Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[da.ri.pa.da] | درڤد

Definisi : 1. sendi kata yg menyatakan atau menunjukkan orang yg memberi (mengirim dsb): dia menerima sepucuk surat ~ ayahnya; hadiah ~ seorang sahabat yg karib; 2. sendi kata yg menyatakan (menunjukkan) sumber atau punca sesuatu itu diperoleh dsb: petikan ~ karya Usman Awang; air ~ telaga itu berkuman; diterjemahkan ~ bahasa Arab; 3. sendi nama yg menyatakan (menunjukkan) bahan dsb yg digunakan utk menghasilkan sesuatu: jambangan bunga itu diperbuat ~ tembikar; barang-barang ~ getah; 4. sendi kata yg menyatakan atau menunjukkan orang (negara, unsur, barang, dll) yg terlibat dlm sesuatu pengasingan (pemisahan, per­bezaan, perbandingan, dll): Selat Melaka memisahkan Semenanjung Malaysia ~ Sumatera; reka bentuk yg dikemukakan ter­ke­mudian ini lebih menarik ~ yg di­sedia­kan dahulu; 5. sendi kata yg digunakan se­waktu menyatakan sesuatu perubahan (per­kembangan dsb): harga daging telah naik ~ RM8.00 sekilo menjadi RM9.50 sekilo; bilangan pelajar yg lulus merosot ~ 68% tahun lalu menjadi 66% tahun ini; 6. sendi kata yg digunakan sebelum menyatakan atau menyebutkan unsur (akibat dll) yg hendak dielakkan (dicegah, dihindar, dsb): memper­tahankan diri ~ serangan musuh; men­jauhkan diri ~ bahaya; langkah-langkah utk mengelakkan hal-hal demikian ~ berlaku lagi; 7. sendi kata yg menyatakan (me­nunjukkan) punca atau asas dsb sesuatu tindakan (kesimpulan dll): ~ apa yg saya dengar, pemandu lori itu yg patut diper­salahkan; masjid itu dibina ~ desakan pen­duduk di kawasan itu; 8. sendi kata yg memperkaitkan atau memperhubungkan se­suatu atau sesuatu bahagian dgn sesuatu keseluruhan atau jumlah dsb: satu ~ sebab-sebab; hanya tiga orang ~ sejumlah 40 orang pelajar telah gagal dlm peperiksaan itu; sepertiga ~ keuntungan yg diperoleh dijadikan modal. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[da.ri.pa.da] | درڤد

Definisi : 1 kata sendi nama utk menerangkan asal (sumber, bahan dll) sesuatu benda: Kain ini dibuat ~ benang sutera. 2 kata sendi nama utk menyatakan perbandingan (perbezaan) antara dua benda atau lebih: Bunga ini lebih wangi ~ bunga itu. Bezakan haiwan jenis mamalia ~ haiwan jenis reptilia. 3 kata sendi nama yg menyatakan maksud mencegah (melindungi, memisahkan dll): Dia menjauhkan diri ~ bahaya. Dia mencuba melarikan diri ~ rusuhan itu. 4 kata sendi nama yg menunjukkan orang yg memberi (mengirim): Yati menerima sepucuk surat ~ ayahnya. 5 kata sendi nama yg menunjukkan perubahan: Peratus kelulusan meningkat ~ 70% menjadi 85%. 6 kata sendi nama yg menghubungkan sebahagian dgn keseluruhan: Dua orang ~ anaknya belajar di luar negeri. Faedahnya ialah separuh ~ keuntungan yg diperoleh. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata daripada

Puisi
 

Berjumpa gajah dua serupa,
     Gajah kecil mati terkepung;
Banyaknya lebih daripada adinda,
     Keningnya lentik bagai berladung.


Lihat selanjutnya...(3)
Peribahasa

Besar senggulung daripada beban.

Bermaksud :

Belanja lebih besar daripada pendapatan. (Peribahasa lain yang sama makna: Besar pasak daripada tiang, besar sendal daripada gelegar).

 

Lihat selanjutnya...(204)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Penggunaan kata sendi dari,daripada. 1) bangun dari / daripada tidur? Jika dari/ daripada, apakah alasannya. 2) mengambil wang dari / daripada mesin ATM?Bangun daripada tidur dan daripada mesin ATM. Kata sendi nama dari digunakan untuk tempat dan masa, manakala kata sendi nama daripada digunakan untuk menunjukkan sumber, perbandingan dan sebagainya. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga halaman 265.Tatabahasa30.07.2012
Adakah susunan ungkapan "sebahagian daripada" sama dengan susunan "selain daripada"? Jikalau benar, "daripada" dalam ungkapan itu mesti digugurkan? Terima kasih.Kedua-dua ungkapan mempunyai susunan yang sama tetapi berbeza makna. Jika yang dimaksudkan ialah sebahagian daripada atau segolongan daripada, kata daripada tidak dapat digugurkan. Hal ini berbeza dengan ungkapan selain daripada kerana dapat digantikan dengan frasa selain itu.Tatabahasa15.08.2011
1. dibuat daripada 2. diperbuat daripada adakah kedua-duanya juga betul? terima kasih.Kedua-dua frasa "dibuat daripada" dan "diperbuat daripada" betul. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan dan lihat entri buat, kata terbitan membuat sama maksudnya dengan memperbuat (bentuk pasifnya dibuat dan diperbuat).Tatabahasa12.08.2013
Kami selalu keliru penggunaan dari/daripada kerana ia boleh jadi tempat dan sumber. Contohnya: 1) keluar dari kereta / daripada kereta? 2)tersembur dari/daripada mulutnya.

