BAGAIMANA SAYA MAHU BERKHIDMAT DI DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA INI.? | Sdr, Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih di atas keinginan sdr untuk berkhidmat dengan kami untuk sama-sama membina dan mengembangkan Bahasa Melayu. Untuk berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, sdr perlulah melihat jawatan yang sesuai dengan kelayakan akademik sdr. Sekiranya ada jawatan kosong diiklankan, sdr bolehlah mengisi borang permohonan yang boleh dimuat turun melalui laman sesawang kami. Sdr perlu mengisi dengan lengkap borang tersebut serta dilampirkan dengan salinan dokumen sokongan yang berkaitan. Hantarkan secara serahan tangan atau dipos kepada kami sebelum tarikh tutup. Permohonan yang memenuhi syarat akan dipertimbangkan untuk dipanggil temu duga | Lain-lain | 15.10.2010 |
Selamat sejahtera, Apakah kata sendi nama yang lebih sesuai dalam ayat-ayat di bawah? 1. Setelah 10 tahun aku berkhidmat (kepada/dengan) tuan aku, badanku mulai rosak. 2. Aku bersyukur kerana dapat berkhidmat (kepada/dengan) tuan aku selama ini. Sekian, terima kasih. | 1. Setelah 10 tahun aku berkhidmat kepada tuan aku, badanku mulai rosak. 2. Aku bersyukur kerana dapat berkhidmat kepada tuan aku selama ini. | Tatabahasa | 03.07.2015 |
Salam. Saya berkhidmat sebagai Pegawai Khas Koakademik iaitu mengelolakan Pertandingan Bahas Ala Parlimen, Pidato, Forum Remaja dan juga Pesta Pantun di kalangan murid-murid Daerah Petaling. Diharap pihak Tuan boleh mencadangkan saya tajuk-tajuk yang sesuai untuk diperbahaskan dan di pidatokan. Terima kasih. Nuraini bt Abd. Rahman | Untuk makluman puan, bagi Pertandingan Forum Remaja, tajuk Pertandingan Forum Remaja akan disediakan oleh pihak penganjur dan akan dimaklumkan kepada pegawai JPN (JK Induk Pertandingan Forum Remaja) yang terlibat. Bagi pertandingan yang lain seperti bahas, pidato, pantun dan lain-lain, puan boleh berhubung dengan pihak penganjur untuk mengetahui statusnya. Lazimya tajuk sesuatu pertandingan dibina berdasarkan tema tertentu yang telah ditetapkan oleh penganjur pertandingan. Terima kasih. | Lain-lain | 11.02.2009 |
Jika ingin berkhidmat dengan DBP, di manakah biasanya iklan jawatan kosong diiklankan? Bagaimana untuk memohon sebarang jawatan jika ingin berkhidmat dengan DBP? Terima kasih. | Sdr Shafarila, Bagi setiap jawatan kosong, kami akan mengiklankannya di dalam akhbar Mingguan Malaysia. Di samping itu, perincian butiran iklan juga akan kami paparkan di dalam laman web kami. Sdr boleh mengemukakan permohonan dengan mengisi borang permohonan yang boleh dimuat turun melalui laman web kami, atau datang sendiri ke pejabat kami di alamat seperti yang berikut: Bahagian Pengurusan Personel, Tingkat 17, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. Sdr juga boleh mendapatkan borang permohonan jawatan dengan mengemukakan sampul surat berukuran 38cm x 25cm bersetem RM0.40 dan beralamat sendiri ke alamat seperti yang dinyatakan di atas. Pertimbangan akan dibuat berasaskan syarat-syarat yang ditetapkan di dalam skim perkhidmatan bagi sesuatu jawatan. | Lain-lain | 24.10.2009 |
