Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[puas] | ڤواس

Definisi : 1. berasa senang (kenyang, lega, dll) ke­rana sudah mendapat secukup-cukupnya: sesudah sepinggan penuh ~lah ia; 2. berasa senang kerana sudah terpenuh hasrat hati: rakyat berasa ~ dgn apa yg dilaksanakan oleh kerajaan; 3. lebih drpd cukup, sudah tidak ingin lagi, bosan, jemu: ~ dia mencari kerja tetapi masih belum dapat-dapat juga; ~ hati berpuas hati; ~ lelas puas sungguh­-sungguh; puas-puas hingga puas (jemu): Sharifah Barlian meneliti susuk tubuh tukang kebun itu ~; belum ~ belum jemu-jemu; tidak ~-~nya tidak jemu-jemunya; sepuas-puas; ~ hati = ~nya hingga puas (kenyang dll), hingga jemu (tidak mahu lagi): budak itu diciumnya ~ hati; biarlah mereka mengatakan hal kita ~nya; berpuas; ~ hati berasa puas (kenyang, lega, senang, dll); memuaskan 1. menjadikan (menyebabkan) puas, memberi (memenuhi, menuruti, dll) hing­ga puas: wang dapat ~ kehendak-kehendak lahir; buah anggur sangat ~ selera saya; 2. memberi kelegaan (kesenangan, kesukaan, dll) kpd, menyenangkan, menyukakan: layanannya ~; ia ingin berbuat sesuatu yg dapat ~ hati ibunya; 3. memadai (harapan, hasrat, dll), menyenangkan: pendapatan drpd hasil padi tahun ini agak ~; ~ dahaga (haus) minum hingga hilang daha­ga; ~ dendam membalas dendam; ~ hawa nafsu mengikut hawa nafsu supaya puas hati­nya; ~ selera dapat memenuhi kemahuan seleranya; kepuasan perihal puas, kelegaan, kenikmatan, kesenangan: mencari ~ dan ketenteraman jiwa; ketidakpuasan perihal tidak puas, perasaan tidak puas hati; pemuasan perihal memuaskan: ~ nafsu; pemuas (sesuatu dsb) yg memuaskan: ~ nafsu seks lelaki. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[puas] | ڤواس

Definisi : 1 lega, senang, kenyang, gembira dll kerana sudah merasai secukup-cukupnya atau sudah memperoleh apa-apa yg dihajati: Sesudah minum tiga gelas, barulah ia ~. Dia tidak akan ~ selagi tidak mendapat ijazah. 2 sudah lebih drpd cukup; tidak ingin lagi; jemu: ~ saya mencari kerja, tidak juga berjaya. berpuas berasa puas: Mereka tidak ~ hati dgn cara pelantikan itu. memuaskan menjadikan puas; memberi dll hingga puas; menyenangkan; melegakan: Keputusan hakim itu ~ kedua-dua belah pihak. Hasil padi tahun ini ~ juga. ~ dahaga minum sehingga hilang rasa dahaga. ~ dendam membalas dendam. ~ hawa nafsu menurut kemahuan nafsu supaya puas hati. kepuasan hal atau keadaan puas. pemuasan perbuatan atau hal memuaskan. pemuas yg memuaskan. sepuas-puas sehingga puas: Kami pergi ke sebuah anak sungai yg jernih airnya lalu minum ~nya. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
puas (adjektif)
1. Bersinonim dengan senang hati: lega, selesa, bahagia, sejahtera, seronok, tenang, tenteram, kenyang, cukup, pada, jelira, marem,

2. Bersinonim dengan jemu: bosan, jelak, jenuh, cemus, muak, lugu, majal, pasai,

Kata Terbitan : berpuas hati, memuaskan, kepuasan,

Puisi
 

Hendak memakan buah cermai,
     Makan bersama jambu susu;
Puas ombak melanda pantai,
     Mengapa pantai tak ambil tahu?


Lihat selanjutnya...(25)
Peribahasa

Lengkuas di tepi kandang,
     tekak (= tegak) puas badan menyandang.

Bermaksud :

Tiap-tiap yang salah haruslah menerima hukuman yang setimpal.

 

Lihat selanjutnya...(8)

411

The more you have, the more you want

Manusia tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki: sudah dapat, mahu lagi.

Nafsu tidak bertepi

I told myself that once my savings reached RM1million, I would retire for good. But the more you have, the more you want. Now, I think that amount is not enough.

Aku berkata kepada diriku yang aku akan bersara sebaik sahaja simpananku mencecah RM1 juta. Tetapi nafsu tidak bertepi. Kini, aku merasakan bahawa jumlah itu tidak mencukupi.

