Sawdah bint Zam’ah ( ? –55 H. / ? –675 M.) ialah
salah seorang daripada isteri Rasulullah s.a.w.
Sawdah bint Zam‘ah berasal dari kalangan
bangsawan Quraisy ‘Amiriyyah. Dia pernah
berhijrah ke Habsyah bersama-sama bekas
suaminya al-Sakran ibn ‘Amru yang juga seorang
Muslim yang bersaudara dengan Suhayl ibn ‘Amru.
Kemudian mereka pulang ke Makkah dan
setibanya di sana, suaminya meninggal dunia.
Baginda mengahwininya tiga tahun sebelum
Hijrah, iaitu selepas kematian Khadijah bint
Khuwaylid. Sebenarnya, Khawlah bint Hakim, iaitu
isteri Uthman ibn Maz’un yang mencadangkan
kepada Baginda Rasulullah s.a.w. dan meminang
Sawdah bagi pihak nabi. Baginda Rasulullah s.a.w.
pernah berhasrat untuk menceraikannya bahkan
menurut sesetengah riwayat lain, Baginda telah
menceraikannya, tetapi dia memohon agar dirujuk
kembali kerana ingin dibangkitkan di akhirat kelak
bersama-sama para isteri Baginda yang lain.
Menurut riwayat lain, dia adalah wanita yang
menjadi sebab turunnya ayat yang memerintahkan
kaum wanita Islam memakai hijab. Dia meninggal
dunia di Madinah.
Lihat juga Isteri-isteri Nabi Muhammad s.a.w.