manakah parkataan yang sesuai diguna antara diolah dan diulas?dan apakah perbezaan makna perkataan tersebut? | Kedua-duanya betul dan boleh digunakan bergantung kepada konteks ayat kerana membawa maksud yang berbeza. Olah ialah 1. cara (berbuat sesuatu), akal (daya upaya, tipu daya), laku, tingkah: bagaimana ~nya hendak menjadi kaya cepat? 2. perbuatan, buatan, kerja: ini sudah tentu ~ anak saya; bukan ~ bukan buatan, bukan main; 3. perbuatan yg aneh-aneh, canda, tingkah: orang tua yg banyak ~nya; Ulas pula ialah juru~ orang yg menghuraikan (mengupas) sesuatu, jurutafsir; | Lain-lain | 14.08.2010 |
Saya ingin bertanya, apakah terjemahan yang lebih baik bagi frasa "signal processing", merujuk kepada data komputer yang diproses/diolah dengan program pengaturcaraan? Pemprosesan isyarat atau pengolahan isyarat? | Istilah yang digunakan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maklumat untuk signal processing ialah pemprosesan isyarat. | Istilah | 29.08.2018 |
Saya ingin menerbitkan hasil penulisan thesis yang mana bahan tersebut belum pernah diterbitkan, namun saya tidak tahu bagaimana caranya. | Bahan tesis yang hendak diterbitkan perlu diolah semula sebelum boleh diterbitkan. Dewan Bahasa dan Pustaka ada menyediakan Garis Panduan Daripada Tesis Kepada Buku. Sila dapatkan garis panduan ini untuk membantu puan mengolah semula bahan tesis, sebelum dikemukakan kepada Jabatan Penerbitan, DBP. | Lain-lain | 06.01.2010 |
Assalamualaikum dan selamat pagi. Saya ada beberapa soalan berkenaan dengan pantun. 1) Apakah kriteria yang dinilai dalam pertandingan pantun kebangsaan? 2) Sekiranya tema yang diberikan ialah adat dan budaya masyarakat, sejauh manakah tema itu harus diolah/dikupas? adakah ianya secara umum atau seharusnya spesifik kepada aspek-aspek tertentu, misalnya adat perkahwinan, budaya membaca dan sebagainya? | Untuk makluman saudara, mereka yang menyertai pertandingan pantun sama ada peringkat kebangsaan atau IPTA, pantun yang dijual/beli akan dinilai berdasarkan isi, bahasa dan persembahan. Dari segi isi, penekanan kepada: 1. Ketepatan soalan/jawapan: jelas dan sesuai dengan tema 2. Pantun yang dijual mempunyai soalan 3. Jualan/belian pantun yang terkeluar daripada tema yang ditetapkan atau pantun yang berupa pelarian tidak mendapat markah. Dari segi bahasa pula, seorang pemantun hendaklah bijaksana memilih , 1. Pola rima dan suku kata 2. Terdapat kesinambungan/hubungan antara baris 1 dan 2( Keindahan unsur alam, kerenah manusia dan unsur sejarah) 3. Kemunasabahan pembayang maksud 3. Pemilihan kata( Keindahan alam, kerenah manusia dan unsur sejarah) 4. Sebutan yang jelas Dari segi persembahan pula, penyampaian seorang pemantun akan dinilai melalui, 1. Gaya persembahan seimbang dengan pantun 2. Intonansi( nada pemisah antara pembayang dan maksud) 3. Jeda( nada/hentian sebentar pada dua patah perkataan awal setiap baris) 4. Kelancaran( tanpa kegagapan dan pengulangan) Untuk makluman saudara juga , setiap rangkap pantun yang dijual atau dibeli hendaklah menepati tema yang telah ditetapkan dan kalau boleh biarlah spesifik. | Lain-lain | 18.11.2010 |
saya memang minat untuk menulis,boleh tak beri saya beberapa tip untuk menulis dengan betul.. anak noor | Untuk menghasilkan karya yang baik berikut disenarai beberapa tip khususnya dalam penulisan kreatif, iaitu puisi, cerpen, novel dan drama: 1. Karya mengandungi pemikiran dan perasaan 2. Karya diolah dengan keindahan bahasa yang baik 3. Karya mempunyai nilai-nilai murni 4 Karya mampu merangsang pemikiran pembaca Untuk makluman, puan boleh merujuk beberapa buah buku panduan penulisan yang telah diterbitkan oleh DBP. Sekian, terima kasih | Lain-lain | 02.07.2009 |