Peribahasa dan Ungkapan Inggeris - Melayu


Lihat selanjutnya...(13)

Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Tuan, frasa manakah yang baku antara "berasa puas dengan kemajuan persuratan Melayu" dengan "berasa puas akan / kepada kemajuan persuratan Melayu"? Saya berpendirian bahawa sendi yang betul "kepada" atau "akan" kerana "kemajuan persuratan Melayu" sasaran rasa "puas" itu walhal sendi nama yang menyatakan sasaran "akan" atau "kepada", maka frasa yang tepat "berasa puas akan / kepada kemajuan persuratan Melayu". Frasa sifat "berasa puas dengan kemajuan persuratan Melayu" salah kerana sendi nama "dengan" bermaksud "bersama", maka "berasa puas dengan kemajuan persuratan Melayu" bermaksud seseorang (pelaku FN benda ayat) berasa puas bersama orang "kemajuan persuratan Melayu" ini - ini tidak waras kerana "kemajuan persuratan Melayu" bukan orang, tidak berasa, maka tidak mungkinlah bersama dengan seseorang untuk berasa puas! Maka salahlah penggunaan sendi nama "dengan" dalam frasa ini. Frasa "berasa puas dengan kemajuan persuratan Melayu" ini bentuk bahasa kelumrahan masyarakat yang patut dibetulkan. Apakah pendapat tuan?Pneggunaan kata sendi yang paling tepat ialah akan. Kata sendi nama akan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. Contohnya: 
1. Wanita itu amat rindu akan anaknya.
2. Semua rakyat mesti sayang akan negara tempat tumpah darahnya. 

Pada pandangan kami, frasa berasa puas kurang sesuai. Frasa yang yang sesuai ialah berpuas hati.
Tatabahasa22.12.2016
Tuan, apakah beda antara "puas" dengan "berpuas"? Pada saya, beda dua kata itu hanya golongan kata, iaitu "puas" sifat dan "berpuas" perbuatan tiada melampau kerana telah ditambahi awalan ber- pembentuk perbuatan tiada melampau. Dalam Tatabahasa Dewan pada halaman ke-169, apabila sifat rasa seperti gembira, sedih bergabung dengan awalan ber-, ber- bermaksud berada dalam keadaan sifat rasa itu. Maka bermaksudlah "berpuas" berada dalam keadaan puas. Saya tidak melihat beda makna antara "puas" dengan "berpuas", hanya cara penggunaan kedua-dua kata dalam ayat mungkin sedikit lain. "Berpuas" bermaksud berasa puas, maka berpuas kepada jayanya dalam peperiksaan = berasa puas kepada jayanya dalam peperiksaan. Kalau digunakan kata "berpuas", digunakan kata "berpuas" sahaja, iaitu "berpuas kepada jayanya dalam peperiksaan" tetapi jika yang digunakan "puas", mungkin perlu disertakan kata "berasa", iaitu "berasa puas kepada jayanya dalam peperiksaan" kerana berasa puas = berpuas. Namun begitu, tanpa kata "berasa", saya tidak melihat kesalahan frasa "puas kepada jayanya dalam peperiksaan" kerana jika cerita frasa sifat "puas" dapat diluaskan dengan frasa sendi nama keterangan "kepada jayanya dalam peperiksaan". Saya telah mengetahui bahawa kedua-dua kata ini bermakna serupa dan golongan kedua-dua kata ini berbeda, yang hendak saya soalkan: adakah "puas" dan "berpuas" ini senjang kaedah penggunaannya dalam ayat? Bolehkah tuan menunjukkan kesenjangan tersebut?Awalan beR- membentuk kata kerja yang bersifat tak transitif sama ada berpelengkap atau tanpa pelengkap. Pada dasarnya perkataan yang berawalan beR- ialah kata kerja yang membawa pengertian berlakunya sesuatu mengikut makna yang terkandung dalam kata dasar seperti bertukar dan bersenam. Namun begitu terdapat juga pengertian khusus, bergantung pada golongan perkataan tertentu seperti bercukur, bertumbuk dan bertulis. Kata kerja bermain membawa maksud yang terkandung dalam kata dasar main. Dalam bahasa Melayu, perkataan yang menandai masa perbuatan didahului dengan perkataan telah, sedang dan akan. Walau bagaimanapun dalam konteks ayat yang dapat menjelaskan masa berlakunya sesuatu perbuatan, maka perkataan telah, sedang dan akan boleh digugurkan. Contohnya ayat Ahmad sedang bermain bola sepak di Stadium Bukit Jalil menunjukkan perbuatan itu sedang dilakukan dan ayat Ahmad bermain bola sepak di stadium semalam, tidak perlu lagi didahului kata telah.
Tatabahasa22.12.2016
makna kepuasan hatiMenurut Kamus Dewan maksud

berpuas; ~ hati berasa puas (kenyang, lega, senang, dll);

memuaskan 1. menjadikan (menyebabkan) puas, memberi (memenuhi, menuruti, dll) hingga puas: wang dapat ~ kehendak-kehendak lahir; buah anggur sangat ~ selera saya; 2. memberi kelegaan (kesenangan, kesukaan, dll) kpd, menyenangkan, menyukakan: layanannya ~; ia ingin berbuat sesuatu yg dapat ~ hati ibunya; 3. memadai (harapan, hasrat, dll), menyenangkan: pendapatan drpd hasil padi tahun ini agak ~;

