Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[brék] | بريک

Definisi : alat utk menghentikan gerakan atau mengurangkan kelajuan kenderaan (kereta, basikal, dll): apabila ia menekan ~, keretanya berhenti; ~ angin brek yg menggunakan udara mampat, terutamanya pd kenderaan berat spt lori dan bas; ~ gelendong sistem brek kenderaan yg kepingan logam melengkungnya menekan permukaan dalam gelendong logam yg berputar apabila membrek; ~ hidraulik sistem brek kenderaan bermotor yg menggunakan tekanan hidraulik; ~ kaki brek yg ditekan dgn kaki utk memberhentikan atau memperlahankan kenderaan (kereta, motosikal dsb); ~ piring = ~ cakera sistem brek kereta dsb yg menggunakan geseran sepasang pad yg ditekan pd cakera brek yg berputar pd hab roda; ~ tangan a) brek kenderaan (spt kereta, lori dsb) yg dikendalikan dgn tangan, digunakan apabila kenderaan tidak bergerak; b) brek pd hendal motosikal (basikal dsb) yg dikendalikan dgn tangan; membrek menekan (menarik) brek: drebar ~, dan lori itu terhenti di tepi jalan; membrekkan menghentikan gerakan atau mengurangkan kelajuan dgn menekan (menarik) brek: ia ~ keretanya tidak berapa jauh dr simpang empat. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[brék] | بريک

Definisi : /brék/ alat yg digunakan utk menghentikan jentera, kereta dsb. ~ hidraulik sistem brek kenderaan bermotor yg menggunakan kuasa mekanikal yg terhasil drpd cecair yg bergerak dlm saluran atau paip yg diberi tekanan. membrek menekan atau menarik brek utk menghentikan kereta dsb. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata brek


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Bolehkah saya terjemahkan Engine Braking Control (EBC) kepada Pengawal Brek Enjin? Atau lebih sesuai Sistem Kawalan Pembrekkan Enjin?Cadangan padanan bagi istilah Engine Braking Control (EBC) dalam bahasa Melayu ialah Kawalan Brek Enjin. Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaan dalam sesuatu bidang tertentu.Istilah01.02.2024
Terjemahan istilah dari bahasa English kepada Melayu 1. Multi Info Display 2. Foot Parking Brake Kedua-dua istilah ini digunakan untuk keterangan terhadap alatan dalam kenderaan.

Encik Nazli,

Padanan bahasa Melayu bagi istilah yang dikemukakan adalah seperti yang berikut :

i. Multi Info Display : Paparan Pelbagai Maklumat ii. Foot Parking Brake : Brek Letak Kenderaan Jenis Kaki( seperti yang dibincangkan melalui telefon)

Istilah30.12.2009
Saya ada soalan tentang Penyemakan dan penterjemahan perkataan bertanya Tuan/Puan. Saya mahu bertanya bahawa adakah perkataan “kerusakan” masuk dalam kamus dewan terkini DBP ( jika ada dalam kamus, apakah kata dasar kerusakan) dan perkataan “kerusakan” boleh atau tidak digunakan dalam karangan? Dalam Google, saya banyak lihat kerusakan digunakan. Lihat sini: https://rb.gy/n27llrEjaan yang betul ialah kerosakan yang membawa makna: 

kata nama

1. hal atau keadaan rosak.
Contoh penggunaan:
Mekanik akan memeriksa enjin kenderaan untuk mengenal pasti kerosakan yang dialami.

kata kerja tak transitif
2. mengalami keadaan rosak.
Contoh penggunaan:
Lori yang dipandunya kerosakan brek lalu merempuh plaza tol.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020:1898).
Ejaan20.02.2024
Mohon pencerahan berhubung : 1. Perbezaan kata 'memerhatikan' dengan 'memperhatikan' dan cth penggunaan yang tepat. 2. penggunaan kata 'memakan', 'memakankan', dan 'makan'. Terima kasih

Jawapan 1

Mengikut takrifan Kamus Dewan Edisi Keempat memperhatikan sama maksud dengan memerhatikan.

Memperhatikan ialah kata terbitan daripada kata dasar hati dan ditambah apitan memper_kan, manakala memerhati ialah kata terbitan daripada kata dasar perhati dan ditambah awalan me_kan,dan kedua-duanya membawa makna yang sama, iaitu mengendahkan.

Penggunaan yang betul ialah “memerhatikan” yang bermaksud mempedulikan, mengendahkan, menaruh minat, mengawasi, atau menjaga. Kata “memperhatikan” tidak digunakan kerana awalan 'Memper -'  lazimnya digabungkan dengan kata nama (memper + alat = memperalat), kata adjektif (memper + besar = memperbesar), dan kata sendi (memper + oleh = memperoleh).

Contoh ayat ialah Pegawai polis sedang memerhatikan setiap pergerakan penjenayah itu semenjak minggu lepas.

 

Jawapan 2

Memakan

Perkataan memakan biasanya digunakan dalam menyampaikan maksud mengambil (contoh ayat, Proses baik pulih rumah itu memakan masa enam bulan), merosakkan, membinasakan, memusnahkan (contoh ayat, Anai-anai telah memakan tiang rumah usang itu), dan mematikan (contoph ayat, Dalam permainan dam aji, pemain yang dapat memakan lawannya yang paling banyak dinobatkan sebagai pemenang)

Memakankan

Perkataan memakankan mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat mempunyai dua maksud. Pertama, memasukkan benang pakan pada kain yang ditenun. Kedua, mengusahakan supaya sesuatu dimakan atau memakan untuk seseorang.

Makan

Perkataan makan digunakan untuk menyampaikan pelbagai maksud. Pertama, bermaksud memamah serta menelan makanan atau mengunyah sesuatu. Kedua, merujuk kepada rezeki (contoh ayat, Dia tidak dapat mencari makan hari ini kerana teksinya rosak). Ketiga, bermaksud menggunakan, menghabiskan atau memerlukan (contoh ayat, Projek membina jambatan itu makan belanja yang besar). Keempat, makan merujuk kepada melukai atau menembusi (contoh ayat, Tikaman kerisnya tidak makan). Kelima, bermaksud bekerja seperti yang dijangkakan (contoh ayat, Brek basikal itu tidak lagi makan). Keenam, bermaksud dapat masuk (contoh ayat, Paku itu hanya setengah inci masuk ke dalam papan. Ketujuh, bermaksud mengikut atau menerima (contoh ayat, Inilah jadinya kalau orang yang tidak makan nasihat). Kelapan, bermaksud menggelapi atau mengambil secara haram (contoh ayat, Pegawai perumahan itu kuat makan duit).

Makna25.02.2014

Kembali ke atas