Salam sejahtera. 1. Dia fasih dalam bahasa Melayu. 2. Dia fasih dalam Bahasa Melayu. 3. Dia fasih dalam bahasa Malaysia. 4.Dia fasih dalam Bahasa Malaysia. Yang manakah betul ? Sekian, terima kasih. | Penggunaan yang betul ialah 'Dia fasih bertutur dalam bahasa Melayu/bahasa Malaysia' - Mengikut Perlembagaan Malaysia istilah yang betul ialah bahasa Melayu. Walau bagaimanapun kabinet Malaysia telah mengeluarkan arahan agar istilah bahasa Malaysia digunakan menggantikan istilah bahasa Melayu bagi tujuan perpaduan. Dalam hal ini kami berpendapat penggunaan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia perlu disesuaikan mengikut konteks penggunaannya. contohnya, jika penggunaan ini bagi tujuan ilmu dan 'Dia' yang dikaitkan dalam ayat ini adalah orang asing/luar negara maka istilah bahasa Melayu yang paling tepat digunakan kerana bahasa itu dikaitkan dengan ilmu dan peradaban. | Tatabahasa | 09.04.2011 |
1. Juri yang dilantik hendaklah fasih berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris. 2. Juri yang dilantik hendaklah fasih berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Ayat 1 atau 2 lebih baik? Ada cadangan lain? | 1. Juri yang dilantik hendaklah fasih berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris. 2. Juri yang dilantik hendaklah fasih berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Kedua-dua ayat tersebut betul tetapi yang lazim digunakan ialah ayat yang kedua. | Tatabahasa | 10.11.2010 |
Assalamualaikum tuan. Berdasarkan entri kata "fasih" dalam kamus merujuk maksud berikut:Definisi : 1. lancar dan baik sebutannya (ketika bercakap-cakap), petah; ~ lidah = berlidah ~ lancar dan mudah bercakap, pandai berkata-kata; 2. lancar dan baik sebutannya (apabila bertutur dlm sesuatu bahasa lain), petah: ~ berbahasa Perancis; memfasihkan menjadikan fasih (berkata-kata atau bertutur dlm sesuatu bahasa), memetahkan; kefasihan perihal fasih, kepetahan: ~nya bertutur dlm bahasa Melayu membanggakan kami; ~ berkata-kata. (Kamus Dewan Edisi Keempat). Mohon penjelasan tuan, bagaimanakah istilah "fasih digital" atau "kefasihan digital" diwujudkan dan apakah rasional memilih perkataan "fasih" bagi istilah tersebut? | Istilah kefasihan digital terbentuk daripada istilah sumber digital fluency. Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, kefasihan (kelas kata nama) bermaksud hal atau keadaan fasih yang merujuk kata sumber fluency. Fasih mempunyai takrifan yang ketiga (3), iaitu tahu benar tentang sesuatu bidang. Oleh sebab itu, padanan istilah bahasa Melayu kefasihan digital menepati konsep digital fluency. | Istilah | 10.01.2024 |
Adakah Istilah “fasih” hanya sesuai digunakan untuk penutur bukan asli, iaitu untuk seseorang yang pandai bercakap dalam sesuatu bahasa asing yang dipelajarinya? | Fasih bermaksud lancar dan baik sebutannya. Tidak ada pengkhususan makna fasih kepada penutur jati sahaja atau sebaliknya. | Tatabahasa | 02.06.2016 |
Salam sejahtera, saya ingin tanya apakah perbezaan antara fasih dan petah? Terima kasih | Salam sejahtera, Berikut ini diperturunkan beberapa contoh penggunaan bagi fasih dan petah yang dipetik daripada korpus DBP, iaitu: 1. fasih a. ... Mahadzir yang juga fasih dalam bahasa Itali, Perancis, Portugis dan Sepanyol b. Kita juga ada ramai ulama yang fasih berbahasa Arab ... c. ... untuk berurusan dengan warganegara asing yang tidak fasih berbahasa Inggeris d. Saya mengambil masa empat tahun untuk fasih dan mahir dalam bahasa Mandarin. 2. petah a. Ashraf seorang yang petah bercakap dan suka berhujah. b. ... soal Dayang Ruku yang sememangnya lebih petah berbicara berbanding Dayang Hubu ... c. Artis yang petah berbicara ini mengakui cukup teruja sebaik saja dikhabarkan ... d. ... Lincoln telah mula terkenal sebagai seorang yang petah lagi bijak bercakap. Berdasarkan contoh yang diberikan, terdapat perbezaan antara kedua-dua kata ini berdasarkan konteks penggunaannya. Perkataan fasih lebih sesuai digunakan untuk merujuk kepada tahap penguasaan bahasa seseorang yang bukan penutur asli bahasa itu, makakala petah pula merujuk kepada kebolehan seseorang melontarkan kata-kata dengan lancar dan jelas sebutannya sewaktu berbicara, berhujah dan sebagainya dalam bahasa yang dikuasainya. Terima kasih. | Makna | 23.09.2024 |
