Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kata sandang bermaksud kata penyerta atau kata yang bertugas untuk menentukan supaya sesuatu kata menjadi kata nama. Adakah kata sandang dikategorikan di bawah kata nama atau kata tugas? | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, "kata sandang" ialah "kata penyerta". "Kata sandang" ialah "kata yang bertugas untuk menentukan supaya sesuatu kata menjadi kata nama seperti sang atau si." | Tatabahasa | 01.07.2022 |
1. Ada tidak buku panduan untuk menentukan golongan kata untuk kata majmuk. 2. Bagaimana cara untuk menentukan golongan kata untuk kata majmuk. 3. Apakah golongan kata untuk kata majmuk kasih sayang. | Proses pembentukan kata majmuk ialah proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna khusus. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu bentuknya tidak boleh menerima penyisipan unsur lain. Misalnya kata kerusi malas ialah kata majmuk kerana tidak dapat disisipkan dengan unsur lain misalnya "yang". Sebaliknya pinggang mangkuk bukan kata majmuk kerana boleh disisipkan dengan kata hubung "dan" - pinggang dan mangkuk. Perkataan kasih sayang juga bukan kata majmuk kerana boleh disisipkan perkataan lain contohnya, kasih dan sayang. Kasih dan sayang ialah kata adjektif perasaan (rujuk halaman 91). Untuk makluman tuan terdapat juga bentuk kekecualian beberapa kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap dieja bercantum walaupun bentuk kata tersebut ternyata mengandungi dua kata dasar. Untuk maklumat lanjut tuan boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (halaman 72-75). | Tatabahasa | 27.01.2021 |
Apakah perbezaan sebutan suku kata dan kata ejaan suku kata ? | Terdapat perbezaan antara pemenggalan suku kata (pemisahan suku kata) dengan pemenggalan sebutan bagi kata bahasa Melayu. Pemenggalan suku kata ditandai oleh satu vokal, vokal itu dapat didahului atau diapit oleh konsonan. Pemenggalan kata bagi ejaan pada kata terbitan dilakukan dengan cara memisahkan imbuhan daripada kata dasarnya, contohnya meng-a-rah. Manakala sebutan bagi kata terbitan pada dasarnya menurut pola pemenggalan suku kata berdasarkan pola ejaan iaitu, VK-, KV- dan KVK. Namun, bagi beberapa bentuk terbitan dengan awalan tertentu, terdapat cara sebutan yang bervariasi contohnya, [me.nga-rah], [daun]. Contoh: ma-kan-an (pemenggalan suku kata) ma-ka-nan (pemenggalan sebutan) ba-yar-an (pemenggalan suku kata) ba-ya-ran (pemenggalan suku kata) | Lain-lain | 19.01.2022 |
Apakah itu praklausa | Kata Praklausa ialah sejumlah perkataan yang terletak di hadapan klausa, iaitu yang terdiri daripada kata seru, kata tanya, kata perintah, kata pembenar dan kata pangkal ayat. Fungsi kata praklausa adalah untuk menimbulkan seruan, pertanyaan, atau sebagai penerang kepada pangkal klausa. Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan dengan bentuk-bentuk kata yang tergolong sebagai kata praklausa, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga pada halaman 254 hingga 257. | Tatabahasa | 10.08.2022 |
Salam sejahtera, saya ingin mengetahui jenis kata bagi perkataan "iaitu". Adakah kata tersebut satu kata sendi nama, kata hubung gabungan mahupun kata pemeri, ataupun jenis kata yang berbeza sekali? | Iaitu tergolong dalam jenis kata hubung pancangan keterangan. | Tatabahasa | 20.02.2022 |
