Abu Hayyan al-Tawhidiy (310 H.– 414 H./922 M.–
1023 M.), salah seorang sasterawan dan pemikir
yang paling terkenal pada abad ke-4 H. Nama
penuhnya ialah ‘Ali ibn Muhammad ibn ‘Abbas.
Yaqut al-Hamawiy menyifatkannya sebagai ahli
falsafah dan sasterawan. Namun demikian, dia
diabaikan dan seolah-olah tidak dikenali oleh ahli
sejarah zamannya. Sikap tidak mahu mengenalinya
ini berterusan sehingga Yaqut menulis mu‘jam atau
ensiklopedianya yang masyhur itu. Dalam mu‘jam
tersebut Yaqut menceritakan tentang Abu Hayyan al-
Tawhidiy, dan menyatakan tentang kehairanannya
tentang sebab orang yang terdahulu tidak
mengendahkan seorang tokoh penulis yang begitu
penting seperti Abu Hayyan al-Tawhidiy. Yaqut
menulis tentang Abu Hayyan al-Tawhidiy
berdasarkan bahan-bahan yang ditulis oleh Abu
Hayyan al-Tawhidiy sendiri tentang dirinya
sebagaimana yang tercatat dalam karya-karyanya.