Saya ingin mengetahui penggunaan perkataan 'trend': i. Adakah 'trend turun naik' digunakan untuk semua jenis arah aliran? Contohnya; Tahun 2008 50% Tahun 2009 80% Tahun 2010 65% Ayat: Prestasi murid dalam peperiksaan menunjukkan trend turun naik. (Adakah ayat ini betul?) 2. Bolehkah saya menggunakan 'trend naik turun' untuk menggambarkan peratus pencapaian murid yang meningkat pada tahun 2009 jika dibandingkan dengan tahun 2008 dan menurun pada tahun berikutnya? | Perkataan trend bermaksud arah aliran, yang menunjukkan perkembangan atau pergerakan dan tidak semestinya berlaku turun naik. Walau bagaimanapun, sekiranya berlaku turun naik dalam sesuatu trend itu, maka boleh digunakan trend turun naik. | Istilah | 15.06.2012 |
Saya ingin dapatkan penjelasan perkataan 1) Trend - Adakah ia telah di Melayukan? - Atau menggunakan perkataan 'aliran' bertepatan maksunya dengan perkataan tersebut. 2) Data Entry - Saya tidak dapat mencari perkataan yang sesuai dalam Bahasa Melayu seperti: a) Interviewwer = Penemubual b) Supervisor = Penyelia Harap mendapat perhatian yang sewajarnya. Sekian, terima kasih. | Padanan bahasa Melayu bagi 'trend' ialah arah aliran atau trend. Data entry- kemasukan data; Interviewer- penemu duga; Supervisor- penyelia | Istilah | 25.04.2008 |
maksud kesiapsiagaan.. tren atau trend? | Siap siaga bermaksud siap sedia, jadinya kesiapsiagaan bermaksud kesiapsediaan. | Makna | 24.11.2010 |
Perkataan Bahasa Inggeris kepada bahasa Malaysia perkataan berikut: a. Trend b. Linear regression c. Spatial d. Gantt Chart e. Endangered f. Vulnerable g. Critically Endangered Terima Kasih | Mohon maaf kerana DBP tidak memberikan perkhidmatan penterjemahan. Tuan/puan boleh mencarinya daripada kamus atau hubungi Persatuan Penterjemahan Malaysia 03-21442506. Terima kasih. | Penyemakan dan penterjemahan | 04.11.2014 |
Saya ingin tahu apakah terjemahan terbaik untuk container gardening? Contoh: Container gardening is the new trend of urban gardeners who don't have any space in their home. | Untuk makluman, tidak ada istilah bahasa Melayu yang khusus untuk "container gardening" dalam pangkalan data kami. Walau bagaimanapun, istilah bahasa Melayu untuk "gardening" ialah perkebunan dan istilah bahasa Melayu untuk "container" ialah bekas. Oleh itu, istilah yang dicadangkan ialah perkebunan bekas atau perkebunan dalam bekas. | Istilah | 18.02.2013 |
Saya ingin bantuan untuk terjemahan ke Bahasa Melayu: 1) "Reshoring" seperti dalam ayat : Meanwhile, the reshoring trend in the US has been driven by political pressures at home as well as rising wages and labour issues in low-cost manufacturing countries 2) "Internet of Things (IoT): contoh ayat "Ubiquitous sensor-equipped devices will share data with one another across the network in the Internet of Things (IoT). This technology will revolutionise the way people live and work." Terima kasih didahulukan. Muhammad Halimi | Cadangan kami: 1. reshoring = penempatan kembali/menempatkan kembali 2. Internet of Things (IOT) = Internet Benda | Penyemakan dan penterjemahan | 29.09.2015 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya lihat media massa banyak menggunakan istilah "sekuel" dan "prekuel" bagi menggambarkan sesuatu drama, filem dan sebagainya. Adakah istilah-istilah ini akan dimasukkan dalam Kamus Dewan, atau adakah terdapat istilah lain yang seerti dengannya? Pada perhatian saya, istilah "genre", "trend" dan "rating" pula