S.O.K. Ubaidullah, Tan Sri (1918- ) ialah
tokoh Maal Hijrah 1989 dan Pengerusi Tetap
Malaysian Indian Congress (MIC) semenjak 1
Januari 1994. Dia juga dikenali sebagai ahli
perniagaan, pendakwah, dermawan, penulis, ahli
akademik, dan ahli politik. S.O.K. Ubaidullah
berhijrah ke Tanah Melayu pada tahun 1938
sewaktu berusia 20 tahun. Ketika itu
dia baru sahaja menamatkan pengajian di
Universiti Madras, India. Dia bekerja dengan abang
iparnya dari tahun 1939 hingga tahun 1949.
Keluarganya tinggal di Sungai Ujong, Negeri
Sembilan (kini kawasan tersebut dikenali sebagai
Seremban), dan mengambil kontrak memberi
perkhidmatan lampu pada waktu malam di bandar
tersebut. Kemudian pada penghujung tahun 1949,
dia berpindah ke Kuala Lumpur dan membuka
cawangan perniagaan keluarganya di bandar
tersebut dan memberi perkhidmatan yang sama di
sepanjang Jalan Tun Perak (dahulu dikenali sebagai
Jalan Mountbatten dan sebelumnya dikenali
sebagai Java Street).