuk seseorang mempelajari bahasa-bahasa Orang Asli? Saya berharap pihak DBP dapat memberikan jawapan kepada soalan-soalan saya.
Assalamualaikum wbt tuan yang dihormati,
 
DBP bekerjasama dengan KPM termasuklah pihak JAKOA bagi menjayakan Program UNESCO: Melestarikan Bahasa Sukuan dan Bahasa Daerah. Program ini melibatkan pengumpulan data lapangan dan pengesahan data entri untuk penerbitan Daftar Kata. Pihak kami juga sedang usahakan medan audio di dalam Sistem Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) untuk mendokumentasikan entri bahasa sukuan dan bahasa daerah tersebut. Berikut merupakan senarai projek UNESCO bahasa orang Asli yang sedang kami usahakan untuk tahun 2020, antaranya:
i)     Daftar Kata Bahasa Semai / ii)    Daftar Kata Bahasa Jedek/Jahai / iii)   Daftar Kata Bahasa Kanaq
    
Sebarang pertanyaan lanjut, bolehlah menghubungi:               
Nor Azianti binti Abd Aziz,
Bahagian Peristilahan dan Leksikologi,
Tel.:  03 2147 9158
Lain-lain23.01.2020
Salam sejahtera, adakah kosa kata asing yang aktif yang digunakan oleh ramai penutur bahasa Melayu berpotensi menjadikan kosa kata asing tersebut diterima pakai ke dalam bahasa Melayu?

Kata pinjaman atau kata serapan ialah kata-kata yang diambil daripada bahasa-bahasa lain selain bahasa Melayu seperti bahasa Inggeris, bahasa Eropah lain, bahasa Jawa atau bahasa serumpun lain.  Kata daripada bahasa asing diterima sebagai bahasa Melayu dengan menyesuaikan bunyi, dan ejaannya jika perlu supaya sesuai dengan bunyi dan ejaan bahasa Melayu. Bahasa Melayu sebagai bahasa yang dinamik tidak terkecuali dalam hal ini dan menerima unsur/pengaruh daripada bahasa luar termasuk bahasa Inggeris atau bahasa yang lain juga mengikut konteks penggunaannya. Walau bagaimanapun proses ini tidaklah dilakukan dengan sewenang-wenangnya, melainkan telah mematuhi syarat pembentukan kata dan istilah yang sedia ada.

Tatabahasa14.10.2019
Assalamualaikum, Adakah buku atau sebarang jenis karya yang diterjemahkan daripada bahasa asing (selain daripada bahasa Inggeris) ke dalam bahasa Melayu dan buku yang sama juga diterjemahkan daripada bahasa asing ke dalam Bahasa Inggeris dan daripada bahasa Inggeris diterjemahkan pula ke dalam bahasa Melayu. Jika ada, bagaimana saya boleh mendapatkannya? Sekian, terima kasih.Waalaikumussalam,
Untuk maklumat lanjut bagi mendapatkan tentang buku dalam bahasa Melayu, boleh hubungi DBPNiaga melalui talian KHIDMAT PELANGGAN 03-4101 0023/0025 atau LANGGANAN MAJALAH 03-4101 0029/0033
Lain-lain27.05.2019
Salam sejahtera, apakah ciri-ciri yang terdapat pada bahasa pasar dan bahasa rojak? Sejauh manakah perbezaan kedua-dua bahasa tersebut? Sekian, terima kasih.Kedua-dua kategori bahasa ini berkait rapat antara satu sama lain. Bahasa pasar ialah ragam bahasa Melayu yang tidak betul jalan bahasanya atau disebut juga bahasa basahan, manakala bahasa rojak ialah bahasa yang bercampur aduk dalam satu wacana. Kedua-dua kelas bahasa ini tidak digunakan dalam konteks rasmi. Untuk kajian yang terperinci, tuan boleh merujuk kertas kerja atau artikel yang ditulis tentang perkaitan atau perbezaan antara kedua-dua kelas bahasa berkenaan.Lain-lain09.05.2019
apakah nama bahasa rasmi Malaysia? Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia? dan apakah yang sesuai digunakan untuk tujuan teknologi? seperti di telefon, komputer, lesen IT.

