Assalamualaikum, Saya mahu bertanya, 1) Apakah beza antara presiden, pengerusi dan yang dipertua? 2) Apakah beza antara timbalan dan naib? 3) Apakah beza antara setiausaha, setiausaha agung dan setiausaha kehormat? 4) Apakah beza antara bendahari, bendahari agung dan bendahari kehormat? 5) Apakah beza antara lajnah dan unit? 6) Apakah beza antara ahli jawatankuasa dan majlis eksekutif? | 1) Apakah perbezaaan antara presiden, pengerusi dan yang dipertua? Presiden - Merupakan ketua negara dalam sesebuah negara republik dan gelaran untuk ketua negara republik atau orang yang menjadi ketua sesuatu persatuan, pertubuhan dan lain-lain. dipertua - orang yg dilantik menjadi ketua sesuatu perkumpulan (persatuan dan lain-lain) pengerusi - ketua dalam mesyuarat dan lain-lain. atau pemimpin jawatankuasa, pertubuhan dan lain-lain. 2) Apakah perbezaaan antara timbalan dan naib? timbalan - ialah penolong ketua dan lain-lain naib - ialah pengganti atau wakil 3) Apakah perbezaaan antara setiausaha, setiausaha agung dan setiausaha kehormat? setiausaha - Seseorang yang diambil bekerja untuk mengurus urusan surat-menyurat (menyimpan rekod, membuat kerja-kerja perkeranian, dan sebagainya). Melaksanakan kerja untuk orang perseorangan atau untuk sesebuah pertubuhan. setiausaha kehormat - setiausaha yang menjalankan tugas atau yang berkhidmat secara sukarela yang tidak diberi gaji atau upah. 4) Apakah perbezaaan antara bendahari, bendahari agung dan bendahari kehormat? bendahari - pegawai yang menguruskan harta benda kerajaan atau menguruskan wang persatuan dan lain-lain. bendahari kehormat - pegawai persatuan yang bertugas tanpa dibayar 5) Apakah perbezaaan antara lajnah dan unit? lajnah - sebuah badan yang menjalankan (mengurus, mengelola) kerja sesuatu pertubuhan dan lain-lain, jawatankuasa kerja. unit - bahagian terkecil daripada sesuatu yang dapat berdiri sendiri. 6) Apakah perbezaaan antara ahli jawatankuasa dan majlis eksekutif? ahli jawatankuasa - orang yang dipilih untuk menjalankan pentadbiran sesuatu urusan (persatuan, kesatuan dan sebagainya) majlis eksekutif - sebuah Badan tetap UPU yang ditugaskan oleh kongres untuk menentukan kesinambungan tugas-tugas pentadbiran, mengawasi kegiatan kerjasama teknikal, perundangan, juriselidik dan sebagainya. Untuk maklumat lebih lanjut, pihak tuan boleh merujuk Bahagian Protokol dan Adat Istiadat di Jabatan Perdana Menteri. Terima kasih. | Lain-lain | 27.12.2019 |
Beza tepok dan tepuk serta penggunaannya dalam ayat | Perbezaan kata tepok dan tepuk ialah maknanya. Sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) atau Pusat Rujukan Persuratan Melayu https://prpm.dbp.gov.my/ untuk memperoleh makna dan contoh penggunaan kata ini. Misalnya bagi kata tepuk (ada homonim) dalam KDP: tepuk1 kata nama 1. perbuatan menamparkan kedua-dua tapak tangan supaya berbunyi: Contoh: Maka dilangsungkanlah adat perkahwinan itu di tengah khalayak yang ramai dengan tepuk dan tempik sorak serta nyanyi-nyanyian. 2. bunyi yang terjadi kerana menamparkan kedua-dua tapak tangan: Contoh: a) Suara itu diiringi pula oleh ketawa dan tepuk budak-budak yang ramai di situ. b) Memecahlah di tengah-tengah kesunyian itu tepuk orang amat riuhnya. 3. tamparan yang tidak kuat dengan tapak tangan: Contoh: Amalan tepuk bantal sambil berniat untuk bangun awal pagi menjadi rutin neneknya. 4. tangkisan untuk menghindarkan serangan yang cuba mencederakan pesilat dalam seni pencak silat. kata kerja transitif 5. lihat menepuk. | Makna | 12.01.2025 |
Beza teladan dengan tauladan | Kata teladan ialah ejaan baku bagi tauladan. Sila layari PRPM https://prpm.dbp.gov.my/ atau Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) untuk memperoleh maklumat tentang kata tersebut dalam bahasa Melayu. | Ejaan | 09.09.2024 |
