Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera. Saya ingin memohon pencerahan, apakah terjemahan yang betul untuk kata jamak "identity card numbers" dan "specimen signatures"? Adakah "nombor kad pengenalan - nombor kad pengenalan" atau "nombor-nombor kad pengenalan" atau "nombor kad pengenalan - kad pengenalan"; dan "contoh tandatangan -contoh tandatangan", "contoh-contoh tandatangan" atau "contoh tandatangan-tandatangan"? Selain daripada itu, carian keputusan Khidmat Nasihat menemukan saya dengan dua nasihat berbeza mengenai ejaan "jangka masa"; nasihat pada tahun 2009 mengeja secara rapat manakala nasihat pada tahun 2011 serta 2018 mengeja secara terpisah. Terima kasih. | Jawapan yang betul ialah: a. nombor-nombor kad pengenalan dan contoh-contoh tandatangan. b. jangka masa | Tatabahasa | 31.03.2021 |
Pertanyaan berhubung penggunaan tanda "-" sama ada dijarakkan atau dirapatkan dengan contoh-contoh seperti berikut: (i) Lebuh Raya Kuantan-Segamat atau Lebuh Raya Kuantan - Segamat? (ii) "...laluan penerbangan Kuala Lumpur-Singapura" atau ...laluan penerbangan Kuala Lumpur - Singapura"? (iii) perkhidmatan bas ekspres Kuala Lumpur-Johor Bahru atau perkhidmatan bas ekspres Kuala Lumpur - Johor Bahru? | Pengunaan tanda pisah (–) dalam ketiga-tiga contoh ayat yang diberikan perlu dijarakkan. | Tatabahasa | 30.11.2020 |
Sukacita sekiranya pihak DBP dapat memberi penjelasan mengenai perkataan pernyataan, penyataan dan kenyataan dengan contoh-contoh tertentu. Peter Johnson | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, “Pernyataan” ialah kata-kata dan sebagainya yang menyatakan sesuatu, pemberitahuan pemakluman. Selain itu, pernyataan juga bermaksud kenyataan rasmi yang di dalamnya terkandung gagasan, hasrat, isu dan sebagainya tentang sesuatu perkara. Contoh ayat, “Pernyataan ini tentunya agak berlawanan dgn pernyataan klasik ahli linguistik tempatan”. “Penyataan” pula bermaksud perbuatan menyatakan. Sebagai contoh, “Kesusasteraan bukanlah lahir daripada kekosongan, tetapi adalah penyataan daripada pergolakan dan perkembangan masyarakat”. “Kenyataan” pula bermaksud perihal nyata, kejelasan atau keterangan. Contoh ayat, “Perdana Menteri membuat satu kenyataan penting melalui radio malam ini”. Sekiranya saudara mempunyai persoalan yang lain, saudara boleh menggunakan enjin carian Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) http://prpm.dbp.gov.my untuk mencari maklumat. PRPM merupakan satu cara lain untuk membuat rujukan atau mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Saudara hendaklah memasukkan perkataan tersebut dalam ruang yang disediakan dan klik "cari".
| Lain-lain | 24.01.2022 |
PENGGUNAAN KURUNGAN DI DALAM PENULISAN RASMI Contoh 1: ______(Percetakan (Dikhas kepada Syarikat 100% Bumiputera))______. Contoh 2: ______[Percetakan (Dikhas kepada Syarikat 100% Bumiputera)]______. Betul atau tidak contoh-contoh penggunaan kurungan ayat di atas. Jika salah, mohon perbetulkan cara penggunaan yang betul. Terima Kasih. | Penggunaan tanda baca yang betul ialah [Percetakan (Dikhas kepada Syarikat 100% Bumiputera)]. | Lain-lain | 04.01.2021 |
Apakah perbezaan perkataan 'perisikan' dan 'risikan' dan penggunaan kedua-dua perkataan ini? Bagi contoh-contoh ayat di bawah, perkataan mana yang betul? (1) Usaha ini dilakukan melalui aktiviti risikan atau perisikan .... (2) Tindakan lain seperti pemeriksaan, pengeluaran surat amaran, risikan atau perisikan lanjut ... (3) Pegawai risikan atau perisikan (4) Aktiviti seperti pengesahan maklumat, pemprofilan dan risikan atau perisikan lanjut juga perlu dilakukan... | Apakah perbezaan perkataan 'perisikan' dan 'risikan' dan penggunaan kedua-dua perkataan ini? Perisikan ialah perihal kegiatan dan sebagainya, manakala risikan ialah usaha menyiasat dan menyelidik secara rahsia atau dengan cara sembunyi-sembunyi. Ayat yang betul adalah seperti yang berikut: (1) Usaha ini dilakukan melalui aktiviti risikan. (2) Tindakan lain seperti pemeriksaan, pengeluaran surat amaran dan perisikan lanjut... (3) Pegawai perisik (4) Aktiviti seperti pengesahan maklumat, pemprofilan dan perisikan lanjut juga perlu dilakukan... | Tatabahasa | 08.04.2022 |
