Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ge.la.ran] | ݢلرن

Definisi : 1. panggilan (sebutan) spt Tengku (Raja, Tun, Datuk, dll); ~ kehormat gelar yg diberi kerana jasa seseorang; 2. nama julukan (yg ada hubungannya dgn sifat atau keadaan seseorang dll, spt si bopeng, si bahlul, si kedekut, dll); (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ge.la.ran] | ݢلرن

Definisi : kata spt Tengku, Datuk yg digunakan utk menunjukkan keturunan atau taraf seseorang dll: Beliau telah dikurniai ~ Tan Sri. 2 nama julukan yg diberikan mengikut sifat seseorang: ~nya Si Jongang kerana giginya jongang. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata gelaran

Puisi
 

Seri Bangi gelaran paman,
     Waktu tuan raja di Kedah;
Tinggi bulan sayup pandangan,
     Berpakat kita tumpang cerah.


Lihat selanjutnya...(2)

Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Assalamualaikum.boleh bantu saya? Macam mana cara saya nak dapatkan istilah-istilah @ gelaran-gelaran salutasi rasmi dari peringkat tertinggi hingga ke bawah.Untuk mendapatkan maklumat berkenaan, tuan boleh merujuk Surat Pekeliling Am Bilangan 4 Tahun 2014, Panggilan Hormat dan Kaedah Penggunaannya yang dikeluarkan oleh Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa, JPM. Lain-lain23.08.2021
Apakah fungsi-fungsi bahasa istana?Bahasa istana merupakan satu jenis laras bahasa yang terdapat dalam bahasa Melayu. Digunakan oleh golongan istana dalam sistem komunikasi antara mereka seperti panggilan gelaran-gelaran, dan sebagainya.Lain-lain08.09.2006
apakah bersalin/melahirkan,terima kasih, dan datang yang digunakan dalam bahasa istana?Bahasa istana merupakan satu jenis laras bahasa yang terdapat dalam bahasa Melayu. Digunakan oleh golongan istana dalam sistem komunikasi antara mereka seperti panggilan gelaran-gelaran dan sebagainya yang mengandungi nilai bahasa yang tinggi dan beradab. Saudara boleh merujuk perkara ini di Bahagian Protokol dan Adat Istiadat, Jabatan Perdana Menteri.   Istilah26.04.2009
Dato’ Ahmad akan menerima bintang kebesaran yang membawa gelaran datuk. Itulah gelaran kedua selepas dia menerima gelaran dato’ tiga tahun yang lalu. Adakah ejaan datuk dan dato’ dalam ayat ini tepat?Ejaan gelaran dalam kedua-dua ayat perlu diselaraskan kepada Dato'. Berdasarkan kedua-dua ayat tersebut dapat menjelaskan bahawa pingat kebesaran yang diterima daripada negeri yang beraja.Lain-lain13.01.2013
Apakah perbezaan gelaran Dato' dengan Datuk? Adakah benar gelaran Dato' untuk darjah kebesaran yang diberikan oleh TYT atau Raja di setiap negeri. Manakala Datuk pula gelaran bagi mereka yang memperoleh darjah kebesaran daripada YDPAGelaran Dato' dikurniakan oleh negeri bersultan/beraja dan gelaran Datuk dikurniakan oleh negeri tidak bersultan/beraja atau Wilayah/Kerajaan Persekutuan.Lain-lain28.01.2014
Saya ada pertanyaan mengenai sapaan dalam gelaran di surat rasmi. Contohnya: (Dato'/Prof/Prof. Madya./Dr.). Soalan pertama, cukupkah sekadar sapaan bagi gelaran paling besar, iaitu (YBhg. Dato'/Prof/Prof. Madya./Dr.). Soalan kedua. atau perlukah ditulis setiap sapaan gelaran tersebut seperti ( YBhg. Dato'/ YBrs. Prof/ Tuan Prof. Madya./Tuan Dr.)? Soalan ketiga, yang manakah paling sesuai untuk Dr dan Prof. Madya? adakah Tuan atau YBrs.?Soalan terakhir, jika orang yang tiada gelaran, sapaannya ialah Tuan/Puan, jadi bagaimanakah perlu disekalikan dengan sapaan dengan orang yang ada gelaran? adakah begini? (YBhg. Dato'/ YBrs. Prof/ Tuan Prof. Madya./Tuan Dr./ Tuan/ Puan?). Terima Kasih1. Bagi individu yang mempunyai lebih daripada satu gelaran istana/kerajaan, pada kelazimannya hanya gelaran tertinggi yang digunakan dalam sapaan surat rasmi berserta dengan gelaran akademik, seperti YBhg. Prof. Dr. Ahmad bin Ali. Walau bagaimanapun, amalan ini bergantung pada ketetapan yang dibuat oleh empunya nama dan hal ini perlu ditujuk kepada pihak berkenaan. 