setiap pekerja atau kakitangan yang baru berkhidmat di dewan bahasa dan pustaka mesti wajib mengikuti kursus yang di anjurkan untuk memantapkan perkhidmatan dan ada juga orientasi bila setiap pekerja atau kakitangan yang baru berkhidmat ? dan ada satu pertanyaan , kalau ada temuduga, ujian harus di adakan kh ? | Untuk makluman tuan, kesemua pegawai dan Staf DBP perlu dan wajib menghadiri kursus yang dianjurkan oleh pihak Akademi DBP untuk memantapkan ilmu dan mutu perkhidmatan staf DBP. Ujian bertulis pula diadakan untuk skim-skim tertentu sahaja. Contoh: Pengambilan Perancang Bahasa S41 dan Pegawai Tadbir S41. | Lain-lain | 26.03.2017 |
Assalamualaikum, Dalam surat kiriman rasmi ada slogan "BERKHIDMAT UNTUK NEGARA". Ada juga jabatan lain memasukkan slogan jabatan mereka sendiri atau memeasukkan juga tema Hari Kebangsaan "SEHATI SEJIWA". Soalannya, yang manakah perlu ditulis dahulu? BUN atau slogan jabatan sendiri atau tema Hari Kebangsaan? Terima kasih | Dalam surat kirirman rasmi, slogan "BERKHIDMAT UNTUK NEGARA" diletakkan di bahagian atas, slogan-slogan lain diletakkan selepasnya, seperti: "BERKHIDMAT UNTUK NEGARA' "SLOGAN JABATAN" "SLOGAN HARI KEBANGSAAN/KEMPEN SEMASA" | Tatabahasa | 17.11.2015 |
Adakah penggunaan tanda pembuka kata dan pembuka kata masih dipakai pada moto BERKHIDMAT UNTU NEGARA pada penutup isi surat rasmi....t kasih | Tanda pembuka kata masih lagi digunakan, misalnya seperti "Berkhidmat Untuk Negara", "Bersih, Cekap, Amanah" dan "Bahasa Jiwa Bangsa". T.kasih. | Lain-lain | 03.07.2008 |
Selamat sejahtera, Apakah terjemahan yang sesuai bagi frasa "Berkhidmat untuk negara" yang terdapat pada kebanyakan surat rasmi kerajaan? Adakah "Serve for the country" atau "Serve for country" yang sesuai? Jika kedua-duanya tidak sesuai, mohon pendapat DBP. Terima kasih. | Tidak ada padanan "Berkhidmat untuk Negara" dalam pangkalan data kami. Frasa tersebut digunakan dalam surat rasmi kerajaan dan surat rasmi kerajaan ditulis dalam bahasa Melayu. Jika ada keperluan menyediakan salinan berbahasa Inggeris bersama salinan berbahasa Melayu seperti surat kepada pejabat kedutaan, pada pandangan kami tidak menjadi suatu kesalahan untuk mengekalkan frasa tersebut kerana bukan kandungan utama surat. | Penyemakan dan penterjemahan | 03.03.2015 |
Tolong betulkan ayat ini. Orang Belanda Hitam adalah para rekrut Afrika Barat yang didatangkan dari Elmina untuk berkhidmat dengan Tentera Diraja Hindia Timur Belanda yang bertugas di Hindia Timur Belanda. | Orang Belanda Hitam ialah rekrut Afrika Barat yang didatangkan dari Elmina untuk berkhidmat dengan Tentera Diraja Hindia Timur Belanda dan bertugas di Hindia Timur Belanda. | Tatabahasa | 22.10.2014 |
Institusi tempat saya berkhidmat ingin memberi anugerah khas kepada seorang tetamu berpangkat Tan Sri sempena majlis konvokesyen institusi. Adakah kami boleh memberi nama anugerah khas tersebut dengan menambah perkataan 'Kehormat' Contoh: ANUGERAH KEHORMAT ..(nama Institusi)... Adakah penggunaan perkataan 'kehormat' bagi anugerah mempunyai kriteria khas? | Ungkapan kehormat digunakan secara umum bagi orang yang mendapat gelaran anugerah, sama ada anugerah kehormat negara, negeri, masyarakat termasuk institusi, selain anugerah pencapaian atau kelulusan akademik. Terdapat juga konteks penggunaan kehormat bagi merujuk orang yang jasanya tidak dibayar, contohnya setiausaha kehormat. | Makna | 15.05.2019 |