(1) Apakah perkataan Bahasa Melayu yang boleh menggantikan perkataan 'hang' dalam konteks ayat - "Anak saya akan gelisah jika peranti mudah alih yang digunakannya 'hang' " ? (2) Apakah perkataan dalam Bahasa Melayu bagi perkataan 'uneasy' dalam konteks ayat ini - "I feel uneasy when my mobile phone is broken" (3) Adakah 'tidak tenteram' , 'tidak senang' , 'gelisah' menggambarkan perasaan yang membawa maksud yang sama? (4) Adakah perkataan 'tergendala' boleh digunakan bagi menggambarkan telefon pintar yang sedang 'hang'? (5) Dalam konteks ayat ini - "Anak saya berasa tidak senang apabila peranti mudah alih yang digunakannya kehabisan bateri. " Perkataan yang sesuai adalah 'berasa' atau 'merasa'? Apakah yang membezakan kedua-dua maksud perkataan ini? Terima kasih. | (1) Apakah perkataan Bahasa Melayu yang boleh menggantikan perkataan 'hang' dalam konteks ayat - "Anak saya akan gelisah jika peranti mudah alih yang digunakannya 'hang' " ? Jawapan: Menurut Kamus Inggeris Melayu Dewan, perkataan hang boleh bermaksud delay, iaitu tergendala. Maka, pihak kami mencadangkan terjemahan yang sesuai bagi perkataan tersebut ialah tergendala. (2) Apakah perkataan dalam Bahasa Melayu bagi perkataan 'uneasy' dalam konteks ayat ini - "I feel uneasy when my mobile phone is broken" Jawapan: Pihak kami mencadangkan padanan bagi perkataan 'uneasy' dalam konteks ayat tersebut ialah risau. (3) Adakah 'tidak tenteram' , 'tidak senang' , 'gelisah' menggambarkan perasaan yang membawa maksud yang sama? Jawapan: ‘tidak tenteram' dan ‘gelisah’ membawa maksud yang sama. Namun, ‘tidak senang’ lebih tepat sekiranya ditambah dengan perkataan hati, iaitu ‘tidak senang hati’ (biasanya disebabkan oleh sesuatu perkara atau perbuatan). (4) Adakah perkataan 'tergendala' boleh digunakan bagi menggambarkan telefon pintar yang sedang 'hang'? Jawapan: Perkataan tergendala boleh digunakan bagi menggambarkan telefon pintar yang sedang 'hang' (5) Dalam konteks ayat ini - "Anak saya berasa tidak senang apabila peranti mudah alih yang digunakannya kehabisan bateri. " Perkataan yang sesuai adalah 'berasa' atau 'merasa'? Apakah yang membezakan kedua-dua maksud perkataan ini? Terima kasih. Jawapan: Berasa dan merasa, kedua-dua perkataan tersebut terbitan daripada kata rasa dan makna kedua-duanya hampir sama (merujuk Kamus Dewan). Dari segi amalannya, perkataan berasa biasanya dikaitkan dengan makna (i) mendapat rasa (yang dialami oleh bahagian badan) seperti berasa sakit, dan (iii) mengalami rasa di dalam hati seperti berasa suka. Merasa pula biasanya bermaksud mengalami rasa dengan lidah seperti manis atau masin. Oleh sebab itu, pihak kami mencadangkan penggunaan perkataan berasa dalam konteks ayat yang diberikan.
