Andalus, Pembukaan. Musa ibn Nusayr dilantik
sebagai pemerintah Maghribi (Barat Laut Afrika) pada
tahun 89 H bersamaan dengan tahun 707 M. Dia
dilantik menggantikan Hassan ibn al-Nu‘man yang
dipecat kerana kes perselisihannya dengan Gabenor
Mesir. Pada permulaan zaman pemerintahan Musa
ibn Nusayr, orang Barbar telah memberontak
menentangnya, tetapi dia dapat menghapuskan
pemberontakan itu dengan kekerasan. Seterusnya dia
berjaya membuka Tangier yang merupakan kubu
terakhir puak Barbar tersebut, lalu melantik Tariq ibn
Ziyad menjadi gabenor di situ. Musa menggunakan
dasar yang sangat bijaksana untuk menghentikan
pemberontakan Barbar yang sering berulang, iaitu
dengan mengislamkan seluruh negeri itu. Musa
berjaya mengajak kaum Barbar memeluk Islam dan
melatih beribu-ribu orang dalam kalangan mereka
menjadi tenteranya. Kemudian dia menyediakan
armada laut yang besar untuk melindungi sempadan
kawasan pantai daripada serangan tentera Rom. Di
samping itu dia memulakan serangan ke atas pulau-pulau
dan markas tentera Rom yang berhadapan
dengan pantai Afrika Utara, iaitu Kepulauan Balearic,
Sicily dan Sardinia, sehingga daerah kekuasaannya
meliputi semua kawasan persisiran kecuali Ceuta, di
timur Tangier yang merupakan kubu kuat Rom.