Muqtadiy bi Amri Allah, al- (448 H.–487 H./
1056 M.–1094 M.), khalifah kerajaan Bani
Abbasiyyah. Nama penuhnya ialah Abdullah ibn
Muhammad al-Qa’im bi Amri Allah ibn al-
Muqtadir. Dia lahir dan dibesarkan di Baghdad.
Datuknya, al-Qa’im bi Amri Allah menjanjikan
jawatan khalifah kepadanya dan dia bergelar al-
Muqtadiy. Al-Muqtadiy bi Amri Allah dilantik
sebagai khalifah selepas kematian datuknya pada
tahun 467 H./1074 M. ketika berumur 18 tahun. Dia
berusaha memulihkan keadaan kota Baghdad
dengan mengeluarkan perintah agar dihapuskan
penyanyi serta perosak negara, melarang
pengurungan burung, melarang pembuangan air
mandi ke Sungai Dajlah dan menggalakkan
rakyatnya menggali telaga untuk mendapatkan air.
Dia juga melarang percampuran bebas antara
lelaki dengan perempuan dalam mempamerkan
kecantikan. Al-Muqtadiy bi Amri Allah juga
meminati sastera dan syair. Zaman
pemerintahannya aman dan makmur. Dia
meninggal dunia secara mengejut di Baghdad.