Abu al-Faraj, al-Asfahaniy (284 H.–356 H./
897 M.– 966 M.), tokoh sastera yang terkenal pada
abad ketiga Hijrah dan berasal daripada keluarga
Umawiyyah. Nama penuhnya ialah Abu al-Faraj Aliy
ibn al-Husayn ibn Muhammad ibn Ahmad al-
Asfahaniy. Dia lahir di Isfahan dan kemudian
berpindah ke Baghdad untuk menetap di sana. Di
Baghdad, Abu al-Faraj berguru dengan para alim
ulama dalam bidang bahasa dan periwayatan
seperti Abu Bakar ibn Darid, Abu Bakar ibn al-
Anbariy, al-Fadl ibn al-Hibab al-Jumhiy, ‘Ali ibn
Sulayman al-Akhfashiy, Naftawayh, Muhammad ibn
Jarir al-Tabariy, Ahmad ibn Ja‘far, Jahzah dan
beberapa orang perawi lagi. Abu al-Faraj
mempunyai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk
syair, lagu, cerita-cerita rakyat, hadith sahih, ilmu
keturunan, bahasa, nahu, ilmu tentang amalan
khurafat, ilmu peperangan dan sejarah. Dia juga
menguasai ilmu yang berkaitan dengan deria dan
cara perubatannya, ilmu kedoktoran, astronomi dan
farmasi. Oleh sebab kemampuannya menguasai
pelbagai bidang ilmu ini, dia layak digelar sebagai
seorang pakar, fasilitator, ahli sejarah dan hafiz.