Serangga sisik ialah satu daripada banyak
jenis serangga penghisap yang memakan
tumbuhan. Serangga sisik berkelompok pada
tumbuhan, menghisap jus melalui muncungnya
yang halus, bak tiub.
Serangga sisik betina melakukan kebanyakan
kerosakan. Serangga sisik jantan dewasa hanya
hidup cukup lama untuk mensenyawakan telur
serangga betina. Kebanyakan jenis serangga betina
berbentuk bujur. Panjangnya dari satu milimeter
hingga 2.5 sentimeter, bergantung pada
spesiesnya. Serangga sisik mendapat namanya
daripada kulitnya yang melekit atau bersisik yang
meliputi badannya. Sesetengah jenis serangga
betina hampir tidak kelihatan seperti serangga
sama sekali. Ia tidak mempunyai mata, sesungut
dan kaki dan jarang bergerak.
Ahli sains mengetahui lebih daripada 2000 jenis
serangga sisik. Serangga sisik San Jose adalah yang
terkenal dan paling berbahaya. Ia memakan banyak
jenis pokok buah dan pokok renek. Ia pertama kali
dijumpai di Amerika Syarikat dekat San Jose,
California, kira-kira pada tahun 1870. Satu lagi
serangga sisik yang menyerang pokok buah, iaitu
serangga sisik kekapas, yang pada satu masa
mungkin memusnahkan semua jenis pokok sitrus
di California.
Sesetengah serangga sisik adalah berguna.
Syelek, iaitu varnis yang didapati berasal daripada
serangga sisik yang dinamakan serangga lak (lihat
Lak ). Cochineal, iaitu pewarna, didapati daripada
serangga sisik cochineal . Satu jenis serangga sisik
digunakan sebagai barang kemas. Serangga ini
diliputi cangkerang, yang dikenali sebagai mutiara
tanah .
Pengelasan saintifik. Serangga sisik adalah anggota
order Hemiptera .