SURAH AL-MULK | Surah al-Mulk ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah ke-67 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 30 ayat. Nama surah al-Mulk (kuasa pemerintahan) diambil berdasarkan firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiaptiap sesuatu”. (Surah al-Mulk 67:1) | UMUM | |
SURAH AL-FAJR | Surah al-Fajr ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-89 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 30 ayat. Surah ini dinamakan al-Fajr (Fajar) kerana Allah S.W.T. bersumpah dengan cahaya fajar ketika ia menyingsing di akhir kegelapan malam. Begitu juga Allah S.W.T. membawa lafaz sumpah dengan 10 malam yang berkat pada akhir bulan Zulhijah, dengan malam yang bilangannya genap dan ganjil seperti mana dalam firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Demi fajar, dan malam yang sepuluh dan yang genap dan yang ganjil”. (Surah al-Fajr 89:1–3) | UMUM | |
SURAH AL-DUKHAN | Surah al-Dukhan ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-44 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 57 ayat. Surah ini dinamakan al-Dukhan (asap) kerana Allah S.W.T. menurunkan ayat ini untuk menakutkan (menggerunkan) orang-orang kafir dengan mengazabkan mereka dengan kemarau dan kelaparan disebabkan pendustaan mereka terhadap rasul. Allah S.W.T. telah mengutuskan mereka asap tebal yang menyebabkan mereka hampir binasa tetapi Nabi Muhammad s.a.w. telah menyelamatkan mereka dengan berkat doanya. | UMUM | |
TAREKAT QADIRIYAH | TAREKAT QADIRIYAH, tarekat yang diasaskan oleh Syeikh Abdul Qadir al-Jilani (m. 1166 M.) di Baghdad. Beliau lahir dan dibesarkan di kota Gilan, sebuah bandar di Iran. Syeikh Abdul Qadir al-Jilani dikatakan berketurunan Ali bin Abi Talib. Bapanya, Abu Saleh bin Abdullah daripada keturunan Hassan bin Ali, manakala ibunya, Fatimah binti Sayyid Abdullah daripada keturunan Husin bin Ali. Ibu bapa serta nenek moyangnya ialah pengamal tasawuf. Syeikh Abdul Qadir al-Jilani juga pakar dalam bidang fiqah. Beliau seorang faqih dalam mazhab Hambali. Bagaimanapun, ketokohannya lebih menonjol dalam bidang tasawuf. Beliau dianggap Syeikhul Aulia’ (ketua para wali) dan wali Qutub pada zamannya. Para pengikutnya mempercayai beliau ialah seorang yang `keramat’. Semasa hidupnya lagi, beliau telah dikunjungi oleh umat Islam untuk mendapatkan barakah (berkat). Kini, orang ramai berkunjung ke makamnya di Baghdad untuk mendapatkan berkat. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |