1.Adakah ejaan internet atau Internet? 2. Bahasa Melayu atau bahasa Melayu? Bahasa Sepanyol atau bahasa Sepanyol? | 1. Internet ialah kata nama khas dan ditulis dengan huruf besar. 2. Penggunaan yang betul ialah bahasa Melayu dan bahasa Sepanyol. | Lain-lain | 09.12.2022 |
Asalamualaikum wbt admin DBP. Saya perlukan pencerahan. Yang mana satukah ayat ini betul dari segi tatabahasa? (1) terjemahan daripada bahasa Melayu ke dalam bahasa Inggeris (2) terjemahan daripada bahasa Melayu dalam bahasa Inggeris (3) terjemahan daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris Terima kasih. | Jawapan yang betul ialah terjemahan daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris atau terjemahan bahasa Melayu dalam bahasa Inggeris. | Tatabahasa | 23.02.2023 |
Saya ingin bertanya tentang bahasa tidak formal. | Ragam bahasa bermaksud kepelbagaian penggunaan bahasa menurut konteks. Terdapat dua jenis ragam bahasa, iaitu bahasa formal dan bahasa tidak formal. Bahasa rasmi adalah bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi (formal), iaitu dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran, sistem pendidikan negara, urusan perdagangan dan perusahaan, dan sebagainya. Bahasa tidak formal ialah bahasa lisan atau bahasa percakapan yang digunakan dalam percakapan dan lebih bersifat tidak rasmi. Lisan bermaksud sesuatu yang diucapkan (tidak bertulis). Menurut Kamus Dewan, bahasa kolokial ialah bahasa bersifat bahasa percakapan atau bahasa basahan (bukan bahasa baku). Bahasa tidak formal ini selalunya digunakan dalam perbincangan atau perundingan tidak rasmi yang berkisar pada perkara-perkara tidak rasmi seperti perbualan di warung, kedai kopi dan lain-lain. Dalam situasi ini selalunya penggunaan dialek atau loghat akan digunakan. Untuk maklumat lanjut, saudara boleh merujuk buku “Penggunaan Bahasa dalam Surat Rasmi, Bahasa dalam Komunikasi” oleh Asmah Hj. Omar. | Lain-lain | 28.11.2021 |
Jika sebuah novel bahasa inggeris menggunakan bahasa basahan/slanga bagi dialog, adakah dibolehkan untuk mengikut laras bahasa yang sama jika diterjemahkan ke dalam bahasa melayu? Bahasa basahan/slanga yang digunakan di dalam novel tersebut merupakan identiti watak-watak dan merupakan bahasa yang asing bagi orang baru dikenali. | Sudah dijawab. | Lain-lain | 17.05.2022 |
Perkhidmatan penterjemahan perkataan dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia. Bahasa Inggeris: Project Delivery Division Bahasa Malaysia: | Kami mencadangkan Project Delivery Division diterjemahkan kepada "Bahagian Penyampaian Projek", sekiranya bersesuaian dengan konsep yang berkenaan. | Penyemakan dan penterjemahan | 08.03.2023 |
Saya nak minta pihak DBP untuk mainkan peranan sebaik mungkin, memandangkan saya melihat sebuah iklan yang dibuat oleh ''Malaysia Airport'', iklan tersebut menyediakan serikata bahasa melayu dan bahasa mandarin. Isu berbangkit adalah kerana kedudukan bahasa kebangsaan adalah dibawah bahasa mandarin (sila rujuk lampiran), pada pandangan peribadi saya ia sesuatu penghinaan kepada bahasa kebangsaan yang merupakan bahasa rasmi negara Malaysia dan paling mengecewakan adalah syarikat dibawah kelolaan kerajaan sendiri tidak ambil berat dan memartabatkan bahasa. Saya berharap pihak DBP dapat menjalankan tugas sebaik mungkin dengan mengambil tindakan untuk memperbetulkan iklan tersebut. Walaupun ia nampak hal yang kecil atau remeh, ia amat berbahaya demi masa depan dan kedudukan bahasa kebangsaan. | Kami mengambil maklum akan aduan ini, tindakan susulan akan diambil kepada pihak yang berkenaan. Untuk makluman saudara juga, sebarang aduan tentang kesalahan bahasa boleh dikemukakan melalui domain "Pantau Tegur Bahasa".
