Saya adalah seoarang guru untuk sebuah pusat tuisyen. Kami amat berbesar hati menjadikan buku-buku terbitan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) sebagai rujukan. Namun, kami dapati terdapat Kamus Istimewa Peribahasa Melayu Edisi Kedua keluaran DBP mengandungi peribahasa-peribahasa yang bercampur dengan peribahasa Indonesia. Persoalannya, adakah wajar untuk menggunakan peribahasa-peribahasa tersebut dalam sistem pendidikan sekolah di Malaysia? Penggunaan bahasa masa kini telah mewujudkan beberapa peribahasa moden yang masih belum diiktiraf oleh DBP. Adakah penggunaan peribahasa tersebut boleh diterima dalam pendidikan sekolah? | Peribahasa ialah warisan dari satu generasi ke satu generasi. Tidak ada peribahasa moden, berkemungkinan yang berlaku ialah ungkapan umum yang popular dan dianggap sebagai peribahasa. Peribahasa Melayu diwariskan oleh generasi terdahulu dan digunakan dalam kalangan masyarakat Melayu sama ada di Malaysia atau sebaliknya. Untuk tujuan peperiksaan khususnya hendaklah dirujuk kepada pihak yang berkuasa dalam hal berkenaan. | Lain-lain | 07.08.2018 |
Salam sejahtera Saya ingin bertanya tentang peribahasa-peribahasa lain yang sama maksud dengan peribahasa berikut: i/ bagai isi dengan kuku ii/ kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya iii/ rambut sama hitam, hati lain-lain Terima kasih | Saudara boleh merujuk buku Kamus Istimewa Peribahasa Melayu yang disusun oleh Abdullah Hussain, buku Peribahasa Sekolah Menengah, susunan Asiah Abdul Rahman untuk tujuan tersebut. | Lain-lain | 03.10.2009 |
Bolehkan tuan cuba jelaskan maksud peribahasa atau ungkapan 'rumah satu tiang seribu'? Saya sudah menyemak peribahasa ini dalam kamu peribahasa termasuk kamus Peribahasa Abdullah Hassan tetapi tidak dapat menyemaknya. Sekian, terima kasih. | Dalam sumber rujukan kami tidak ada peribahasa 'rumah satu tiang seribu', dalam pengetahuan kami ungkapan ini merupakan tajuk sebuah drama dan bukan peribahasa. | Makna | 28.05.2010 |
apakah peribahasa yang sama erti dengan 1. hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih? 2.mencurah garam ke laut? | Dalam buku Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, peribahasa yang betul ialah "Hendak seribu daya, tak hendak seribu upaya", walau bagaimanapun tidak dinyatakan peribahasa yang sama makna dengannya. Peribahasa yang kedua ialah "Memberi garam kepada laut" dan peribahasa yang sama makna ialah "Umpama semut mempersembahkan paha belalang kepada raja". | Lain-lain | 08.09.2011 |
Apakah peribahasa sinonim bagi peribahasa "tiada ubat yang tiada penawarnya"? | Tidak wujud peribahasa "tiada ubat yang tiada penawarnya" peribahasa yang ada ialah “tiada penyakit yang tiada penawarnya” . | Lain-lain | 08.06.2017 |
Adakah penggunaan peribahasa dalam ayat ini betul. "Seperti yang dikatakan dalam peribahasa"ada bukit,ada paya". Penggunaan telefon bimbit ada keburukan dan kebaikan." Jika tidak sesuai,apakah peribahasa yang sesuai? | Peribahasa "ada bukit, ada paya" bermaksud ada baik, ada jahat; ada miskin, ada kaya. Untuk melihat peribahasa yang sesuai dengan konteks penggunaan, sila rujuk Kamus Istimewa Peribahasa Melayu. | Tatabahasa | 28.04.2016 |
Salam, 1. Apakah peribahasa yang bersinonim dengan 'pantang ajal sebelum maut'? 2. Apakah peribahasa yang sesuai untuk seseorang yang sangat berani dan tidak takut mati? Adakah peribahasa 'pantang ajal sebelum maut' itu sesuai ataupun ada peribahasa lain yang lebih baik? Terima kasih. | Tidak ada kamus sinonim peribahasa, oleh itu setiap entri peribahasa perlu disemak satu persatu untuk mencari persamaan maksud antara peribahasa yang ada. Peribahasa "sebelum ajal berpantang maut" bermaksud tak akan mati sebelum sampai waktunya yang ditentukan oleh Tuhan. | Lain-lain | 14.04.2014 |
Syafiq Abdullah 9HB JULAI 12.01 PTG Salam. Saya ada satu persoalan mengenai "sebatang kara" yang bermaksud tinggal seorang diri tiada sanak saudara. Persoalannya adalah apakah itu "kara"? Merujuk kepada apa. Sekian, terima kasih. | Waalaikumussalam. “Sebatang kara” tergolong dalam peribahasa. Peribahasa ialah warisan nenek moyang orang Melayu. Orang Melayu dahulu kala mencipta peribahasa melalui pemerhatian mereka terhadap keadaan atau persekitaran kehidupan mereka. Sekian. Terima kasih. | Makna | 09.07.2017 |
apakah peribahasa yang sesuai bagi orang yang suka menyusahkan diri orang lain? | Kamus Peribahasa rujukan kami, Kamus Istimewa Peribahasa Melayu (Abdullah Hussein) dan Kamus Peribahasa (Abdullah Hassan) disusun mengikut frasa peribahasa, bukan mengikut makna. Saya telah melihat beberapa helai buku-buku tersebut tetapi tidak menjumpai peribahasa yang diperlukan. | Lain-lain | 23.06.2008 |
Saya Akmal Saleh sedang belajar bahasa Melayu dasar, di Universiti Fatoni selatan Thailand, ingin bertanya DBP tentang peribahasa berapakah bahagian peribahasa, terima kasih. | Peribahasa merupakan salah satu cabang sastera lama yang tak lapuk di hujan dan tak lekang di panas. Setiap peribahasa terdiri daripada bait-bait kata yang mengandungi makna tersirat yang menggambarkan betapa luasnya renungan, fikiran dan pengalaman hidup penyusunnya. | Tatabahasa | 08.12.2013 |