Selagi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu tidak berubah, maka nama rasmi bahasa kebangsaan negara Malaysia ialah bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, dalam konteks komunikasi sosial yang tidak rasmi, apabila merujuk kepada bahasa yang menjadi sistem komunikasi bersama rakyat Malaysia, istilah bahasa Malaysia boleh digunakan dan menjadi bahasa pengantar sistem persekolahan, bahasa komunikasi sosial, bahasa ilmu, bahasa teknologi maklumat, dan bahasa perpaduan, di samping istilah bahasa Melayu.

Lain-lain22.04.2019
Perkataan language impairment sesuai diterjemahkan kepada gangguan bahasa atau kecelaruan bahasa / masalah bahasa/ ada terjemahan lain?Perkataan impairment boleh diterjemahkan kepada gangguan, kerosakan dan kecelaruan. Oleh itu, kecelaruan Bahasa bagi language impairment boleh digunakan.Penyemakan dan penterjemahan24.04.2019
Saya sering keliru dengan pengendalian perkataan Bahasa Inggeris dalam penulisan Bahasa Melayu terutamanya dalam surat rasmi. Sekiranya saya perlu menulis sesuatu ayat seperti contohnya 1. Saya telah berhubung dengan Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Bodies) pada 1.12020. ataupun 1a. Saya telah berhubung dengan Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Bodies-italic) Mana satu ayat yang betul? Ayat kedua 2. Saya telah menjalankan audit trail (italic) pada 1.1.2020 Mohon pandangan bagaimana menulis kata nama khas dalam Bahasa Inggeris ke dalam penulisan Bahasa Melayu? Adakah perlu dikurung dan dicondongkan dalam kurungan tersebut? Atau hanya dicondongkan tanpa kurungan?Penggunaan bahasa asing yang yang mesti diitalikkan ialah jika dalam satu baris ayat itu terdapat percampuran penggunaan bahasa antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan bahasa lain. Dalam keadaan tertentu juga jika ada bahasa Melayunya maka hendaklah kita menggunakan bahasa Melayunya dan jangan pula diitalikkan perkataan bahasa asingnya tanpa terlebih dahulu berusaha mencari padanannya dalam bahasa Melayu. Ayat yang betul seperti contoh yang diberikan ialah
1. Saya telah berhubung dengan Badan Pengurusan Bersama pada 1.1.2020
2. Saya telah menjalankan jejak audit pada 1.1.2020

Merujuk Gaya Dewan halaman 83, terdapat beberapa keadaan yang membolehkan penggunaan italik. Antaranya, judul karya seni dan penerbitan, nama sains, karya undang-undang kata atau ayat dalam bahasa asing, singkatan judul katalog karya yang diterbitkan, kenyataan sambungan bahan penulisan, nama khas objek khusus dan arahan pentas atau drama.

Penggunaan italik hanya digunakan apabila perkataan tersebut tiada terjemahkan dalam bahasa Melayu.
Tatabahasa10.07.2020
Mohon pengesahan istilah-istilah berikut di dalam bahasa melayu Bil. Bahasa Inggeris Bahasa Melayu 1. Sediment load 2. Erosion and Sediment Control Plan 3. Mulching 4. Control at source 5. Rapid Disposal 6. Runoff Management 7. Flow 8. Runoff 9. Surface runoff 10. Stormwater management 11. SustainableCadangan terjemahan yang sesuai bagi perkataan tersebut ialah:
1. Sediment load - beban enapan
2. Erosion and Sediment Control Plan - pelan kawalan endapan dan hakisan
3. Mulching - sungkupan
4. Control at source - kawalan sumber
5. Rapid Disposal - pelupusan pantas
6. Runoff Management - pengurusan air larian
7. Flow - alir atau aliran
8. Runoff - larian, melorot 
9. Surface runoff - larian permukaan
10. Stormwater management - pengurusan air hujan
11. Sustainable - mapan
Makna25.10.2020
Apakah bahasa Melayu Malaysia dapat menjadi standar bagi bahasa Melayu di Riau, Kalimantan Barat, dll.? Ataukah bahasa Indonesia yang menjadi bahasa Melayu standar bagi dialek-dialek Melayu tempatan tersebut?

