Aerial atau disebut juga antena, ialah suatu alat
yang memancar dan menerima isyarat radio,
televisyen dan radar. Isyarat ini dibawa oleh
gelombang elektromagnet (lihat Gelombang
elektromagnet ). Gelombang elektromagnet beredar
menerusi angkasa pada kelajuan cahaya.
Gelombang elektromagnet mempunyai jarak
gelombang berbeza-beza, yang ada kaitan terus
dengan frekuensinya (kadar getaran). Stesen radio,
televisyen, dan radar memancar pada panjang
gelombang yang berlainan dan tidak akan
menyebabkan gangguan isyarat antara satu sama
lain. Terdapat dua jenis pancaran bunyi menerusi
stesen radio, iaitu, modulasi amplitud (AM), dan
modulasi frekuensi (FM). Secara amnya, stesen AM
menggunakan panjang gelombang dalam jarak 10
meter hingga 2000 meter, sementara stesen FM dan
televisyen menggunakan jarak gelombang tiga
meter dan kurang. Isyarat radar menggunakan
panjang jarak gelombang yang hanya beberapa
sentimeter panjang.