TALIAN SEGERA | Talian segera ialah sistem dua hala telegraf-teleprinter yang menghubungkan Washington D.C., dengan Moscow. Talian segera ini dikenali dengan nama rasmi Direct Communications Link . Talian ini membolehkan Presiden Amerika Syarikat dan Presiden Rusia berhubung secara terus dan serta-merta apabila sesuatu krisis antarabangsa berlaku. Tujuannya ialah untuk mengurangkan risiko berlakunya peperangan disebabkan oleh salah faham. | UMUM | |
ROMPAKAN | Rompakan bermakna mencuri atau mengambil wang atau barang-barang dengan segera secara paksa atau ancaman. Rompakan merupakan satu jenayah yang serius dan boleh dikenakan hukuman penjara. | UMUM | |
MIKROFON | Mikrofon ialah sejenis peranti yang menukar bunyi menjadi tenaga elektrik. Tenaga ini bergerak dengan segera melalui wayar atau gelombang radio kepada penerima yang disambungkan kepada satu pembesar suara atau alat lain yang menukarkannya semula kepada bunyi. Mikrofon yang sering kali dikenali sebagai ‘mike’ juga digunakan untuk merakam bunyi. | UMUM | |
SERANGAN DAN SERANG-SENTUH | Serangan dan serang-sentuh ialah istilah undang-undang yang melibatkan ancaman dan perbuatan fizikal. Perbuatan menyerang menyebabkan mangsa dalam ketakutan akan menerima perbuatan ganas dengan segera. Ancaman lisan mungkin merupakan serangan. Mengangkat belantan atau mengancamkan penumbuk merupakan serangan, walaupun pukulan sebenarnya tidak terjadi, melainkan kalau orang yang diancam itu begitu jauh hingga tidak memungkinkan kekerasan dilakukan. Seseorang yang menghalakan muncung senapang kepada sekumpulan orang ramai mungkin didapati bersalah kerana serangan terhadap setiap orang dalam kumpulan orang ramai tadi. Serang-sentuh ada kaitannya dengan pukulan sebenarnya ataupun kecederaan fizikal yang lain. Kedua-dua perbuatan salah ini biasanya terjadi bersama- sama dan biasanya dihukum sebagai satu kesalahan. Tiada serangan akan berlaku jika seseorang berhak mengancam atau menimpakan kecederaan. Seseorang boleh mengusir pengganggu dari rumahnya dengan paksaan yang wajar. | UMUM | |
MIL OAT | Mil oat ialah keluaran makanan yang dibuat daripada oat. Ia biasanya dimakan sebagai bijirin sarapan yang dimasak yang dinamakan bubur. Mil oat dibuat dengan membuang sekam luar isirung oat. Groat atau bahagian dalam isirung, dilecek untuk menanggalkan kulit luarnya. Kemudian, ia dikukus sebahagiannya masak, dan digelek untuk membentuk emping. Mil oat segera dimasak, didapati apabila groat dipotong menjadi kepingan yang lebih kecil sebelum digelek menjadi emping. Mil oat adalah sumber vitamin B dan zat besi yang baik. Satu cawan (240 gram) bubur mil oat mengandungi kira-kira 23 gram karbohidrat, lima gram protein, dua gram lemak. Satu cawan terdiri daripada kira-kira 85 peratus air dan mempunyai 130 kalori. | UMUM | |
PERANG DUNIA I | Perang Dunia I (1914–1918) melibatkan lebih banyak negara dan menyebabkan lebih besar kemusnahan daripada sebarang perang lain kecuali Perang Dunia II (1939–1945). Peluru pembunuh di Austria-Hungary mencetuskan perang, dan sistem perikatan tentera menjerumuskan kuasa-kuasa besar Eropah ke dalam kancah peperangan. Setiap pihak menjangkakan kemenangan segera. Tetapi perang berlaku selama empat tahun dan mengorbankan hampir 10 juta askar. | UMUM | |
PLUMBUM TETRAETIL | Plumbum tetraetil ialah bahan yang ditambah kepada petrol untuk memperbaik prestasi enjin. Bahan ini dikenali sebagai bahan tambah anti- ketukan kerana ia mengurangkan bunyi “ketukan” atau bunyi “desing” yang dihasilkan oleh enjin. Enjin membuat ketukan ini jika petrol dalam silindernya mula terbakar dengan terlalu segera atau terlalu pantas. Keadaan demikian yang menyebabkan ketukan juga mengurangkan kuasa enjin dan boleh merosakkan enjin. Sedikit plumbum tetraetil dalam petrol memperbaik keadaan ini. | UMUM | |
PERANG UHUD | Perang Uhud berlaku pada bulan Syaaban, tahun ketiga Hijrah /625 M. antara orang Islam dengan kaum musyrikin Makkah. Antara punca berlaku peperangan ini ialah kaum Quraisy mahu membalas dendam selepas kekalahan mereka di dalam Perang Badar. Dengan demikian, kaum Quraisy seramai lebih kurang 3000 orang keluar menuju ke Madinah. Rasullulah s.a.w. segera bermesyuarat dengan para sahabat sama ada mereka perlu keluar dari Madinah atau bertahan di dalam kota. Pendapat majoriti mahu kaum muslimin menghadapi pihak Quraisy di luar kota Madinah. Orang Islam menuju ke Bukit Uhud dengan tentera seramai 1000 orang. Tetapi semasa di pertengahan jalan, ‘Abdullah ibn ‘Ubay ibn Sulul berjaya melemahkan semangat 300 orang tentera Islam. Mereka kembali semula ke Madinah. | UMUM | |
ABU AL-HAYTHAM IBN AL-TAYHAN | Abu al-Haytham ibn al-Tayhan ( ? –20 H./ ? –641 M.), sahabat Rasulullah SAW daripada golongan Ansar. Nama sebenarnya ialah Malik ibn al-Tayhan. Dia berasal daripada keturunan kabilah al-Aus iaitu salah satu kabilah yang terdapat di Madinah. Walaupun dia dibesarkan pada zaman Jahiliah tetapi dia amat membenci penyembahan berhala. Dia berpegang pada agama tauhid. Oleh sebab itu dia segera memeluk Islam dan merupakan antara enam orang terawal menemui Rasulullah SAW di Makkah dan beriman kepada Baginda. Dia juga hadir dalam dua Bai’ah, iaitu Bai’ah Aqabah I dan Bai’ah Aqabah II serta dilantik sebagai salah seorang naqib. | UMUM | |
MENARA CONDONG PISA | Menara Condong Pisa ialah sebuah menara loceng yang terletak di Pisa, Itali. Strukturnya terkenal kerana kecondongannya sebanyak 4.4 meter daripada garisan asal apabila diukur daripada tingkat ketujuh. Menara ini condong kerana tapak asasnya telah dibina di atas tanah yang tidak stabil. Pembinaan menara berkenaan bermula pada tahun 1173 dan telah disiapkan antara tahun 1360 dan 1370. Tanah di bawah menara berkenaan mula terbenam selepas tiga tingkat pertama siap dibina. Menara berkenaan ditutup pada awal tahun 1990-an bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilakukan dengan segera. | UMUM | |