Bahasa Melayu standard pada masa kini menggunakan sebutan dialek Johor-Riau yang lebih dikenali dengan sebutan baku.  Sebutan baku ialah sebutan (huruf atau perkataan) yang telah ditentukan atau diterima sebagai yang betul atau yang sewajarnya, ataupun disebut juga sebutan standard. Antara ciri  utama dialek ini ialah akhiran ‘a’ yang dibunyikan sebagai ‘ě’ bagi kebanyakan perkataan, contohnya saya (sa.yě), apa (a.pě) dan kerja (ker.jě). Sebutan baku Johor-Riau ialah sebutan yang biasa dituturkan oleh penduduk Melayu di Semenanjung Malaysia, terutamanya di sebelah pantai barat Semenanjung, merupakan sebutan bahasa Melayu yang asal yang hingga sekarang masih dituturkan oleh kebanyakan penduduk Malaysia tanpa dipengaruhi oleh dialek negeri masing-masing. Untuk maklumat lanjut, saudari boleh mengunjungi Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lain-lain10.01.2020
Adakah benar bahawa iklan yang dikemukakan dalam bahasa Inggeris mesti diterjemah ke bahasa Malaysia? Saya dari bahagian Marketing Department dari syarikat Intel dan telah diberitahu oleh pelanggan saya bahawa teks yang ditaip dalam bahasa Inggeris mesti ditukar seperti yang berikut: Up to Intel® CoreTM i7 processor --> Naik Taraf Pemproses Intel® CoreTM i7 Adakah Tuan/Puan mempunyai sebarang dokumen atau arahan yang membuktikan langkah ini adalah wajar dan mesti diikuti oleh pelanggan saya? Hal ini sebab syarikat saya mesti ada bukti yang kukuh kalau pihak audit hendak tanya/periksa tentang hal ini pada masa akan datang. Harap boleh dapat jawapan daripada pihak tuan secepat mungkin. Sekian, terima kasih.

Setiap iklan yang dipaparkan tertakluk pada Undang-undang Kecil Iklan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Undang-undang kecil iklan ini menetapkan perkara yang hampir sama, iaitu semua iklan hendaklah dalam bahasa kebangsaan, sama ada bahasa kebangsaan sahaja atau bahasa kebangsaan dengan bahasa lain.

Selain itu, Garis Panduan Perancangan Papan Iklan Luar dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menetapkan setiap papan iklan hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan sama ada bahasa kebangsaan sahaja atau bahasa kebangsaan dengan bahasa lain. Perkataan bahasa Melayu hendaklah diutamakan dari segi saiz, warna dan kedudukan perkataan berbanding bahasa lain. Malah penggunaan bahasa Melayu hendaklah dipastikan betul dan tepat dari segi penggunaan perkataan, susunan ayat, ejaan, tatabahasa dan sebagainya. Penggunaan bahasa yang betul hendaklah dirujuk dan mendapat pengesahan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Bagi papan iklan premis perniagaan pula, Jabatan Kerajaan Tempatan mengeluarkan pekeliling tentang “Garis Panduan Papan Iklan Premis Perniagaan”. Garis panduan ini jelas turut menetapkan keterangan perniagaan sama ada produk atau perkhidmatan yang mesti mengutamakan bahasa kebangsaan dari segi saiz, warna dan kedudukan. Baik Undang-undang Kecil Iklan PBT atau garis panduan, secara teorinya, semua iklan hendaklah dalam bahasa kebangsaan semata-mata atau jika terdapat dwibahasa, bahasa kebangsaan mesti diutamakan.

Lain-lain20.02.2020
12345678910...

Kembali ke atas