sudah wujud dalam Kamus Dewan. Terima kasih. | Tuan/puan yang budiman, Perkataan “genre” dan “trend” telah diterima pakai untuk penggunaan maksud rasmi. Manakala perkataan “rating” tidak sesuai digunakan untuk maksud rasmi kerana dikategorikan sebagai bahasa percakapan. Untuk makluman tuan/puan, Kamus Dewan berfungsi merakam perkataan yang banyak digunakan dalam kalangan masyarakat dengan merujuk data korpus. Itulah antara justifikasi sesuatu perkataan itu dimasukkan sebagai entri dalam Kamus. Semua perkataan yang dimasukkan dalam Kamus Dewan tidak semestinya diterima sebagai baku dan boleh digunakan untuk tujuan rasmi. Perkataan “sekuel” dan “prekuel” tidak ada dalam pangkalan data kami. Walau bagaimanapun, hasil carian kami, hanya menjumpai perkataan “sequel” sahaja yang membawa maksud susulan, contoh ayat: Sudah ada empat susulan filem “Superman”. Untuk makluman tuan/puan juga, konsep pembentukan istilah ialah mengambil istilah yang ada dalam pelbagai dialek dan kemudiannya barulah bahasa asing. Cara mengejanya adalah mengikut kaedah ilmiah pembentukan istilah. Bahasa Melayu sebagai bahasa yang dinamik tidak terkecuali dalam hal ini dan menerima unsur/pengaruh daripada bahasa luar termasuk bahasa Inggeris atau bahasa yang lain juga mengikut konteks penggunaannya. Walau bagaimanapun, proses ini tidaklah dilakukan dengan sewenang-wenangnya, melainkan telah mematuhi syarat pembentukan istilah yang sedia ada. | Istilah | 20.12.2017 |
apa maksud paradima | Paradigma ialah 1. daftar atau kumpulan lengkap bentuk terbitan sesuatu perkataan; 2. contoh atau model yang jelas tentang sesuatu: kedudukan dunia media hari ini mempunyai empat trend utama yang diterima sebagai ~ yang universal; 3. lingkungan atau batasan pemikiran (seseorang atau sesuatu organisasi) pada sesuatu masa yang dipengaruhi oleh pengalaman, pengetahuan, kemahiran, dan kesedaran yang ada; anjakan ~ peralihan paradigma daripada satu lingkungan atau batasan kepada sesuatu yang baru (biasanya kepada yang lebih baik). | Makna | 27.08.2010 |
Asalamualaikum. 1.Perkataan ORANG UTAN -apakah maksud UTAN?Adakah UTAN itu bermaksud HUTAN. Kenapa dalam Kamus Dewan tidak ada perkataan UTAN KenDapa perkataan ORANG tidak dihuraikan pengertian ORANG UTAN dalam Kamus Dewan. 2. Seolah-olah satu trend pada masa ini, kebanyakan premis perniagaan menggunakan kata D seperti Kafe Santai D Saga, D Intim Tomyam, Spa D Indah dan sebagainya.Soalannya bolehkah kata tersebut diterima pakai dalam Bahasa Melayu. Rasionalnya. terima kasih. ISMAIL HASHIM BALING | Utan meruapakn varian dan sama makna dengan hutan. Istilah orang utan memang tidak dimasukkan dalam Kamus Dewan tetapi di bawah entri orang ada oran hutan iaitu makna keduanya sejenis kera besar, mawas. | Istilah | 28.05.2009 |
apa makna perkataan paradigma? boleh tolong terangkan.terima kasih. | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, paradigma bermaksud 1. daftar atau kumpulan lengkap bentuk terbitan sesuatu perkataan; 2. contoh atau model yg jelas tentang sesuatu: kedudukan dunia media hari ini mempunyai empat trend utama yg diterima sbg ~ yg universal; 3. lingkungan atau batasan pemikiran (seseorang atau sesuatu organisasi) pd sesuatu masa yg dipengaruhi oleh pengalaman, pengetahuan, kemahiran, dan kesedaran yg ada; anjakan ~ peralihan paradigma drpd satu lingkungan atau batasan kpd sesuatu yg baru (biasanya kpd yg lebih baik). | Tatabahasa | 07.09.2012 |