bolehkah imbuhan se- digunakan untuk kata dasar jiran. Jadi kata terbitannya ialah sejiran. | Imbuhan se- boleh digunakan untuk kata dasar jiran yang menghasilkan kata terbitan sejiran. Contoh ayat: Skuad bola sepak negeri Kelantan dan Pahang menentang skuad sejiran, iaitu Terengganu, selang sehari. Untuk makluman lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana, (DBP, 2021), halaman 907. | Istilah | 28.04.2025 |
Bolehkah kita menyimpulkan bahawa “ialah” juga boleh diikuti “kata kerja”? | Penggunaan kata pemeri “ialah” hadir di hadapan frasa nama. Kata pemeri “ialah” tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan (DBP, 2015), halaman 263 - 264
| Lain-lain | 23.02.2025 |
Bolehkah frasa "current best practice" dalam bahasa inggeris diterjemah kepada "amalan terbaik semasa" dalam bahasa melayu? | Frasa "current best practice" boleh diterjemahkan kepada "amalan terbaik semasa". Walau bagaimanapun, terjemahan tersebut hendaklah sesuai dengan konteks penggunaan dalam ayat atau bidang yang dimaksudkan. Untuk pertanyaan yang akan datang, sila berikan huraian lengkap bagi memudahkan kami memberikan jawapan yang tepat dan bersesuaian. | Makna | 20.01.2025 |
Bolehkah diperkenalkan istilah "negarawati" untuk merujuk kepada negarawan wanita. Jabatan Pembangunan Wanita berhasrat untuk memperkenalkan Akademi Negarawati sebagai pusat latihan kepimpinan kecemerlangan wanita daripada pelbagai sektor termasuk politik. Objektif akademi ini adalah melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis wanita yang berjiwa negarawan | Frasa “Akademi Negarawati” tidak sesuai digunakan kerana kata “negarawati” merupakan suatu anugerah yang diberikan oleh negara kepada 1. seseorang orang yang mahir benar dengan cara-cara pemerintahan negara, orang yang memegang atau pernah memegang tampuk pemerintahan sesebuah negara, ahli negara; 2. pemimpin politik yang sangat dihormati kerana sifat-sifatnya (seperti kebijaksanaannya, kejujurannya, dan lain-lain) yang unggul. Sehubungan dengan itu, pihak kami mencadangkan pusat latihan tersebut dinamakan sebagai Akademi Pembangunan Wanita. | Lain-lain | 06.12.2024 |
Bolehkah nama pokok asing diterjemahkan terus? Mis beggarweed - rumpai kemis. | Untuk makluman tuan/puan, penamaan spesies rumpai belum dibincangkan dalam mana-mana Jawatankuasa Istilah DBP. Walau bagaimanapun, mohon jasa baik tuan/puan mengemukakan huraian lengkap yang menerangkan konsep bagi istilah berkenaan agar dapat memudahkan pihak kami memberikan cadangan padanan bahasa Melayu yang bersesuaian. | Lain-lain | 23.11.2024 |
Bolehkah "Changing Mat" diterjemahkan kepada "Pelapik tukar lampin" atau "Alas tukar lampin"? Terima kasih. | Cadangan padanan bagi istilah changing mat dalam bahasa Melayu ialah tikar tukar atau tikar salin. Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaan dalam sesuatu bidang tertentu. | Istilah | 15.10.2024 |
Bolehkah kita gunakan perkataan Dewan dan Auditorium dalam 1 perkataan. | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021) halaman 153 dan 522, “auditorium” bermaksud bangunan atau ruang besar dalam bangunan, biasanya mempunyai tempat duduk bagi penonton menyaksikan persembahan, peserta menyertai perhimpunan dan sebagainya. “Dewan” pula bermaksud bangunan atau ruang yang khusus tempat diadakan sesuatu aktiviti atau majlis seperti persidangan, ceramah atau pameran. Sila kemukakan soalan yang lebih jelas bagi memudahkan kami memberikan jawapan yang lebih tepat. | Tatabahasa | 30.10.2024 |
Bolehkah Etruscan diserap menjadi Etruska mengikut Pedoman Ejaan? Atau Etruskan? | Padanan bagi istilah Etruscan dalam bahasa Melayu kekal Etruscan kerana istilah ini merupakan kata nama khas. | Istilah | 10.10.2024 |
Bolehkah ayat dimulakan dengan perkataan terutamanya? | Merujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021) halaman 2490, perkataan “terutama” merupakan kata adjektif terbitan yang bermaksud paling utama; mula-mula sekali; lebih baik; lebih-lebih lagi. Dalam penulisan, perkataan “terutama” digunakan sebagai penanda wacana, iaitu unsur yang menghubungkan atau mengaitkan pelbagai entiti dalam sesuatu wacana. Perkataan “terutama” atau “terutamanya” digunakan untuk menjelaskan atau menekankan tentang suatu hal atau aspek yang memiliki tingkat penting atau keutamaan yang lebih tinggi daripada yang lain dalam suatu konteks tertentu pada ayat. Oleh yang demikian, perkataan “terutamanya” digunakan pada bahagian tengah ayat dan tidak digunakan pada awal ayat. Contoh ayat: - Coklat merupakan manisan yang disukai ramai terutama kanak-kanak.
- Persembahan tablo biasanya dijadikan selingan terutamanya pada setiap akhir adegan dalam sesebuah drama.
Untuk maklumat lanjut berkenaan contoh penggunaan perkataan “terutama” atau “terutamanya”, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021) atau laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP melalui https://prpm.dbp.gov.my. | Tatabahasa | 03.10.2024 |
Bolehkah "daku" digunakan selepas perkataan yang hujungnya bukan berhuruf n? Seperti contoh dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, "tiba-tiba sedar daku drpd tidurku", adakah betul penggunaannya? | “Daku” merupakan kata ganti nama diri pertama yang digunakan apabila bercakap dengan Tuhan atau seseorang yang sangat rapat, biasanya digunakan sesudah kata yang diakhiri huruf konsonan “n”. “Daku” ialah akronim bagi “diri aku”. Walau bagaimanapun, ayat “Tiba-tiba tersedar daku daripada tidurku.” betul dan boleh digunakan berdasarkan laras bahasa Sastera. Sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 496. | Lain-lain | 04.09.2024 |