Televisyen, juga dikenali sebagai TV, adalah salah
satu kaedah komunikasi yang paling penting. Ia
membawa gambar dan suara dari seluruh dunia ke
berjuta-juta rumah. Komunikasi satelit di angkasa
lepas menyiarkan gambar TV merentasi lautan dan
benua. Pemilik peti televisyen boleh berada di rumah
dan menonton pemimpin negara membuat ucapan
atau lawatan ke negara luar. Mereka boleh
menyaksikan peperangan yang sedang berlaku dan
melihat bagaimana pemimpin kerajaan berusaha
untuk mewujudkan keamanan. Melalui TV, penonton
dapat melihat dan belajar tentang manusia, haiwan,
pelbagai perkara lain dari negara-negara yang jauh.
Berjuta-juta manusia di seluruh dunia boleh
menonton rancangan sukan, seperti Sukan Olimpik,
dan pelbagai peristiwa lain yang menarik di dunia.
Televisyen juga membawa penonton keluar dari
dunia ini melalui liputan dari penerbangan angkasa.
Selain itu, televisyen juga menyediakan pelbagai
rancangan tetap yang direka khas untuk menghibur.
Sebenarnya, TV menyediakan banyak rancangan
hiburan berbanding dengan rancangan lain.
Rancangan itu termasuk drama; komedi ringan; siri
fiksyen, yang dikenali sebagai drama lipur lara; acara
sukan; kartun, kuiz, dan pertunjukan aneka ragam;
dan filem cereka.