"Tidak mengalah dan tidak merungut" atau "Tidak mengalah dan merungut". Adakah "tidak" perlu diulang dua kali untuk kedua-dua kata kerja negatif ini? | Ayat yang betul ialah tidak mengalah dan tidak merungut. | Tatabahasa | 26.05.2021 |
Penselnya yang hilang itu tidak berwarna merah. Penggunaan tidak di sini betul atau tidak? Kalau salah, bagaimanakah penjelasannya sebab berwarna merah itu frasa adjektif | Frasa "tidak berwarna merah" tidak tepat. Ayat yang betul ialah Penselnya yang hilang itu bukan yang berwarna merah. | Lain-lain | 30.09.2021 |
Boleh saya tahu adakah "atau tidak" diperlukan untuk ayat jenis ini. "Periksa sama ada fail sudah disalin v/s "Periksa sama ada fail sudah disalin atau tidak" - adakah "atau tidak" wajib ada dalam ayat ini kerana ayat dapat difahami walau tiadanya "atau tidak". Dan untuk teks yang formal, "atau tidak" ini menjadikan ayat tidak/kurang formal. Jika untuk padanan, contohnya "sama ada lelaki atau perempuan", "sama ada betul atau salah" maka mesti sepasang. Atau adakah pilihan lain boleh digunakan contohnya: "Periksa untuk memastikan bahawa fail sudah disalin"? Terima kasih | Ayat tersebut bertujuan memberi arahan atau perintah boleh dibetulkan seperti berikut:“Periksa dan pastikan fail tersebut sudah disalin atau belum.” Perkataan “sama ada” boleh digunakan dan perlu sesuai dengan konteks ayat, contohnya ayat yang menyatakan pilihan atau sesuatu yang tidak pasti.
| Tatabahasa | 23.08.2021 |
Apakah perbezaan antara salah dan silap? | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, salah bermaksud tidak benar atau tidak betul. Contoh ayat, Dia tidak boleh membezakan antara yang salah dan benar manakala silap pula bermaksud salah yang tidak disengajakan. Contoh ayat, Kalau saya tidak silap, semalam dia ada datang ke mari. | Lain-lain | 14.08.2021 |
Salam sejahtera tuan. Saya ada beberapa pertanyaan. Adakah ayat-ayat berikut betul? Terima kasih. 1. Murid-murid yang ingin menimba ilmu haruslah banyak membaca bahan-bahan ilmiah secara konsisten. Adakah ayat ini betul? Terima kasih. Adalah penggunaan dua kata ganda tidak tidak dibenarkan dalam satu ayat? 2. Dengan ini dimaklumkan bahawa kerja mengecat bangunan sekolah akan dimulakan pada cuti penggal yang akan datang. 3. Hujan yang turun lebat sejak pagi tadi kelihatan semakin reda pada petang ini. 4. Adik makan dengan seleranya sehingga perutnya kembung. 5. Ilmu yang kita cari sekian lama akan berkurangan sekiranya ilmu tersebut bukan kita amalkan dalam kehidupan seharian kita. 6. Ketua sindiket itu telah dijatuhi oleh hakim hukuman gantung sampai mati. 7. Abang menjangkakan perniagaan itu akan bertambah maju dalam jangka masa pendek. | 1. Ayat nombor 1 betul kerana dua kata ganda boleh digunakan dalam satu ayat. 2. Ayat nombor 2 betul 3. Ayat nombor 3 betul 4. Adik makan dengan berselera sehingga perutnya kembung. 5. Ilmu yang kita cari sekian lama akan berkurangan sekiranya tidak diamalkan dalam kehidupan seharian. 6. Ketua sindiket itu telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh hakim. 7. Ayat nombor 7 betul | Tatabahasa | 04.07.2021 |
Salam sejahtera. Adakah permulaan ayat dengan menggunakan perkataan "Contohnya" betul? Dalam ruangan soalan lazim Khidmat Nasihat Bahasa, jawapannya adalah tidak konsisten. Pada tarikh 21.02.2018, jawapannya ialah ayat yang dimulai dengan "Contohnya" adalah tidak gramatis dan tidak boleh digunakan kerana tidak didahului oleh subjek. Tetapi pada tarikh 22.02.2020, jawapannya ialah permulaan ayat dengan menggunakan perkataan "Contohnya" tidak menjadi masalah dan boleh digunakan. Begitu juga dengan sebagai contoh @ sebagai contohnya. Pada tarikh 29.04.2015, jawapannya ialah sebagai contohnya adalah betul. Tetapi pada tarikh 22.02.2020, sebagai contoh yang betul. Sila beri penerangan dan nasihat bagi masalah tersebut. Terima kasih. | Perkataan "Contohnya" boleh digunakan pada permulaan ayat yang mempunyai kesinambungan dengan ayat sebelumnya. Contoh penggunaannya ialah "Rakyat Malaysia menyambut perayaan yang melibatkan pelbagai kaum. Contohnya, Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali." | Lain-lain | 14.04.2022 |
Saya tidak tertusuk ranting kayu ke dalam mata. Mata saya tidak tertusuk ranting kayu ke dalam mata. Ranting kayu tidak tertusuk ke dalam mata. Ayat yang manakah betul? | Ayat yang betul ialah "Mata saya tidak tertusuk oleh ranting kayu". | Tatabahasa | 27.04.2022 |
Saya tidak tertusuk ranting kayu ke dalam mata. Mata saya tidak tertusuk ranting kayu ke dalam mata. Ranting kayu tidak tertusuk ke dalam mata. Ayat yang manakah betul? | Ayat yang betul ialah "Mata saya tidak tertusuk oleh ranting kayu" | Tatabahasa | 12.05.2022 |
Manakah betul? lembab atau lembap? | Kedua-duanya betul. Lembab bermaksud lambat berfikir; tidak cekap atau tidak cergas manakala lembap pula bermaksud masih basah atau tidak kering. | Lain-lain | 19.12.2021 |
Perlukah nama pengirim ditulis di sebelah kanan dalam surat tidak rasmi sebelum menulis alamat pengirim? | Kebiasaannya dalam penulisan surat tidak rasmi, nama pengirim tidak perlu ditulis di bahagian atas sebelah kanan tetapi alamat pengirim sahaja yang perlu disediakan. Nama pengirim akan ditulis di bawah tandatangan pengirim surat. | Lain-lain | 01.09.2021 |