Salam, dalam Bahasa Melayu, terdapatkah perbedaan halus atau secara semantik untuk kata-kata "apabila," "ketika," dan "tatkala"? Terima kasih. | Kata apabila, ketika dan tatkala ialah kata keterangan yang berfungsi menghubungkan klausa keterangan dengan klausa utama. Penggunaannya berdasarkan konteks ayat - Apabila senja tiba, kelawar berterbangan keluar mencari makanan; Pencuri memasuki rumah itu ketika penghuninya sedang nyenyak tidur dan Tatkala hujan turun, mereka masih di sawah. Dari aspek makna, kata keterangan apabila dan tatkala boleh bertukar ganti penggunaannya. Untuk melihat makna ketiga-tiga kata ini, sila rujuk PRPM. | Tatabahasa | 12.08.2022 |
Selamat sejahtera, kenapa bahasa Melayu hari ini dilihat banyak menyempitkan makna perkataan? Contohnya dlm perkataan "salam". Dpt diperhatikan, kata "salam" hanyalah digunakan dlm golongan kata iaitu kata sifat dan kata nama semata-mata, padahal perkataan itu juga boleh diperluaskan dan digunakan dlm bentuk kata seru, tak salah sekiranya dipadankan dgn kata seru "helo", "hai" dan "selamat tinggal" memandangkan hal itu dpt dibuktikan dgn penggunaannya sehari-hari khususnya dlm masyarakat Nusantara ini sendiri yg byk menggunakannya sbg kata seruan. Contohnya ialah, "Salam, saya dari Johor!". Sekian. | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020:1936) kata salam diberikan takrifan seperti yang berikut: salam1 سلام kata nama 1 ungkapan tertentu spt “assalamualaikum”, “selamat pagi” dan “salam sejahtera” yg diucapkan sbg tanda hormat kpd sso ketika bertemu, sebelum memulakan ucapan dsb: Dia langsung tidak menjawab salam yg kuberikan.◊Aku mengucapkan salam saat bertemu dengannya. 2 tangan yg dihulurkan utk berjabat dgn sso sbg tanda hormat ketika mula bertemu atau hendak berpisah: Dia tidak akan menghulurkan salam kpd perempuan yg bukan mahramnya. 3 ungkapan “assalamulaikum” yg disebut apb memalingkan muka ke kanan dan ke kiri sebelum mengakhiri solat; 4 digunakan dlm ucapan, surat dsb, utk menyatakan sst perasaan, meraikan sso atau sst peristiwa dll: Salam Aidilfitri buat ayahanda dan bonda di kampung.◊Terimalah salam sayang drp kami di perantauan. kata adjektif 5 aman damai atau sejahtera: suasana yg salam; salam kaut, salam keruk bahasa basahan perbuatan bersalaman sambil menghulurkan wang oleh tetamu kpd tuan rumah, terutamanya ketika kenduri kahwin: Salam kaut ini seolah-olah sudah menjadi budaya setiap kali menghadiri majlis perkahwinan. salam takzim ucapan salam sbg tanda hormat kpd sso atau sst pihak: Saya mengambil kesempatan ini utk menyampaikan salam takzim Yang Berhormat, yg tidak dapat hadir pd pagi ini. 2. Oleh sebab itu, salam dalam ayat "Salam, saya dari Johor!" masih berkelas kata nama, dan maknanya terkandung dalam pecahan makna keempat iaitu ungkapan yang digunakan dalam ucapan, surat dan sebagainya, untuk menyatakan sesuatu perasaan, meraikan seseorang atau sesuatu peristiwa dan lain-lain. 3. Dalam Tatabahasa Dewan (DBP, 2008: 255) menyatakan kata seru ialah bentuk kata yang berfungsi melahirkan berbagai-bagai perasaan dan digunakan dalam ayat seruan. Contoh kata seru ialah: aduh, amboi, cis, oh, celaka, eh, wah, syabas, aduhai, wahai, dan sebagainya. Penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut: 44. Aduh, sakitnya kakiku! 45. Cis, terimalah tikamanku! 46. Celaka, habis tanamanku dimusnahkannya! 