Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[be.tul] | بتول

Definisi : 1. benar, tidak salah: barangkali ~ kata engkau itu; 2. tepat, langsung: buah itu jatuh ~ di atas kepala saya; pukul satu ~; 3. sungguh, sangat: dia sudah gila ~; ~lah budak ini; 4. sejati, tulen: dua lagi orang Melayu ~ menjadi broker; bongkok baru ~, (buta baru celik) prb angkuh atau sombong kerana beroleh kekayaan atau pangkat; sebetulnya sebenarnya, sesungguhnya, nyata: itu ~ begitu;betul-betul 1. benar-benar, sungguh-sungguh: demokrasi ~ diamalkan di sini; 2. sudah sempurna, cukup, benar-benar: biarkan air itu mendidih dan ~ masak; gaulkan ramuan itu sehingga ~ sebati; 3. tepat benar: dia berdiri ~ di hadapan saya; 4. dgn baik dan sempurna, elok-elok: sikat rambutmu ~ supaya kelihatan kemas;berbetul ark 1. membaiki, merapikan (pakaian, sanggul, dll): Tun Tuah pun tersangkut pd tirai paseban itu, lalu ~; 2. sesuai, cocok: beta hendak pertaruhkan diri beta yg dagang ini kpd anak raja itu, tetapi jikalau sudah ~ pd fikiran nenek;berbetulan bertepatan (dgn), selaras (dgn), sesuai (dgn): letakkan mata gergaji itu ~ dgn tebal kayu yg hendak dibelah;membetuli 1. menujui, mengarahkan, mengenai sasaran: Panji Semirang pun segeralah mengambil anak panahnya, dikenakan pd ibunya, lalu dibetuli dan dilepaskan; 2. membaiki: sambil bangun ia ~ kain sarungnya;membetulkan 1. membaiki (kerosakan, kesalahan, dll): ia ~ duduknya; ~ ejaan yg salah; ~ jam tangannya; 2. membenarkan, menganggap betul: pembunuh itu ~ segala tuduhan;kebetulan 1. dgn tidak sengaja, dgn tidak disangka-sangka: cerita ini berdasarkan pengembaraan dan peristiwa-peristiwa ~; 2. keadaan (kejadian) yg terjadi secara tidak diduga: ini satu ~ saja; 3. tepat atau kena benar (dgn tidak sengaja), pd ketika yg sama (dgn): saya ~ ada di sana ketika ia mengucapkan kata-kata itu;berkebetulan bersamaan masanya (halnya dll): Louis Braille ~ buta sewaktu ia berumur tiga tahun;pembetulan perihal (perbuatan, kerja, dsb) membetulkan: ~ kesalahan itu boleh dibuat nanti. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[be.tul] | بتول

Definisi : 1 tidak bohong; benar; sungguh: Berita mana yg ~, dr radio atau dr surat khabar? 2 tidak salah lagi; tidak keliru: Tanggapan engkau itu memang ~. 3 tepat benar; kena pd sasaran: Tembakannya itu kena ~ pd bahagian tengah bulan-bulan. 4 bukan olok-olok; sungguh: Dia sudah gila ~. 5 tidak bercampur dgn yg lain; tulen; jati: Ini emas ~. 6 sangat; amat: Mahal ~ telur ayam itu. betul-betul tidak main-main; benar; sungguh-sungguh: Petani mesti menjaga dan bekerja ~ supaya padi mereka tumbuh subur. berbetulan tidak bersalahan (dgn); tepat atau sesuai (dgn): Hari perkahwinan jatuh pd hari Isnin, ~ pd hari lahirnya. membetulkan 1 menjadikan betul; membaiki apa-apa yg rosak: Pekerja-pekerja sedang ~ jalan-jalan yg rosak. 2 menganggap betul; mengiakan: Ia senantiasa ~ apa-apa yg dikatakan oleh sahabatnya. kebetulan 1 dgn tidak sengaja; dgn tidak disangka-sangka: Gelang isterinya yg hilang itu telah dijumpainya secara ~ ketika ia menyapu di rumahnya. 2 pd ketika yg sama dgn: Ketua-ketua mereka telah membawa laporan mesyuarat itu kpd Nekman, dan ~ Nekman pun sedang membincangkan perkara itu juga. pembetulan perbuatan atau hal membetulkan. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata betul

Puisi
 

Sayang mastali benang mastali,
     Anak patu dikasi makan;
Betul-betul memegang janji,
     Seperti paku lekat di papan.


