Serapis ialah dewa yang tiba-tiba menjadi
popular di Mesir pada tahun 300-an S.M.
Pemerintah Ptolemaic di Mesir bermula dengan
Ptolemy I pada tahun 323 S.M., telah membina
sebuah kuil yang sangat indah untuk Serapis dan
menggalakkan penyebaran fahamannya di seluruh
dunia Mediterranean.
Serapis menggabungkan watak Mesir dan
Yunani. Di Alexandria, dia digambarkan sebagai
dewa yang menduduki takhta yang merupakan
lambang diraja seperti Zeus, raja segala dewa
Yunani. Serapis ialah dewa alam ghaib, dikaitkan
dengan Isis, dewi Mesir yang popular. Selain itu,
Serapis bertindak sebagai pemilik Sungai Nil yang
memberikan kesuburan. Dia melindungi golongan
yang bekerja di laut, memberikan ilham tentang
ramalan, menyembuhkan pesakit, dan memerintah
seluruh alam semesta seperti Zeus.
Serapis memiliki banyak watak Mesirnya
daripada fahaman Osiris-Apis di Memphis. Nama
Serapis mungkin merupakan gabungan antara
Osiris dengan Apis. Osiris, suami Isis, ialah dewa
kesuburan dan dewa alam ghaib. Apis pula
merupakan bentuk duniawi Osiris dalam lambang
lembu jantan.