Sdr juga boleh  mendapatkan kemudahan menggunakan Kamus Dewan secara digital dengan melayari laman DBP.

Lain-lain04.03.2008
"Ngobrol Sampe Puas" Panggilan Termurah ke Indonesia dengan Kartu "WOW"Sila gunakan bahasa Melayu yang betul untuk paparan iklan di Malaysia. Jika hendak menggunakan bahasa-bahasa lain, perlu ada padanan dalam bahasa Melayu dan diletakkan di bahagian atas dengan saiz yang lebih besar. Untuk pengesahan iklan klik domain "Khidmat Pengesahan Bahasa DBP".Lain-lain14.12.2012
apa kesalahan dalam ayat di bawah: 1. Tandas itu mereka rosakkan kerana tidak puas hati terhadap penjaja kedai itu.Ayat yang betul ialah : Tandas itu dirosakkan oleh mereka kerana tidak puas hati terhadap penjaja kedai itu. Ayat ini merupakan bentuk ayat pasif diri ketiga.Tatabahasa11.04.2008
Assalamualaikum & Salam Sejahtera... Puas sudah saya mencari padanan dalam bahasa kebangsaan istilah "flying fox". Sudi bantu saya? Terima kasih....Tidak ada maklumat berkaitan flying fox atau zip line dalam data DBP. Mengambil kira bungee jumping diberikan padanan ‘terjun lelabah’, kami mencadangkan flying fox diberikan padanan  ‘terbang kelawar’. Pada peringkat permulaan memperkenalkan istilah ini, tuan boleh menulis menggunakan ‘terbang kelawar’ dan flying Fox dalam kurungan, terbang kelawar (flying fox).Istilah09.12.2014
Soalan Pertama:Dedah pembelian secara terperinci PAC puas hati penjelasan isu harga vaksin COVID-19 Adakah kesalahan-kesalahan tersebut? Soalan kedua:Pengerusinya,Wong Kah Woh,berkata taklimat berkenaan selari dengan hasrat PAC dalam memastikan perbelanjaan kerajaan kebanar-benar telus demi manfaat rakyat secara keseluruhannya. Mengapakah ayat di sini mengunakan perkataan 'berkenaan' bukannya berkenan?Adakah perbelanjaan ada kesalahan atau ada kesalahan lain? Soalan ketiga:Bilakah menggunakan 'Bagaimanapun dan Walau bagaimanapun'' Soalan keempat:PAC komited membantu memberikan keyakinan kepada rakyat dalam mendapatkan vaksinasi COVID-19 supaya penularan wabak ini dapat dihentikan. Saya nak tanya bolehkah menggunakan dua kali imbuhan ''mem'' dalam satu ayat ?Contoh:membantu memberikan .Hal ini ialah betul atau salah? Soalan kelima:Setiap syarikat atau semua syarikat? Soalan keenam:Di kawasan rendah (untuk sentiasa )berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta bersedia berpindah ke PPS dengan segera jika diarahkan pihak berkuasa. ''Untuk sentiasa''betul atau salah.Saya ada kekeliruan dalam ayat ini kerana ayat ini adalah ''untuk sentiasa dan diarahkan''sepatutnya diarahkan bukan ke belakang mampu tambah''oleh'' ya?Minta Puan/Tuan boleh memberikan penerangan.Terima kasih.

1. Ayat tidak lengkap. Penggunaan bahasa dalam media perlu dilihat dengan berhati-hati kerana berlaku pemendekan ayat dengan menggugurkan imbuhan dan membuang kata sendi nama. PAC berpuas hati dengan penjelasan pihak kementerian tentang isu harga vaksin COVID-19. 2. Lihat maksud perkataan berkenaan dan berkenan. Penggunaan kata berkenaan dalam konteks ayat tersebut, betul. 3. Kedua-dua perkataan ini boleh digunakan bersilih ganti, sama ada bagaimanapun atau walau bagaimanapun. 4. PAC komited membantu kerajaan memberikan keyakinan kepada rakyat dalam mendapatkan vaksinasi COVID-19 supaya penularan wabak ini dapat dihentikan. 5. Kedua-duanya betul. 6. Penduduk di kawasan rendah hendaklah sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta bersedia berpindah ke PPS dengan segera jika diarahkan pihak berkuasa.