Lihat selanjutnya...(18)
Peribahasa

Diindang ditampi teras,
     dipilih antah satu-satu.

Bermaksud :

Jika hendak mencari isteri, menantu atau pegawai hendaklah diusul periksa betul-betul jangan tersalah pilih.

 

Lihat selanjutnya...(15)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Salam/hai, saya betul-betul keliru dengan penggunaan TEMUI, TEMUKAN, MENEMUKAN dan MENEMUI. Saya ada merujuk contoh di prpm namun masih keliru kerana terdapat ayat yang tidak konsisten digunakan dalam khidmat nasihat dan lain-lain. Bolehkah berikan petua supaya tidak lagi keliru? Terima kasih.

Untuk makluman puan, “temui” merupakan kata kerja pasif “menemui” yang bermaksud bertemu atau berjumpa dengan seseorang atau sesuatu. Manakala “temukan” pula ialah kata kerja pasif “menemukan” yang bermaksud menjumpai atau berjumpa dengan sesuatu atau seseorang. Sekiranya terdapat kekeliruan tentang bahasa, puan bolehlah membuat rujukan buku-buku berkaitan contohnya, Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga dan Kamus Dewan Perdana.

Tatabahasa25.08.2022
Boleh tak tuan berikan penjelasan, yang manakah ayat berikut betul? atau kesemuanya betul? mengapa? 1. Cita-cita saya ialah menjadi seorang guru. (2012 kata ayat ini betul) 2. Cita-cita saya ialah guru. (2011 kata ayat ini betul) 3. Cita-cita saya menjadi seorang doktor. (2016 kata ayat in betul) ketiga-tiga ayat ini telah dijumpai dalam khidmat nasihat DBP. Saya keliru, ayat manakah yang harus saya guna?

Ayat yang betul adalah seperti yang berikut:

1.    1Cita-cita saya ialah guru.

2.    2. Cita-cita saya menjadi seorang doktor.

Ayat Cita-cita saya ialah menjadi seorang guru, tidak betul kerana penggunaan kata pemberi ialah hadir di hadapan frasa nama. Dalam ayat tersebut kata pemberi ialah hadir di hadapan frasa kerja, iaitu menjadi seorang guru.

Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci,  sila rujuk buku Tatabahasa Dewan,  halaman 263 - 265.

Bagi ayat nombor satu (1), pihak kami ambil maklum. Penambahbaikan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa. 
Tatabahasa21.01.2024
ATURCARA @ ATUR CARA - MANA YANG BETUL URUSETIA @ URUS SETIA - MANA YANG BETULEjaan yang betul ialah atur cara dan urus setia (ejaan dijarakkan). Sila rujuk kamus terbitan DBP yang terkini iaitu Kamus Dewan Perdana (DBP,2020).Ejaan12.09.2023
1. Adakah penggunaan frasa berikut betul atau tidak? Jika betul tolong sertakan contoh ayat. 1. Lembaran minda 2. Ufuk pemikiran 2. Yang mana satukah yang betul 'terutama' atau 'terutamanya'. Mohon penjelasan dan contoh ayat.

1. Penggunaan frasa “lembaran minda” dan “ufuk pemikiran” boleh diguna pakai dalam ayat dan digunakan berdasarkan konteks dan kesesuaian dalam ayat tersebut. Contoh ayat ialah “Ufuk pemikiran" Pendeta Za'ba tentang bahasa sangat mendalam maknanya. dan Koleksi "lembaran minda" tokoh terkenal itu telah dibukukan.

 

2. Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua maksud perkataan “terutama” dan “terutamanya” tidak banyak perbezaannya. Kedua-duanya membawa maksud yang terpenting atau yang mustahak sekali. Fungsi kata "nya" dalam perkataan "terutamanya" bermaksud untuk menegaskan atau menguatkan sesuatu maksud itu. Contoh ayat, Lapisan sel pipih yang melapisi permukaan dalam pelbagai organ tubuh, “terutamanya” pembuluh darah, pembuluh limfa dan jantung. Ayat kedua, Hamzah menulis karangan-karangannya “terutama” untuk orang yang tidak mengetahui bahasa Arab dan Parsi.
Tatabahasa20.08.2022
Salam, Ayat yang manakah betul? (a) Lakar graf pada ruang jawapan atau Lakarkan graf pada ruang jawapan. (b) Gariskan jawapan yang betul atau Garisi jawapan yang betul. Boleh terangkan penggunaan imbuhan akhiran kan dan i. Terima kasih.Ayat yang betul:
(a) Lakarkan graf pada ruang jawapan.
(b) Gariskan jawapan yang betul / Garisi jawapan yang betul

