Untuk soalan 6 yang terdahulu, adakah frasa kerja 'membawa sebatang kayu' boleh diterima sekiranya barang tersebut dibawa bergerak ke tempat lain? | Frasa 'membawa sebatang kayu' boleh digunakan kerana membawa ialah kata kerja umum yang lebih khusus cara membawa objek itu. Untuk maklumat lanjut dan melihat perbezaan makna setiap perkataan sila rujuk Kamus Dewan ataut manfaatkan kemudahan di laman web kami www.prpm.gov.my. | Tatabahasa | 28.10.2015 |
adakah kedua-dua ayat ini betul? a. ibu membawa beg hijau pergi ke kedai. b. ibu pergi ke kedai membawa beg hijau. terima kasih | Kedua-dua ayat ini ibu membawa beg hijau pergi ke kedai; dan ibu pergi ke kedai membawa beg hijau betul. | Tatabahasa | 14.10.2014 |
Tuan, mengapakah tidak wujud bentuk "menghantarkan" dan "mengirimkan" dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua terbitan DBP? Adakah hal ini kerana bentuk "menghantar" dan "mengirim" sudah mencukupi untuk membawa maksud membawa barang ke sesuatu tempat? Jadi, "menghantarkan" dan "mengirimkan" ialah bentuk lewah, iaitu bentuk yang berlebih-lebihan daripada bentuk "menghantar" dan "mengirim"? | Tidak semua kata mempunyai kata terbitan yang sama. Jika "hadiah" dan "anugerah" boleh menerbitkan kata "menghadiahkan" dan "menganugerahkan", rumus yang sama tidak terpakai pada semua perkataan. Inilah yang dikatakan kekecualian dalam bahasa Melayu. Jika tuan memerlukan penjelasan tentang kata "hantar" dan "kirim" tidak menerbitkan kata "menghantarkan" dan "mengirimkan", ada baiknya tuan berhubung terus dengan pihak yang berwenang dalam hal ini. Tuan boleh hubungi Editor Kamus Pelajar, Puan Aziah Tajuddin melalui talian 03-21479182/aziah@dbp.gov.my dan Editor Kamus Dewan, Puan Salmah Jabar , melalui talian 03-21479686/salmah@dbp.gov.my. | Tatabahasa | 16.12.2014 |
Tuan, frasa di bawah yang manakah adalah betul mengikut susunan ayat hukum dan peraturan Tatabahasa? 1. (a) merujuk buku (b) merujuk kepada buku 2. (a) membawa peningkatan ekonomi (b) membawa kepada peningkatan ekonomi Di samping itu, perkataan "tatabahasa" perlu ditulis dalam huruf besar seperti begini: Tatabahasa, atau perlu ditulis dalam huruf kecil seperti begini: tatabahasa? Terima kasih atas bantuan tuan! | Frasa/ejaan yang betul ialah: 1. ...merujuk buku... 2. membawa kepada peningkatan ekonomi... atau dalam bahasa yang lebih mudah ialah ...meningkatkan ekonomi... 3. Perkataan tatabahasa dieja dengan huruf kecil kecuali sebagai tajuk atau judul buku. | Tatabahasa | 29.04.2014 |
adakah istilah jemaah menteri dikatakan kata nama am atau kata nama khas? | Perkataan jemaah menteri dieja dengan huruf kecil jika membawa maksud umum. Jika membawa maksud rujukan khusus seperti Perdana Menteri menjadi pengerusi majlis mesyuarat Jemaah Menteri untuk membubarkan Parlimen, huruf pertama pada perkataan jemaah menteri dieja dengan huruf besar, iaitu Jemaah Menteri. | Istilah | 21.11.2020 |
Saya ingin tahu tentang perbezaan penggunaan 'baru' dan 'baharu'. Adakah kedua-duanya membawa maksud 'new'? Bagaimana kalau saya ingin menyatakan 'Saya baru sampai' yang membawa maksud 'just'? | Baru dan baharu kedua-duanya membawa makna yang sama dan dianggap varian dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanpun buku Tatabahasa Dewan membezakan fungsi kedua-dua kata tersebut. Untuk menghasilkan penggunaan yang gramtis, baru berfungsi sebagai kata bantu, contohnya dalam ayat "dia baru sampai dari kampung" dan baharu sebagai kata adjektif, contohnya "buku Tatabahasa Dewan, Edisi Baharu". | Tatabahasa | 30.10.2017 |
Assalamualaikum. Peribahasa: Biar jadi telinga tempayan, jangan jadi telinga kuali. Maksud: Lebih baik mendengar dan menurut ajaran yang membawa kepada kebaikan daripada mendengar dan menurut ajaran yang membawa kepada kesusahan. Saya ingin bertanya, mengapa 'telinga tempayan' itu dikatakan membawa kepada kebaikan sedangkan maksud 'telinga tempayan' adalah orang yang tidak mahu mendengar kata? Sudilah kiranya pihak tuan menerangkan, mengapa maksud peribahasa itu begitu. Terima kasih. | Dalam pangkalan data kami tidak ada maklumat tentang sebab peribahasa tersebut diungkapkan, melainkan maksud peribahasa seperti yang puan maklumi. Carian di internet juga tidak menemukan sebarang maklumat yang berkaitan. | Makna | 01.06.2014 |
Konsep ini membawa aspirasi untuk membaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Salam Tuan/Puan,saya nak bertanyakan soalan.Apakah kesalahan tatabahasa di atas?Perkataan ‘membaiki’ rasanya salah atau betul? Bidang ekopelancongan mampu dimajukan kerana mengayakan sumber alam semula jadi di negara ini. Apakah kesalahan imbuhan di atas?Kenapa perkataan ‘mengayakan’ salah sepatutnya‘kekayaan’? | Bagi ayat pertama, perkataan membaiki ditukar kepada memulihkan. Bagi ayat kedua, perkataan mengayakan ditukar kepada kaya dan ayatnya dibetulkan kepada: Bidang ekopelancongan mampu dimajukan kerana negara ini kaya dengan sumber alam semula jadi. | Lain-lain | 14.01.2021 |
Penggunaan pelajar membawa maksud seorang atau ramai? Seorang daripada pelajar yang dianugerahkan hadiah pelajar cemerlang itu ialah adik saya. Ayat ini betul atau penggunaan pelajar-pelajar lebih tepat? | Perkataan pelajar boleh bermaksud tunggal atau jamak bergantung pada konteks ayat yang digunakan. Oleh itu, penggunaannya dalam ayat tidak perlu digandakan. | Tatabahasa | 30.03.2014 |
Bolehkah perkataan "dilokap" digunakan untuk membawa maksud "dipenjarakan"? Dalam laman sesawang PRPM, cuma wujudnya "melokap". | Perkataan"dilokap" tidak sesuai digunakan kerana tidak wujud dalam data PRPM. Perkataan yang sesuai digunakan ialah melokap yang membawa maksud mengurung dlalam lokap/mengurung (menahan) dalam lokap yang membawa maksud sama dengan dipenjarakan. | Makna | 14.04.2019 |