4. Dalam mana-mana bahasa, makna unit leksikal dalam lingkungan domain tunggal dapat dihubungkan dengan satu sama lain mengikut empat cara yang asas iaitu: perhubungan itu mungkin (1) menular, (2) bertindihan, (3) terkandung, dan (4) saling melengkapi. Kata ‘salam’ dikatakan berbeza daripada kata ‘hai’, ‘hello’ dan ‘selamat tinggal’ kerana fitur dalam domain tunggalnya tidak berhubung dengan kata-kata tersebut. Secara mudahnya, makna unit leksikal kata ‘salam’ tidak sepadan dengan makna kata ‘hai’, ‘helo’ dan ‘selamat tinggal’. Oleh hal demikian, kata ‘salam’ tidak dapat dikelaskan dalam golongan kata seru. 5. Dalam proses peminjaman kata, penyempitan makna atau peluasan makna berlaku dalam bahasa sasaran. Bahasa Melayu juga tidak terkecuali dalam proses pemberian makna sesuatu kata, khususnya dalam penganalisisan makna setiap kata yang dipinjam atau diserap. Contoh kata pinjaman yang mengalami perbezaan makna daripada bahasa asalnya ialah aljabar, amaun, beta, gahara dan grenad. Sila rujuk maklumat etimologi dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020). | Makna | 02.08.2022 |
apa jenis kata digunakan selepas "secara"?kata nama atau kata adjektif. apakah maksud "secara"? saya merasai kegunaan "secara" persis kegunaan adverb yang terdapat dalam bahasa inggeris. mengapakah frasa "secara kritikal" adalah salah, manakala yang betulnya ialah "secara kritis" terima kasih | Perkataan “secara” merupakan kata adverba, iaitu perkataan yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata nama dan frasa sendi nama dari segi cara, masa dan tempat. Perkataan ini boleh hadir di hadapan atau di belakang frasa. Perkataan “kritikal” bermaksud (i) berkenaan kesihatan, situasi dan lain-lain, (ii) sangat penting dalam menentukan hasil yang akan diperoleh, (iii) berkenaan sikap seseorang (tajam dalam memberikan teguran, pandangan dan sebagainya terhadap sesuatu atau seseorang) dan (iv) bersifat mengkritik atau mengandungi kritikan terhadap sesuatu atau seseorang. Manakala kritis pula bermaksud tidak dengan begitu sahaja menerima atau mempersetujui sesuatu dan perlu menimbangkan baik buruknya terlebih dahulu. Sehubungan dengan itu, berdasarkan maksud kedua-dua perkataan tersebut, penggunaan yang betul dalam konteks frasa yang diberikan ialah “secara kritis”. | Tatabahasa | 09.12.2021 |
Kenapakah kata penguat hadapan dan kata penguat belakang tidak boleh hadir di dalam satu ayat | Kata penguat hadapan dan kata penguat belakang tidak boleh hadir bersama-sama di hadapan dan di belakang kata adjektif dalam satu ayat kerana kata penguat hadapan atau kata penguat belakang sudah lengkap menguatkan maksud yang terkandung dalam kata atau frasa adjektif. (Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman: 259 - 260) | Tatabahasa | 10.08.2022 |
Adakah kata 'dengan' yang merupakan kata sendi nama, juga berfungsi sebagai kata hubung atau jenis kata yang lain? Jika ya, sila nyatakan jenis-jenis kata tersebut, maksud setiap daripadanya, dan juga tolong terangkan penggunaan-penggunaannya serta kemukakan contoh penggunaannya. | Kata dengan hanya berfungsi sebagai kata sendi nama yang hadir di hadapan kata nama atau frasa nama dalam struktur ayat yang membawa maksud 1. bersama-sama atau beserta (keterangan penyertaan), contohnya: “Abdullah menelaah mata pelajaran sains dengan kawannya”. 2. Cara sesuatu itu dilakukan (keterangan cara), contohnya: “Sumbangannya kami terima dengan hati terbuka.” 3.Memakai atau menggunakannya (keterangan alat), contohnya: “Ani melukis potret itu dengan cat air.” 4. Menyatakan perbandingan yang serupa atau sama, contohnya: “Tentu tidak sama emas dengan perak.” | Tatabahasa | 20.12.2021 |