1)di mana-mana 2)ke mana-mana | 1)di mana-mana 2)ke mana-mana | Ejaan | 19.04.2011 |
"...akhirnya sampai masanya di mana ketokohan beliau..." berkenaan penggunaan perkataan 'di mana' di atas, perkataan 'di' dan 'mana' harus dijarakkan atau dirapatkan? | Ejaan yang betul ialah di mana dan digunakan dalam ayat tanya seperti Di manakah kamu tinggal? Perlu diingat perkataan "di mana" tidak ada dalam ayat penyata. Dalam ayat di atas, "di mana" boleh digugurkan yang tidak akan mengganggu maksud ayat tersebut. | Tatabahasa | 03.10.2012 |
Adakah perkataan "di mana" boleh digunakan selain untuk pertanyaan. Bagaimana pula dengan kenyataan "Di mana ada kemahuan di situ ada jalan." | Perkataan "Di mana" hanya digunakan sebagai kata tanya. Bagi frasa "Di mana ada kemahuan di situ ada jalan", penggunaan "di mana" digunakan kerana frasa tersebut merupakan peribahasa dan ungkapan Melayu yang telah lama, mantap dan lazim digunakan. | Tatabahasa | 29.08.2013 |
Adakah penggunaan ayat & perkataan di bawah betul? Pejabatku di mana-mana sahaja. Rujuk kepada iklan yang dilampirkan. | Frasa "Pejabatku di mana-mana sahaja" betul penggunaan tatabahasa. Untuk pengesahan iklan, sila ke ruangan Khidmat Pengesahan Bahasa. | Tatabahasa | 09.05.2013 |
Bolehkah 'di mana' digunakan untuk makna berikut? kemarau - musim kering di mana hujan tidak turun untuk masa yang lama. Harap tuan/puan boleh memberi jawapan hari ini. Sekian, terima kasih. | Di mana digunakan dalam ayat tanya. Dalam ayat tersebut gantikan perkataan di mana dengan kata sendi nama dan, kemarau - musim kering dan hujan tidak turun untuk masa yang lama. | Tatabahasa | 31.12.2011 |
Assalamualaikum tuan. Saya ingin bertanya tentang penggunaan perkataan 'di mana', 'yang mana' dan 'diperolehi' dalam penulisan ayat Bahasa Malaysia. Adakah boleh digunakan perkataan tersebut? Contoh ayat "...kemahiran dan kecekapan di mana kelayakan yang diperolehi pada lazimnya..." Terima kasih. | Kata 'di mana' hanya sesuai digunakan sebagai kata tanya, contoh : Di mana awak tinggal?. Ejaan yang betul ialah diperoleh. Merujuk kepada contoh ayat yang diberikan : ... kemahiran dan kecekapan di mana kelayakan yang diperolehi pada lazimnya ... adalah salah. Cadangan kami ialah ... kemahiran dan kecekapan yang diperoleh pada lazimnya ... . | Tatabahasa | 16.06.2009 |
Soalan: Apakah perbezaan perkataan 'yang mana' dan 'di mana'. Apakah konteks ayat yang sesuai. | Frasa 'yang mana' dan 'di mana' sebagai kata hubung tidak digunakan. Frasa di mana digunakan dalam ayat tanya, seperti 'Di mana dia belajar?. | Tatabahasa | 16.12.2010 |
Soalan: Baiki kesalahan struktur ayat berikut supaya menjadi ayat yang betul. Ayat: Kamu di mana membeli baju batik itu? Jawapan mana yang lebih sesuai? 1)Di mana kamu membeli baju batik itu? 2)Kamu membeli baju batik itu di mana? | Yang betul ialah Di mana kamu membeli baju batik itu? | Tatabahasa | 08.05.2008 |
Adakah penggunaan 'di mana' dalam ayat berikut betul? Jika tidak, tolong beri sebab. Pasar ialah tempat di mana ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan dijual. Harap tuan/puan boleh menjawab hari ini. Sekian, terima kasih. | Penggunaan "di mana" dalam ayat tersebut dianggap lewah kerana telah ada perkataan tempat. Ayat yang lebih gramatis ialah: Pasar ialah tempat ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan dijual. | Tatabahasa | 30.12.2011 |
Salam sejahtera, bolehkah kata tanya "di mana" digunakan dalam ayat pernyata? Jika tidak boleh, apakah frasa atau kata yang boleh menggantikannya? Sekian terima kasih. | 'Di mana' hanya sesuai digunakan sebagai kata tanya. Penggunaan 'di mana' sebagai kata hubung bergantung pada fungsinya dalam ayat penyata tersebut dan boleh digantikan sama ada dengan kata sendi, kata tugas atau kata bantu yang lain. | Tatabahasa | 04.04.2011 |