| Lain-lain | 28.10.2021 |
Tuan/Puan, mohon terjemahan frasa "tikas air pasang biasa" dalam bahasa Inggeris. (frasa digunakan dalam konteks ukuran aras laut). Sekian, terima kasih. | DBP tidak menyediakan perkhidmatan terjemahan bahasa Melayu kepada bahasa asing atau bahasa asing kepada bahasa Melayu, kecuali istilah dan perkataan yang terdapat dalam sumber rujukan kami. | Penyemakan dan penterjemahan | 21.02.2023 |
Bahasa Kebangsaan atau Bahasa kebangsaan | Bahasa kebangsaan ditulis dengan huruf awal "b" dan "k" huruf kecil kerana ia merupakan kata nama am, melainkan jika ditulis di awal ayat, huruf "b" huruf besar. | Ejaan | 14.10.2021 |
Salam, saya ingin bertanya berapa caj bagi khidmat semakan dokumen bahasa Melayu dan dokumen terjemahan bahasa Inggeris - bahasa Melayu yang dikenakan mengikut patah perkataan? | Sekiranya puan memerlukan semakan bahasa Melayu dalam dokumen, sila hantarkan dokumen puan kepada Puan Fadhilah binti Ab. Bahar melalui alamat e-mel fadhilahbahar@dbp.gov.my untuk mendapatkan sebut harga. Sila pastikan dokumen puan mengikut format berikut: Jenis huruf: Arial/Times New Roman Saiz huruf: 12 Langkau: 2 baris | Penyemakan dan penterjemahan | 14.09.2022 |
Saya ingin memohon pihak dewan bahasa untuk pengesahan bahasa papan nama kedai dan sijil pengesahan | PERMOHONAN PENGESAHAN BAHASA MELAYU DALAM IKLAN Permohonan pengesahan bahasa Melayu dalam iklan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman sesawang dbpsahbahasa.my (pautan https://dbpsahbahasa.my/). Sila Daftar Akaun (rujuk Panduan Pendaftaran) dan aktifkan akaun. Log masuk setelah akaun diaktifkan. Pilih DAFTAR PERMOHONAN > DAFTAR IKLAN, isi maklumat permohonan (rujuk Panduan Pelanggan), Jenis iklan: Papan premis kedai/pejabat/syarikat (atau yang berkaitan), pilih PBT dan klik “Pilih”. Pastikan Jumlah bayaran menjadi RM10.00 atau RM30.00 bergantung kepada jenis iklan yang dipilih. Muat naik visual iklan mengikut format, klik SIMPAN. Makluman Tahniah Pendaftaran Iklan XXX Berjaya akan dipaparkan. Sila buat bayaran setelah menerima makluman tersebut supaya iklan dapat diproses. Untuk mendapatkan pengesahan visual pada papan tanda premis, sila daftar akaun melalui laman sesawang dbpsahbahasa.my (pautan https://dbpsahbahasa.my/) dan rujuk Panduan Pelanggan atau Video Penggunaan DBP Sah Bahasa yang tertera. Bagi iklan yang dilampirkan, mohon buat dulu pembetulan, seperti yang berikut: i. Sila lampirkan visual iklan bertaip komputer dalam satu bingkai untuk pengesahan sahaja, potong bahagian lain yang tidak berkaitan. ii. Logo pada sebelah kanan - sekiranya belum berdaftar dengan MyIPO sila daftar dahulu, ataupun betulkan kepada bahasa Melayu yang baik dan betul nahunya. iii. Nasi Ayam Big Bro’s - Adakah nama perniagaan/syarikat ini telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau mempunyai tanda dagang (trademark)? Jika telah berdaftar, sila nyatakan No. SSM atau No. TM pada bahagian Maklumat tentang Iklan untuk rujukan kami dan jika belum berdaftar, sila gunakan nama yang telah berdaftar dengan SSM atau yang mempunyai tanda dagang sahaja. Bagi nama yang mempunyai tanda dagang, sila letak simbol ™ atau ® pada nama tersebut. Sekiranya tuan ingin menggunakan nama yang berbeza, sila gunakan nama dalam bahasa Melayu yang baik dan betul atau buat dwibahasa (Melayu - Inggeris) dengan bahasa Melayu diutamakan dari segi saiz, kedudukan dan warna huruf. | Lain-lain | 21.02.2023 |