| Makna | 09.11.2019 |
perkataan sama erti bagi perkatan2 berikut: i)bimbsng, takut ii)sedih, sayu iii)kacau, tidak tenteram | risau,gelisah,khuatir. | Tatabahasa | 22.08.2007 |
Saya ingin bertanya berkaitan beberapa perkataan yang ingin saya terjemahkan kepada bahasa Melayu dan ingin mendapatkan pendapat sama ada ia betul atau salah. 1) Dilated pupil- mata membeliak 2) Anxiety- gelisah 3) alert- keadaan berjaga-jaga atau tahu tentang apa yang sedang berlaku di sekeliling 4) level of consciousness- tahap kesedaran 5) delirium- keracauan 6) fidgeteness- tak tahu duduk diam 7) withdrawal symtpoms- sakit gian dadah 8)attentive- dapat tumpukan perhatian 9)gone into hiding- dah larikan diri 10)mild anxiety- sedikit kegelisahan 11) slight resistance- tidak berapa setuju Sekian. Terima Kasih atas bantuan yang diberikan. Semoga Allah membalas jasa baik tuan/puan. | Berikut merupakan terjemahan yang betul: 1) Dilated pupil: Pupil terdilat/terbeliak 2) Anxiety: Kebimbangan, kerisauan, kecemasan, kekhuatiran 3) Alert: Memberitahu supaya bersiap-sedia, meyedarkan 4) Level of consciousness: Tahap kesedaran 5) Delirium: Racauan, keadaan terlampau seronok 6) Fidgeteness: Gelisah, resah 7) Withdrawal symtpoms: Simptom-simptom penarikan 8) Attentive: Memberikan perhatian penuh 9) Gone into hiding: Sudah pergi menyembunyikan diri 10)Mild anxiety: Kebimbangan, keresahan ringan 11)Slight resistance: Rintangan ringan, daya tahan lemah Padanan kata yang diberikan bersifat umum. Padanan kata lebih tepat apabila diberikan konteks mengikut kesesuaian ayat. | Makna | 08.06.2018 |
pelajar menengah sekolah perlu tahu beberapa kata dasar | kata dasar ialah kata yang menjadi pokok drpd kata terbitan (kata tanpa imbuhan spt pandang, gelisah, kuat, dll). Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat/buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Istilah | 24.08.2009 |
Tuan, Adakah penggunaan 'rimas' dalam ayat di bawah betul? Jika tidak, apakah perkataan yang boleh digunakan? 1. Ali menunggu kepulangan ibu dengan rimas. Terima kasih. | Penggunaan kata rimas dalam ayat Ali menunggu kepulangan ibu dengan rimas lebih sesuai digantikan dengan gelisah iaitu, Ali menunggu kepulangan ibu dengan gelisah. Kata gelisah membawa maksud tidak tenteram hatinya; berasa khuatir; tidak sabar menunggu. | Tatabahasa | 22.08.2017 |
1.Keadaan lalu lintas menjadi tenang pada waktu malam. 2.Hujan mulai tenang pada waktu petang selepas beberapa jam turun dengan lebatnya. Ada salah tak? | Tenang bermaksud: 1. tidak berkocak, tidak berombak (air, laut), teduh (angin, ribut, dll); dan 2. tidak gelisah (runsing dll), tidak kacau atau rusuh (hati, fikiran, dll), aman dan tenteram (keadaan). Berdasarkan definisi dalam Kamus Dewan perkataan tenang tidak sesuai digunakan dalam ayat contoh yang tersebut, sebaliknya perkataan reda lebih sesuai digunakan. | Tatabahasa | 25.02.2012 |
Salam tuan di talian....saya menghadapi kekeliruan dengan peribahasa 'cacing kepanasan'...adakakah 'cacing kepanasan' dikelaskan sebagai simpulan bahasa atau perumpamaan? Sekian, terima kasih. | Salam sejahtera, Cacing kepanasan dikelaskan sebagai peribahasa yang membawa takrifan sebagai tidak tenang, selalu gelisah (kerana susah, malu dan sebagainya). (Peribahasa lain yang sama makna: a. Bagai cacing kena air panas b. Melanting-lanting bagai cacing kepanasan | Sastera | 08.11.2012 |
Istilah perkataan TAKUT & Hormat dalam komunikasi semsa | Takut: 1. gentar (gerun, ngeri) menghadapi sesuatu yg dianggap boleh membahayakan diri: aku tidak ~ pd anjing itu kerana aku sudah biasa dengannya; 2. berasa segan dan hormat, takwa: hendaklah kita ~ akan Allah; 3. berasa bimbang (ragu-ragu, khuatir), gelisah: saya ~ dia tiada di rumah; dia rasa ~ pula kalau-kalau kedua-duanya akan menyerangnya; 4. tidak sanggup (menghadapi bahaya, menanggung derita, dll), tidak berani, kecut: dia benci pd saya kerana itu saya dihalaunya, sekarang saya ~ hendak menemuinya; ~ akan hantu, lari ke pandam (perkuburan) = ~ akan lecah lari ke duri = ~ akan mayat terpeluk bangkai prb takut akan rugi atau susah sedikit lalu mendapat kerugian atau kesusahan yg lebih besar; ~ mengikut