Akhiran -kan membentuk kata kerja transitif dan terdapat dua pengertian khusus, iaitu memberi pengertian kausatif (menyebabkan jadi) dan memberi pengertian benefaktif (melakukan sesuatu untuk manfaat orang lain), manakala akhiran -i juga membentuk kata kerja transitif dalam dua bentuk, iaitu dalam ayat pasif diri pertama dan kedua dan dalam ayat suruhan. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga, halaman 186 - 190.
Tatabahasa22.02.2023
Dia adalah muda. Ayat di atas betul ke?Ayat "Dia adalah muda.", tidak betul. Ayat yang betul ialah "Dia muda."/"Dia amat muda." (pola Frasa Nama + Frasa Adjektif). Tatabahasa23.11.2023
Wahai,anakku sayang,jangan menangis lagi! Ayat ini betul tak?Jika tidak betul, Wahai menjadi apa?Ayat “Wahai anakku sayang, jangan menangis lagi!” betul. Perkataan “wahai” merupakan kata seru untuk menarik perhatian, menyatakan rasa sedih dan lain-lain.  Tatabahasa03.08.2022
Semalam saya mendapat tidur selama 6 jam. Ayat ini betul ke?Ayat yang diberikan tidak betul. Ayat yang betul ialah “Semalam saya tidur selama enam jam”.Tatabahasa27.10.2022
1) adakah penggunaan kata ‘aliran’ betul pada ayat ini “Aliran sungai di belakang rumah saya sungguh deras” 2) apakah kata ganda yang tepat bagi “jam tangan” ‘jam-jam tangan’ atau ‘jam tangan-jam tangan’ 3) adakah penggunaan kata ‘masam’ betul pada ayat ini “Biskut dalam bekas itu sudah berbau masam” 4) adakah penggunaan kata ‘terdedah’ betul pada ayat ini “Pintu hadapan rumah itu terdedah” 5) ayat yang manakah betul “Kedua-dua murid lelaki itu saling bertumbuk-tumbukan.” atau “Kedua-dua murid lelaki itu saling bertumbukan.” atau “Kedua-dua orang murid itu saling bertumbukan” 6) adakah penggunaan kata ‘mempertajam’ betul pada konteks di bawah “mempertajam akal fikiran” “mempertajam skilnya” “mempertajam usaha” 7) kenapa ayat ini salah “seekor ikan paus dijumpai terhampar di tepi laut semalam”Berikut merupakan jawapan untuk soalan yang dinyatakan:
1. Ayat tersebut betul.
2. Kata ganda yang betul ialah "jam-jam tangan".
3. Penggunaan perkataan "masam" dalam ayat yang dinyatakan tidak betul kerana perkataan "masam" merujuk pada "rasa seperti cuka atau mempelam muda" dan " "keadaan berbau seperti pakaian yang tidak kering atau susu yang diperam" (Kamus Dewan Perdana, halaman 1419). 
4. Ayat tersebut betul.
5. Ayat-ayat yang betul ialah "“Kedua-dua murid lelaki itu saling bertumbukan” dan “Kedua-dua orang murid itu saling bertumbukan”. 
6. Penggunaan perkataan "mempertajam" betul pada konteks yang dinyatakan kecuali pada frasa "mempertajam skilnya". Frasa tersebut perlu ditukar pada "mempertajam kemahirannya".
7. Ayat tersebut salah kerana perkataan "terhampar" bermaksud terbentang luas. Ayat yang betul ialah "“Seekor ikan paus dijumpai terdampar di tepi laut semalam". ”
Tatabahasa13.09.2023
Semalam saya mendapat sakit pinggang ketika membawa sebuah meja ke bilik saya. Ayat ini betul ke?Ayat yang diberikan tidak betul. Ayat yang betul ialah “Semalam saya mengalami sakit pinggang ketika mengangkat meja ke bilik saya”.Tatabahasa27.10.2022
12345678910...

Kembali ke atas