Shahnon Ahmad, Dato’ (1933– ) ialah penulis,
pengkritik sastera, dan ahli politik. Dia merupakan
penerima Anugerah Sasterawan Negara yang
kedua (1982). Shahnon juga merupakan pelopor
penerapan konsep Islam dalam kesusasteraan
Melayu. Novel Shahnon yang terkenal, Ranjau
Sepanjang Jalan (1969) mengisahkan kemiskinan
keluarga petani di Banggul Derdap, Sik, Kedah
yang diwakili oleh Lahuma bersama-sama isteri, Jeha,
serta anak-anaknya. Novel ini diterjemahkan ke
dalam bahasa Inggeris, Jepun, Sweden, Rusia,
Iceland, Belanda, dan Denmark. Di samping itu,
novelnya yang berunsur Islam seperti al-Shiqaq
(1986), Umi dan Abang Syeikul (1988), dan Tuk Guru
(1988) menampilkan suatu pendekatan baharu dalam
menyampaikan kesedaran beragama dan
pelaksanaannya. Shahnon juga menghasilkan
novel-novel yang berkaitan dengan fenomena
politik semasa yang berlaku di tanah air seperti
tergambar dalam novelnya Menteri (1967), Perdana
(1969), Tunggul Gerigis (1988), Patriarch (1991),
Sutan Baginda (1990), dan Shit (novel satira, 1999).
Shahnon juga menghasilkan novel-novel yang
berkaitan dengan pergolakan sosial dan kejatuhan
moral masyarakat kesan daripada pengaruh
pemodenan seperti terlukis dalam novelnya
Kemelut (1977) dan Tivi (1995).