| MUATAN | Muatan ialah barangan pembuatan atau bahan mentah yang diangkut dari satu tempat ke satu tempat. Kereta api masih mengangkut muatan berat seperti batu arang dan mineral lain. Tetapi di kebanyakan negara industri, jalan raya mengangkut lebih banyak muatan berbanding kereta api. Trak dan van mengangkut muatan dari kilang ke gudang, dan dari gudang kepada pelanggan. Muatan selalunya dipindahkan melalui kontena . Ia merupakan kotak logam besar yang dinaikkan ke atas trak dan boleh diturunkan terus ke atas gerabak kereta api atau ke atas dek kapal kargo. Pengenalan muatan berkontena telah mengurangkan kerja pemunggahan naik dan turun, serta pemunggahan semula barangan dengan banyaknya. | UMUM | |
| SENAPANG PATAH | Senapang patah ialah senapang bahu yang melepaskan kartrij yang mengandungi serbuk peledak dan muatan peluru-peluru logam kecil, yang dikenali sebagai syot. Syot tersebut akan tersebar di kawasan yang luas. Ia lebih mudah untuk mengenai sasaran yang bergerak berbanding dengan peluru tunggal daripada senapang atau pistol. Pada asasnya senapang patah ialah senapang perburuan. Peluru penabur senapang patah dikenali sebagai syot kecil. Peluru yang lebih besar yang dikenali sebagai syot besar, digunakan untuk menembak haiwan seperti rusa. | UMUM | |
| BOT RATA | Bot rata ialah penunda yang besar, berbentuk seperti rakit yang digunakan untuk membawa muatan dan penumpang. Bot rata mempunyai dasar dan hujung bersegi yang rata. | UMUM | |
| SUVA | Suva (pend. 71 608), ibu negeri dan bandar terbesar di Fiji, sebuah negara yang terdiri daripada gugusan kepulauan berjumlah lebih 800 buah pulau di Lautan Pasifik Selatan. Bandar Suva terletak di bahagian tenggara pantai pulau Viti Levu, pulau terbesar di Fiji. Untuk lokasi, lihat Fiji (peta). Suva ialah pelabuhan utama dan pusat perdagangan terpenting Fiji. Kapal berlabuh di Suva mengambil muatan kelapa kering dan buah-buahan tropika. Kapal-kapal pelancongan juga singgah di pelabuhan ini. Kilang-kilang di Suva menapis gula, serta menghasilkan minyak kelapa, pakaian dan sabun. Muzium Fiji terletak di Taman Botani. University of the South Pacific juga terletak di Suva. Lihat juga Fiji (gambar). | UMUM | |
| PEMISAH MINYAK DAN GAS | Bejana tekanan yang digunakan untuk memisahkan bendalir yang dikeluarkan dari telaga minyak atau telaga gas kepada gas dan cecair. Bejana pemisah ini biasanya digunakan di pelantar pengeluaran atau di kawasan pajakan petroleum berdekatan dengan kepala telaga, pancarongga atau deretan tangki. Bejana tersebut mesti mampu untuk mengendali slug dan beban daripada bendalir telaga yang dikeluarkan. Dengan demikian, bejana tersebut lazimnya mempunyai ukuran yang mampu untuk mengendalikan kadar alir seketika yang tinggi. Pembinaan terperinci sesebuah pemisah bergantung pada muatan yang diperlukan dan tekanan operasi. | KEJURUTERAAN | Alat/Alatan |