1. Bilakah kita menggunakan i) di majlis/acara; ii) dalam majlis/acara? Adakah contoh-contoh berikut betul: a) Ahli parlimen itu telah berucap di majlis tertutup itu. b) Kekecohan berlaku dalam majlis akad nikah apabila pengantin pengsan. 2. Yang mana satukah betul: a) Liana melarikan diri dari penculiknya, atau b) Liana melarikan diri daripada penculiknya. Terima kasih dan salam takzim. | Penggunaan kata sendi nama yang betul ialah "dalam majlis". Oleh itu ayat yang betul ialah a). Ahli parlimen itu telah berucap dalam majlis tertutup itu. b) Kekecohan berlaku dalam majlis akad nikah apabila pengantin (perempuan/lelaki) pengsan. 2. b) Liana melarikan diri daripada penculiknya. | Tatabahasa | 04.06.2021 |
salam, ada beza tak penggunaan 'digantikan oleh' dan 'digantikan dengan'? jika ada, mohon jelaskan dan berikan contoh-contoh. terima kasih. | Kedua-duanya boleh digunakan dan membawa maksud yang sama. | Tatabahasa | 19.05.2022 |
Salam Eid Mubarak Saya ingin bertanya sama ada perkataan "bersimpuh" boleh digunakan untuk tangan sebab saya pernah membaca di dalam karya tulisan dan juga contoh-contoh ucapan hari raya seperti "Izinkan tangan bersimpuh maaf..." Tetapi dlm kamus DBP, tidak ada contoh perkataan ini untuk tangan. Cuma kamus Bahasa Indonesia dan apabila menggunakan penterjemahan Google dari Malay ke English ia memberikan maksud bersimpuh sebagai "clenched together". Maksudnya meletak kedua tapak tangan bersama seperti menyembah atau seperti budaya orang Thai yang meletak tangan bersama di dada sebagai tanda salam. Mohon pencerahan sama ada ia boleh digunakan untuk tangan yg diletakkan bersama. | Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, bersimpuh bermaksud duduk bertelut, bertimpuh (seperti perempuan duduk), iaitu duduk dengan melipatkan kedua-dua belah kaki ke belakang. Oleh itu, bersimpuh dalam bahasa Melayu hanya boleh digunakan untuk menggambarkan keadaan seperti yang dinyatakan. | Istilah | 27.05.2020 |
Salam sejahtera, saya ingin bertanya, apakah partikel "kah" itu harus selalu di tulis bersambung dengan perkataan Melayu atau kata nama khas sebelumnya. Umpamanya untuk contoh-contoh berikut: "Ya kah, apa dia kata begitu?" "Si Lehakah yang datang?" Atas penjelasannya saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih. Salam hormat, Ahmad Shah | Dalam bahasa Melayu, terdapat kata penegas yang disebut juga partikel atau kata penyerta ialah sejumlah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat, iaitu -kah, -tah dan -lah. Partikel -lah, -kah dan -tah mesti ditulis bersambung dengan perkataan sebelumnya. Untuk maklumat lanjut , sila rujuk buku Tatabahasa Dewan , halaman 261. | Tatabahasa | 17.04.2020 |
Salam pihak DBP, Bolehkah brumation (A lethargic state in reptiles and in some other animal species [e.g. bears], somewhat analogous to hibernation but not the same.) diterjemahkan kepada brumasi? Ini merujuk kepada contoh-contoh lain seperti hibernation, configuration dan sebagainya. Sekiranya perkataan English berakhir dengan -tion belum direkodkan, bolehkah diterjemahkan terus dengan akhiran -si atau perlu dikekalkan dan diitalikkan terlebih dahulu sehingga ia direkodkan? | Boleh menggunakan padanan bahasa Melayu brumasi.Perkataan English yang berakhir dengan imbuhan -tion dan belum digubal perlu dibincangkan terlebih dahulu dan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka akan mengutamakan bentuk bahasa Melayu berdasarkan Pedoman Pembentukan Istilah terlebih dahulu sebelum memilih kaedah penyerapan kata daripada bahasa Inggeris. | Istilah | 08.09.2022 |