Tatabahasa14.01.2021
Assalamualaikum. Saya Ami Farhani, ingin menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Peraduan Gambar dan Kata. Merujuk gambar yang saya lampirkan, terdapat dua nama MOHD BAKRI BIN TALIB sebagai pemenang. Berdasarkan syarat peraduan http://www.mfa.org.my/newmfa/peraduan-gambar-dan-kata/ :- "5. Peserta boleh menghantar lebih daripada satu penyertaan, tetapi hanya satu sahaja layak pilih sebagai pemenang." Ketiga-tiga penyertaan Mohd Bakri bin Talib pula jelas tidak mematuhi syarat peraduan. Dua daripadanya tidak memaparkan individu/model. Satu daripadanya pula menggunakan suntingan digital. (3. Gambar yang diambil hendaklah memaparkan individu/model bersama outlet/produk francais secara realiti tanpa suntingan digital.) Pautan penyertaan beliau: https://www.instagram.com/p/CUc4jJqJznc/?utm_medium=copy_link https://www.instagram.com/p/CVDgTV9pJlf/?utm_medium=copy_link https://www.instagram.com/p/CVDh_R7p0Rt/?utm_medium=copy_link Bagaimana beliau boleh dipilih sebagai pemenang? Penjurian oleh penganjur tidak cermat. Setiap peserta pastinya melakukan yang terbaik untuk mematuhi syarat peraduan. Jika pemenang dipilih daripada peserta yang tidak mematuhi syarat asas sebegini, bagaimana orang ramai hendak mempercayai ketelusan peraduan atas talian seperti ini? Justeru saya memohon DBP sebagai salah seorang penganjur mengambil berat tentang aduan saya ini. Terima kasih.

Maklum Balas Aduan keputusan Peraduan Gambar dan Kata

Aduan I:

Terdapat dua nama MOHD BAKRI BIN TALIB sebagai pemenang. Berdasarkan syarat peraduan http://www.mfa.org.my/newmfa/peraduan-gambar-dan-kata/ :- "5. Peserta boleh menghantar lebih daripada satu penyertaan, tetapi hanya satu sahaja layak pilih sebagai pemenang.

Maklum Balas:

Nama Encik Mohd. Bakri bin Talib hanya sekali sahaja dipilih sebagai pemenang iaitu, pemenang tempat ketiga.

Aduan II:

Gambar yang diambil hendaklah memaparkan individu/model bersama outlet/produk francais secara realiti tanpa suntingan digital.) Pautan penyertaan beliau: https://www.instagram.com/p/CUc4jJqJznc/?utm_medium=copy_link https://www.instagram.com/p/CVDgTV9pJlf/?utm_medium=copy_link https://www.instagram.com/p/CVDh_R7p0Rt/?utm_medium=copy_link

Bagaimana beliau boleh dipilih sebagai pemenang?

Maklum Balas:

Konsep kolaj serta teknik adalah kreativiti peserta yang menyertai pertandingan dan gambar tiada unsur suntingan digital. Pihak Juri memutuskan bahawa gambar tersebut merupakan gambar asli yang dibuat dalam konsep kolaj.

Sekian, terima kasih.
Lain-lain28.12.2021
maksud keluguan dan segmentasiLugu bermaksud berasa senang, puas, kenyang. Kata terbitan keluguan tidak ada contoh dalam Kamus Dewan walau bagaimanapun maksudnya sama seperti makna kata asalnya. Manakala segmentasi tidak ada dalam bahasa Melayu, yang ada ialah perkataan segmen bermaksud 1. bahagian (dari sesuatu), penggal; 2. (istilah Biologi) bahagian dari binatang yang beruas-ruas (seperti cacing, serangga, dll), dan padanan segmentation dalam bahasa Melayu ialah pensegmenan.  Makna12.09.2009
Salam. Merujuk kembali persoalan tentatif program dan program tentatif. Saya masih kurang puas hati terhadap jawapan yang diberikan. Jika dilihat maksud tentatif dalam Kamus Dewan ia bermaksud tidak muktamad atau buat sementara waktu. Jadi kalau frasa tentatif program adalah betul ia bermaksud tidak muktamad program atau buat sementara waktu program, bukan program tidak muktamad atau program buat sementara waktu. Dalam Kamus Dewan pun memberi contoh langkah tentatif dan bukannya tentatif langkah. Harap dapat penjelasan daripada pihak DBP kerana saya masih keliru. Terima kasih.

Program tentatif ialah program yang belum muktamad. Harap mkalum

Tatabahasa30.06.2008
123

Kembali ke atas