| MOTOSIKAL | Motosikal, juga dikenali sebagai motor ialah kenderaan yang beroda dua atau tiga, berkuasa enjin petrol yang dipasang di bahagian tengah antara roda depan dan roda belakang. Motosikal mempunyai rangka yang lebih berat dan kuat daripada basikal iaitu kenderaan yang menjadi asas penciptaannya. Manusia di merata pelosok dunia menggunakan motosikal sebagai pengangkutan atau menunggangnya sebagai aktiviti sukan dan rekreasi. Di seluruh dunia, polis menggunakan motosikal dalam usaha mengejar dan mengawal trafik kerana kenderaan tersebut boleh dikendalikan dengan mudah di celah-celah lalu lintas. Di Amerika Syarikat, sesetengah pasukan bomba menggunakan motosikal untuk membawa kakitangan perubatan ke tempat kemalangan. Di bandar-bandar besar di United Kingdom dan di tempat-tempat lain, motosikal digunakan untuk menghantar dokumen dan bungkusan kecil. | UMUM | |
| SURTEES, JOHN | Surtees, John (1934– ), pelumba motosikal dan pelumba kereta British, juara dunia bagi motosikal 500 cc pada tahun 1956, 1958, 1959 dan tahun 1960. Dia juga menyandang kejuaraan dunia untuk motosikal 350 cc pada tahun 1958, 1959 dan tahun 1960. Pada akhir tahun 1960, dia bersara daripada perlumbaan motosikal dan bergiat pula dalam lumba kereta. Dia memenangi gelaran juara lumba kereta dunia pada tahun 1964. Dia mereka bentuk dan membina kereta lumbanya sendiri pada tahun 1970. Surtees lahir di Tatsfield, Surrey, England. | UMUM | |
| MAGNETO | Magneto ialah janakuasa elektrik yang menyediakan pencucuhan percikan api dalam sesetengah enjin pembakaran dalaman. Pencucuhan Magneto digunakan dalam mesin rumput dan dalam kebanyakan kapal terbang dan motosikal. Magneto beroperasi berdasarkan dua prinsip asas: (1) Gerakan konduktor dalam medan magnet mengeluarkan arus elektrik dalam konduktor, dan (2) Gangguan mengejut aliran arus dalam konduktor dapat mencetuskan (menjanakan) voltan yang tinggi. | UMUM | |
| TAYAR | Tayar ialah lapisan luar yang menyaluti sesebuah roda. Kebanyakan tayar diperbuat daripada getah yang diperkukuhkan dengan sejenis fabrik dan pneumatik (diisikan dengan udara mampat) . Ia digunakan pada kapal terbang, basikal, bas, kereta, jentera melombong, motosikal, kenderaan rekreasi, traktor, lori, dan bermacam-macam kenderaan lagi. Sesetengah tayar getah diperbuat daripada getah padat, seperti yang digunakan pada kereta sorong. | UMUM | |
| PASUKAN POLIS BERKUDA DIRAJA KANADA | Pasukan Polis Berkuda Diraja Kanada (RCMP) ialah sebuah jabatan penguat kuasa undang-undang di Kanada. Kemasyhuran Pasukan Polis Berkuda ini telah tersebar ke seluruh pelosok dunia semenjak ditubuhkan pada tahun 1873. Kini, pasukan tersebut menunggang motosikal dan tidak lagi menunggang kuda. Namun, masih banyak lagi buku-buku dan filem yang memperkatakan tentang pasukan polis berkuda ini. Lencana pasukan Polis Berkuda Diraja Kanada ini memaparkan cogan kata organisasi tersebut iaitu, Maintiens le droit (Pertahankan yang benar). | UMUM | |