beza penggunaan ialah dan adalah | Kata pemeri "ialah" perkataan yang digunakan untuk memerihalkan bahagian subjek dan predikat sesuatu ayat. Terdapat dua kata pemeri, iaitu kata "ialah" dan "adalah". Kata pemeri "ialah" digunakan dalam ayat yang berpola frasa nama + frasa nama. Oleh itu, kata pemeri "ialah" digunakan sebelum kata nama atau frasa nama. Contoh dalam ayat: i) Mata pelajaran yang paling saya minati ialah Matematik (FN+FN), ii) Kegiatan kokurikulum ialah kegiatan yang dijalankan di luar bilik darjah(FN+FN). Kata pemeri "adalah" digunakan dalam ayat yang berpola frasa nama + frasa adjektif dan frasa nama + frasa sendi nama. Kata pemeri "adalah" tidak boleh diikuti oleh frasa kerja dan frasa nama. Contoh dalam ayat: i) Perlawanan pada malam ini adalah sangat penting (FN+FA), ii) Teh herba yang sedang diminum oleh ibu adalah baik untuk kesihatan (FN+FA). Untuk penjelasan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, hlm. 263 - 264. | Tatabahasa | 06.11.2023 |
Beza antara hari minggu, hujung minggu dan hari mingguan | "Hari minggu" merujuk pada hari Ahad. Manakala, "hujung minggu" lazimnya merujuk pada hari Sabtu dan Ahad. Untuk makluman, perkataan "hari mingguan" tiada dalam bahasa Melayu. | Makna | 10.10.2023 |
Beza perkataan "Oh" dan "Eh" Tolong jawab Terima kasih | “Eh” ialah kata seru untuk menyatakan kehairanan (terkejut, terperanjat, dan lain-lain): Contoh ayat, 1. “Eh, dulu di sinilah dia tinggal!” 2. “Eh, Ali rupanya yang datang”. “Oh” pula ialah kata seru untuk menyatakan terkejut (hairan, kecewa, menjadi yakin, dan lain-lain): Contoh ayat, 1. “Oh, baru ini aku tahu!” 2. “Oh, Tuhanku, selamatkanlah mereka!” Berdasarkan keterangan tersebut, kedua-duanya kata seru ini boleh digunakan kerana membawa maksud yang hampir sama. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga muka surat 255. | Tatabahasa | 22.03.2022 |
Beza penggunaan perkataan Perasmian dengan Pelancaran bagi tajuk program/acara | Perbezaan antara perkataan “pelancaran” dan “perasmian” ialah “pelancaran” berkaitan perihal atau perbuatan melancarkan iaitu memulakan sesuatu gerakan, rancangan dan sebagainya, manakala “perasmian” biasanya merujuk sesuatu majlis dibuka dengan rasmi atau pada majlis penutupan di mana pengakhiran sesuatu majlis. | Tatabahasa | 12.03.2022 |
Beza Jam dan Pukul? ada yang menyatakan Jam untuk sistem 24 jam (Jam 0600 / 1800) manakala pukul utk sistem 12 jam ( pukul 6 petang / pagi). adakah benar kenyataan ini? boleh beri pencerahan dan rujukan? terima kasih. | Penggunaan yang betul untuk merujuk waktu ialah “pukul” yang membawa maksud bahagian daripada sesuatu hari seperti yang ditunjukkan oleh jam atau waktu tertentu dalam sesuatu hari. Contoh penggunaan dalam ayat, Kami sampai di rumah pada pukul 6.00 petang. Untuk rujukan sila layari laman web DBP, iaitu https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=pukul | Makna | 15.08.2020 |
Beza istilah "penarafan" dan "pentarafan". Penggunaan istilah yang betul: "Kem Pentarafan Pengakap Raja" atau "Kem Penarafan Pengakap Raja" Penggunaan istilah yang betul: "Pentaraf Pengakap Raja" atau "Penaraf Pengakap Raja" | Menurut data kami, istilah yang betul ialah penarafan iaitu perihal atau perbuatan menarafkan: ~ dibuat berdasarkan kriteria tertentu. Oleh itu, frasa yang sesuai ialah Kem Penarafan Pengakap Raja. | Lain-lain | 23.03.2017 |
beza kegunaan di dalam dan dalam | Penggunaan kata "di dalam" dan "dalam" ialah seperti yang berikut: Di dalam digunakan untuk menunjukkan tempat yang boleh dilihat secara fizikal ruang dalamnya, seperti di dalam kereta, di dalam rumah dan di dalam dewan. Dalam pula menunjukkan kedudukan sesuatu yang abstrak sifatnya, seperti dalam fikiran, dalam bidang sains dan dalam kehidupan. | Tatabahasa | 09.11.2016 |