jalan tak berentas prb takut melakukan pekerjaan yg belum pernah dibuat orang; ~ pd ular, terkejut pd bengkarung prb kerana takut pd yg berkuasa maka takut pula pd kaumnya; digenggam mati, dilepaskan ~ terbang prb sesuatu yg serba salah halnya; lamun ~ dilanggar batang, jangan duduk di kepala pulau prb jikalau takut akan susah, jangan dibuat sesuatu pekerjaan; Hormat: 1. mempunyai pandangan yg tinggi terhadap seseorang dgn memberikan layanan yg penuh sopan, khidmat, takzim: tetamu dipersilakan masuk ke dlm dewan dgn ~; budak itu sangat ~; diberhentikan dgn ~ diberhentikan dgn baik (bukan sebab kesalahan); 2. perbuatan utk menyatakan rasa khidmat atau takzim: serdadu kawalan itu pun memberi ~ dgn mengangkat tombak; 3. menaruh penghargaan (khidmat, takzim): wajib kita ~ kpd ibu bapa kita; (dgn) ~ takzim (dgn) sepenuh hormat; dgn segala ~ dgn sepenuh takzim; gila ~ terlalu suka dihormati orang; kurang ~ kurang sopan; tanda ~ perbuatan dll yg menunjukkan penghargaan (takzim, khidmat); | Makna | 21.08.2009 |
Salam sejahtera. Apakah perbezaan huru-hara dan haru-biru dari segi penggunaan? Harap dapat keterangan yang jelas. Terima kasih. | Haru-biru ialah haru-hara, huru-hara, kacau-bilau, porak-peranda, kekalutan, kerusuhan: kota yang dahulunya sangat tenang telah menjadi haru-biru; Mengharu-birukan 1. menimbulkan kerusuhan (kekacauan dan lain-lain), mengelam-kabutkan, mengacau-bilaukan: rusuhan itu telah mengharu-birukan suasana di bandar itu; 2. menyebabkan sangat gelisah (runsing dan sebagainya): yang sangat mengharu-birukan fikirannya ialah perceraian anaknya; masalah itu mengharu-birukan fikirannya; keharu-biruan keadaan haru-biru: keharu-biruan yang berlaku dalam mimpinya itu pasti akan menambah tekanan jiwanya. Huru-hara ialah dalam keadaan tidak tenteram, kacau-bilau: negeri yang aman akan huru-hara akibat hasutan daripada anasir-anasir komunis; 2. dalam keadaan kelam-kabut (tidak keruan dan sebagainya): dia bimbang kalau diisytiharkan pada waktu itu, akan huru-haralah tentera yang berperang di bawah pemerintahannya; 3. bp berjalan dengan tidak tentu tujuan: janganlah huru-hara ke sana ke mari dengan kawan-kawan pada waktu malam; 4. keadaan kacau-bilau: ahli nujum meramalkan bahawa huru-hara akan berlaku di negeri itu dalam tahun 1990-an; | Tatabahasa | 08.07.2013 |
SALAM. SAYA INGIN MENDAPATKAN DEFINASI PERKATAAN "TAKUT" DAN H"ORMAT" MENGIKUT DEWAN BAHASA & PUSTAKA | takut: 1. gentar (gerun, ngeri) menghadapi sesuatu yg dianggap boleh membahayakan diri: aku tidak ~ pd anjing itu kerana aku sudah biasa dengannya; 2. berasa segan dan hormat, takwa: hendaklah kita ~ akan Allah; 3. berasa bimbang (ragu-ragu, khuatir), gelisah: saya ~ dia tiada di rumah; dia rasa ~ pula kalau-kalau kedua-duanya akan menyerangnya; 4. tidak sanggup (menghadapi bahaya, menanggung derita, dll), tidak berani, kecut: dia benci pd saya kerana itu saya dihalaunya, sekarang saya ~ hendak menemuinya; ~ akan hantu, lari ke pandam (perkuburan) = ~ akan lecah lari ke duri = ~ akan mayat terpeluk bangkai prb takut akan rugi atau susah sedikit lalu mendapat kerugian atau kesusahan yg lebih besar; ~ mengikut jalan tak berentas prb takut melakukan pekerjaan yg belum pernah dibuat orang; ~ pd ular, terkejut pd bengkarung prb kerana takut pd yg berkuasa maka takut pula pd kaumnya; digenggam mati, dilepaskan ~ terbang prb sesuatu yg serba salah halnya; lamun ~ dilanggar batang, jangan duduk di kepala pulau prb jikalau takut akan susah, jangan dibuat sesuatu pekerjaan; hormat: 1. mempunyai pandangan yg tinggi terhadap seseorang dgn memberikan layanan yg penuh sopan, khidmat, takzim: tetamu dipersilakan masuk ke dlm dewan dgn ~; budak itu sangat ~; diberhentikan dgn ~ diberhentikan dgn baik (bukan sebab kesalahan); 2. perbuatan utk menyatakan rasa khidmat atau takzim: serdadu kawalan itu pun memberi ~ dgn mengangkat tombak; 3. menaruh penghargaan (khidmat, takzim): wajib kita ~ kpd ibu bapa kita; (dgn) ~ takzim (dgn) sepenuh hormat; dgn segala ~ dgn sepenuh takzim; gila ~ terlalu suka dihormati orang; kurang ~ kurang sopan; tanda ~ perbuatan dll yg menunjukkan penghargaan (takzim, khidmat); | Makna | 21.08.2009 |