2. Gelaran yang sesuai ialah YBrs. Dr. Ahmad bin Ali dan YBrs. Prof. Madya Ahmad bin Ali.

3. Susunan gelaran ialah YBhg. Dato'/YBhg. Datuk Prof/YBrs. Prof. Madya./YBrs. Dr./Tuan/Puan.
Lain-lain22.04.2022
Assalamualaikum Mohon penjelasan berkaitan penggunaan panggilan kehormat/panggilan diraja di dalam penulisan buku terjemahan biografi. Saya agak keliru dengan kewajipan penggunaan gelaran kehormat tersebut memandangkan di dalam buku berbahasa Inggeris, gelaran tersebut tidak dinyatakan pun. Hanya nama disebut. Bolehkah jika gelaran kehormat tersebut tidak dinyatakan di dalam buku berbahasa Malaysia? Atau jika perlu dinyatakan, mohon dapat beri sedikit penerangan. 1. Contoh bagi penggunaan Tun Dr Mahathir, apakah setiap kali nama beliau dirujuk di dalam buku tersebut, harus disertakan bersama gelaran/panggilan kehormat beliau atau cukup dengan nama beliau sahaja, Mahathir? Bolehkah gelaran kehormat untuk Tun Dr Mahathir disebut sekali sahaja di dalam buku dan kemudian dirujuk sebagai Mahathir sahaja setiap kali diulang? 2. Bagi gelaran Sultan/Agong, contoh seperti Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah, perlukah disertakan bersama gelaran KDYMM Seri Paduka Baginda setiap kali disebut di dalam buku atau cukup dengan gelaran Yang di-Pertuan Agong sahaja? Mohon penjelasan. Terima kasih.
Gelaran dan nama penuh perlu dinyatakan pada setiap permulaan penulisan dalam setiap tajuk/topik dan bagi pengulangan, boleh menggunakan gelaran sahaja.

Contoh:
Tun Mahathir bin Mohamad ialah seorang doktor dan ahli politik. Tun merupakan Ahli Parlimen Langkawi.

Begitu juga untuk gelaran Agong, perlu dinyatakan dahulu gelaran penuhnya dan boleh diulangi dengan Yang di-Pertuan Agong.



Lain-lain13.10.2021
assalamualaikum. saya mempunyai 12 orang adik beradik. kakak saya bercadang untuk memberi gelaran kepada kami semua bagi memudahkan anak-anak saudara kami untuk memanggil kami semua. jadi, apakan urutan gelaran yang sesuai? (contoh: along, angah,....) kerana kami kehabisan idea untuk mencari 12 gelaran. terima kasihDalam budaya Melayu, anak pertama sehingga anak kelapan ada gelaran yang khusus. Tidak ada pula gelaran untuk anak yang kesembilan dan kesepuluh. Namun, anak kedua bongsu dan yang bongsu ada gelarannya. Gelaran mengikut tertib ialah: 1. Sulung/Along @ Pak/Mak Long; 2. Angah @ Pak/Mak Ngah; 3. Alang @ Pak/Mak Lang; 4. Pandak/Andak @ Pak/Mak Andak; 5. Ateh @ Pak/Mak Teh; 6. Anjang @ Pak/Mak Anjang; 7. Hitam/Itam/Atam @ Pak/Mak Tam; 8. Muda/Uda @ Pak/Mak Uda. Anak kesembilan boleh dinamakan sendiri dengan gelaran yang sesuai. Saya cadangkan no.9. Ilan @ Pak/Mak Ilan. Adi bermaksud adik (dalam bahasa Brunei). Oleh itu saya cadangkan, no. 10. Adi @ Pak/Mak Adi. Yang kedua bongsu, dalam keluarga ini no.11. digelar Acik @ Pak/Mak Acik; 12. Bongsu/Busu @ Pak/Mak Busu/Usu.  Ada juga sesetengah tempat menggunakan gelaran Enduk/ Mak Enduk yg bererti perempuan dan Wok/Mak Wok yang bererti manis manja. Makna23.09.2011
Assalamualaikum, Saya keliru dengan panggilan gelaran. Manakah yang betul bagi panggilan gelaran berikut? 1. Tuan Haji Dr. Ahmad bin Ali atau 2. Dr. Haji Ahmad bin Ali atau 3. Tuan Dr. Haji Ahamd bin Ali Harap mendapat penjelasan daripada Khdimat Bahasa kerana kekeliruan sering dihadapi di organisasi saya apabila melibatkan gelaran tersebut. Terim akasih.

Encik Rosli,

Dalam penggunaan gelaran amalan biasa adalah dengan meletakkan gelaran tertinggi di hadapan. Walau bagaimanapun, ada kalanya pihak individu memilih bentuk yang disenangi oleh mereka, biasanya yang melibatkan gelaran seperti Dr. Prof. dsb. Bagi contoh yang diberikan ketiga-tiga bentuk digunakan.   

Lain-lain22.10.2010
bagi seseorang yang mempunyai gelaran Ir. Dr. pada nama, apakah tanda hormat gelaran yang dalam persuratan? YBhg. Ir. Dr. atau salah satu gelaran profesional sahaja?Susunan yang betul ialah Ir. Dr. Walau bagaimanapun, dalam penulisan rasmi, sapaan yang digunakan untuk merujuk Ir. Dr. ialah Tuan. Contohnya, Tuan Ir. Dr. Muhammad. Perkataan Yang Berbahagia (YBhg.) digunakan untuk individu yang mempunyai gelaran kehormat seperti Tan Sri, Tan Seri, Dato' atau Datuk, akan tetapi individu tersebut bukan wakil rakyat kerana sapaan untuk wakil rakyat ialah Yang Berhormat (YB).Ejaan14.09.2021
12345678910...

Kembali ke atas