salam, sy aisyah, pelajar tahun 2 di UKM, kos Liguistik, sy merupakan pelajar luar negara, sy fasih menulis dan bertutur dalam bahasa melayu, dan fasih bertutur dalam basaha thai, boleh sy dapatkan syarat-syarat pemohonan Latihan Industri di DBP. Terima kasih | Terima kasih atas pertanyaan dan minat saudari untuk mengikuti Latihan Industri di DBP. Sila kemukakan permohonan rasmi melalui pihak UKM menyatakan tempoh dan bidang kerja yang hendak dipelajari. Permohonan hendaklah dialamatkan kepada Ketua Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Aras 7, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. | Lain-lain | 22.10.2012 |
apakah mksud istilah berkelakuan baik, menderhaka terhadap kerajaan, dan fasih berbahasa melayu | Berkelakuan baik bermaksud mempunyai akhlak yang baik, bermoral ataupun beretika. Menderhaka terhadap kerajaan bermaksud menentang atau tidak mengikut undang-undang yang telah sedia ada dalam sesebuah kerajaan yang sah. Fasih berbahasa Melayu bermasud seseorang itu boleh menuturkan bahasa Melayu dengan baik terutamanya dari sudut tatabahasa dan difahami oleh orang lain. | Lain-lain | 29.06.2008 |
Assalamualaikum. Didapati ialah bahawa masih ada orang bukan Melayu yang tidak fasih bertutur bahasa Melayu. Mohon penjelasan pihak tuan tentang penggunaan ungkapan “adalah bahawa” dalam ayat ini. Terima kasih. | Saudara, Perkataan 'adalah' merupakan kata pemeri dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Contohnya : Sumbangan beliau adalah dari segi peningkatan ekonomi rakyat luar bandar; Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan badan. Perkataan 'bahawa' merupakan kata hubung komplemen yang berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi komplemen atau pelengkap pada klausa pertama. Contohnya: Guru itu menyatakan bahawa muridnya sangat rajin; Mereka mengetahui bahawa Haji Ahmad saudagar besar. Berdasarkan keterangan di atas, ayat yang betul ialah ' Didapati bahawa masih ada orang bukan Melayu yang tidak fasih bertutur bahasa Melayu. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan edisi Ketiga. | Tatabahasa | 04.11.2009 |
Sebagai rakyat Malaysia, kita harus fasih bertutur di dalam bahasa kebangsaan kita iaitu bahasa Malaysia. tuan, Bahasa Malaysia atau bahasa Malaysia digunakan dalam ayat ini. TQ | Mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Akta bahasa Kebangsaan penggunaan yang betul ialah bahasa Melayu. Begitu juga dari aspek ilmu bahasa itu disandarkan kepada peradaban Melayu, maka bahasa Melayu yang digunakan. Namun mengikut keputusan Kabinet Malaysia pada tahun 2006 perkataan bahasa Malaysia digunakan untuk menyemai rasa kekitaan dalam kalangan rakyat dan dalam konteks perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum. | Lain-lain | 05.02.2012 |
Assalamualaikum Tuan/ Puan, Penggunaan yang manakah betul? Fasih bertutur dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia? Bilakah masa yang sesuai untuk menggunakan Bahasa Melayu dan bila pula untuk Bahasa Malaysia? Mengapa penggunaan frasa ini tidak selaras di Malaysia dan banyak menimbulkan kekeliruan. Harap pihak tuan/puan dapat memberikan penjelasan. Terima kasih. | Mengikut Perlembagaan Persekutuan penggunaan yang betul ialah bahasa Melayu. Begitu juga dari aspek ilmu bahasa itu disandarkan kepada peradaban Melayu, maka bahasa Melayu yang digunakan. Walau bagaimanapun, istilah bahasa Malaysia digunakan oleh kerajaan untuk menyemai rasa kekitaan dalam kalangan rakyat dan dalam konteks perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Oleh itu, kedua-dua istilah ini betul dan digunakan mengikut konteks yang sesuai. | Lain-lain | 30.11.2020 |