Ayat yang betul ialah 'keluar daripada kereta' dan 'tersembur daripada mulutnya'. Untuk makluman, kata sendi nama 'daripada' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia atau institusi, haiwan, benda, dan unsur mujarad. Sendi nama 'daripada' juga digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan sumber atau asal kejadian sesuatu benda.

Tatabahasa20.10.2011
Selamat sejahtera. saya ingin tahu mana di antara ini betul: 1.anyaman daripada daun kelapa sangat cantik. 2.barangan daripada daun kelapa adakah 2 patut ditulis sebagai 'barangan diperbuat daripada'? kata nama am di depan "daripada" sepatutnya kata nama am hasil perbuatan (anyam)? terima kasih.Ungkapan seperti ... anyaman diperbuat daripada ... banyak digunakan dalam kalangan masyarakat. Lihat buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga, halaman 182: Awalan diper-... boleh bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata nama; awalan diper-... boleh bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata adjektif; dan awalan diper-... apabila bergabung dengan kata dasar daripada kata tugas untuk membentuk kata kerja, membawa makna terdapat sesuatu. Oleh itu, ayat yang gramatis ialah anyaman daripada daun kelapa sangat cantik.Tatabahasa09.02.2012
Ayat yang betul ialah Puan Lee pandai menganyam tikar daripada buluh. bolehkah terangkan penggunaan daripada..... kalau ayat "tikar diperbuat daripada buluh" memang betul, kenapa kita tidak boleh gunakan " Puan Lee pandai menganyam tikar dengan buluh". boleh terangkan penggunaan dengan dan daripada. sekian terima kasih.

Kata sendi nama "daripada" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda dan unsur perbezaan atau perbandingan. Contoh:

i. Pemain sarkas itu menerima bola daripada beruangnya
ii. Ukiran itu diperbuat daripada kayu
iii. Edisi kedua buku itu lebih lengkap daripada edisi pertama.


Kata sendi nama "dengan" hadir di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud seperti yang berikut: 
i. membawa maksud bersama-sama atau berserta (Ayah pergi ke pekan dengan ibu.)  
ii. membawa maksud cara sesuatu dilakukan (Dia menyambut tetamu itu dengan senyum simpul.) 
iii. membawa maksud memakai atau menggunakan (Ani melukis potret itu dengan cat air.)
iv. menyatakan keadaan perbandingan yang serupa atau sama (Orang itu sentiasa sependapat dengan ketuanya.)

Tatabahasa04.09.2013
Minta kepastian daripada DBP. Yang mana betul ? selain itu / selain daripada itu; salah satu / salah satu daripada; melentur bulur biar dari rebung / melentur buluh daripada rebung; semua data murid perlu dimasukkan. . ./ data murid perlu dimasukkan. . Terima kasih.Frasa yang betul ialah selain itu, salah satu daripada,  peribahasa yang terakam dalam buku Kamus Istimewa Peribahasa Melayu ialah "Melentur biarlah waktu rebung",  ...semua data murid perlu dimasukkan.Tatabahasa12.08.2013
Sebilangan daripada peserta Program Latihan Khidmat Negara melahirkan rasa gembira setelah selesai menjalani latihan. Munsyi, saya kekeliruan mengapakah jawaban yang diberikan daripada adalah salah? TK munsyi sesetengah peserta atau sesetengah daripada peserta? Munsyi, bilakah daripada digunakan bersama dengan kata bilangan? TKDalam Kamus Dewan Edisi Keempat, sebilangan bermaksud sejumlah atau sebanyak. Oleh itu, perkataan yang sesuai selepas sebilangan ialah kecil atau besar (Sebilangan kecil atau sebilangan besar). Ayat yang betul ialah Sebilangan besar (atau Sebilangan kecil) peserta Program Latihan Khidmat Negara melahirkan rasa gembira setelah selesai menjalani latihan atau Sebilangan peserta Program Khidmat Latihan Negara melahirkan rasa gembira setelah selesai menjalani latihan. Frasa yang betul ialah sesetengah peserta atau setengah-setengah peserta. Sesetengah atau setengah-setengah bermaksud beberapa (orang dan lain-lain),  Setengah bermaksud separuh  atau seperdua.Tatabahasa09.04.2012
1) "daripada" sumber haram/"dari"sumber haram? 2) "daripada" / "dari" sumber yang boleh dipercayai? 3) "daripada" / "dari" sumber hasil jenayah? Yang mana satu betul? Mohon penjelasan.Penggunaan yang betul dalam konteks yang tersebut ialah "daripada". Kata sendi nama "dari" hadir di hadapan tarikh, masa dan arah seperti dari 15 hingga 21 dan dan dari Kuantan ke Kuala Lumpur.Tatabahasa07.06.2013
1) Selepas itu, mereka bertiga diiring keluar dari/daripada kawasan sekolah. 2) Dia turun dari/daripada motor dan mendapatkan kawannya. 3) "Apa kamu buat pada/kepada dia?" 4) Namun, Adrul terlebih dahulu keluar dari/daripada pejabat. 5) "Saya dari/daripada sekolah khas." 6) Adrul segera keluar dari/daripada bilik air.

Berikut ialah jawapan bagi soalan saudara:

1) Selepas itu, mereka bertiga diiring keluar dari kawasan sekolah.

2) Dia turun dari motor dan mendapatkan kawannya.

3) "Apa kamu buat pada dia?"

4) Namun, Adrul terlebih dahulu keluar dari pejabat.

5) "Saya dari sekolah khas."

6) Adrul segera keluar dari bilik air.

Kata sendi nama "dari" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, waktu atau masa.

Tatabahasa14.11.2011
12345678910...

Kembali ke atas