Assalamualaikum. Saya nak bertanya. Adakah wujud perkataan "sesat barat"? Jika ada, adakah ianya satu bentu penggandaan berentak? | Untuk makluman saudara, sesat barat bukan kata ganda berentak. Dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020: 2083) sesat barat diolah sebagai frasa di bawah entri sesat dan takrifannya adalah seperti yang berikut: sesat barat a sesat dan bertambah sesat lagi sehingga tidak tahu akan jalan keluar: Dgn bersusah payah, Nek Munah meredah semak samun, duri dan onak hingga sesat barat entah ke mana. b salah sama sekali pegangan, kepercayaan dsb yg diikuti; c kelam-kabut dan tidak dapat menyelesaikan sst masalah; Saudara juga boleh mendapatkan penerangan berkaitan kata ganda berentak dengan merujuk Tatabahasa Dewan Edis Ketiga (DBP, 2008: 78 - 79). | Lain-lain | 03.07.2021 |
Soalan lain beritan dengan karangan Bagaimanakah menulis karangan yang lebih menarik? Bolehkah saya tahu akan beberapa tip menulis karangan yang menarik? | Untuk menghasilkan karangan yang lebih menarik, puan disarankan supaya membaca lebih banyak bahan bacaan ilmiah dan kerap membuat latihan menulis karangan. Dalam karangan bahasa Melayu, terdapat beberapa aspek utama, iaitu pendahuluan, isi dan penutup. Karangan yang menarik lazimnya terletak pada kekuatan wacana yang dikupas dan diolah, disokong dengan pembentukan ayat yang kreatif dan berkesan melalui kosa kata yang tepat, serta mempunyai pengetahuan tentang frasa-frasa menarik seperti peribahasa dan kata-kata hikmah. Puan juga boleh merujuk buku berkaitan penulisan karangan seperti buku Petua Pintar Karangan Cemerlang, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2017; buku Siri Pendidikan Bahasa: Cara Terbaik Menulis Karangan SPM, Abdul Ghalib Yunus, ALex Leong Jun Wei, Wong Hooi Mun, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2019; Seni mengarang (penulisan karangan KBSM, popular, ilmiah: Panduan untuk pelajar, guru, mahasiswa, wartawan, editor, pekerja) Sulaiman Masri Karisma, Publications 2004; buku Perlakuan dan proses menulis karangan bahasa Melayu, Marohaini Yusoff, Penerbit Universiti Malaya 2004.
| Lain-lain | 14.01.2021 |
Takrif 'fulamak' dan kenapa ia hanya tersenarai dalam Kamus Inggeris Melayu Dewan dan tiada dalam Kamus Dewan Edisi Ke-4? | Merujuk soalan yang tuan kemukakan berkenaan dengan perkataan ‘fulamak’ dalam Kamua Inggeris Melayu Dewan, perkataan tersebut merupakan padanan untuk kata “buggered” dan diambil sebagai tujuan terjemahan. Dalam kamus baharu yang sedang di peringkat akhir penyemakan pruf, pihak kami ada memasukkan perkataan tersebut sebagai entri dan diolah seperti yang berikut: fulamak فولامق [fu×lA×mA/] slgsrkata utk menyatakan rasa kagum atau seronok:Fulamak! Senyuman manjanya membuat hatiku bergelora. |
| Makna | 20.09.2018 |
Salam sejahtera, saya ada 2 soalan tentang kata pemeri. Harap pihak Tuan dapat membantu. Adakah kedua-dua ayat ini gramatis? Ayat 1: Dua perkara yang dilakukan Cikgu Hassan adalah mengajar Matematik dan melatih pemain bola. Ayat 2: Salah satu cara menyihatkan badan ialah berlari-lari anak. Bagi frasa kerja yang berfungsi sebagai frasa nama, bolehkah ia menerima kata pemeri 'ialah'? Terima kasih. | 1. Ayat pertama tidak gramatis dan perlu diolah semula. Penggunaan kata pemeri tidak sesuai dalam ayat. 2. Ayat yang betul ialah Salah satu cara menyihatkan badan adalah dengan berlari-lari anak. | Tatabahasa | 11.05.2017 |
Saya Huda Samea sedang belajar bahasa melayu dasar di universiti Fatani Thailand, ingin bertanya, apakah langkah dasar dalam bermula tulis karangan bahasa Melayu ? Terima Kasih. | Untuk permulaan menghasilkan karangan yang baik, puan disarankan supaya membaca banyak bahan bacaan ilmiah. Dalam karangan bahasa Melayu, terdapat beberapa aspek utama, iaitu pendahuluan, isi dan penutup. Karangan yang baik lazimnya terletak pada kekuatan wacana yang dikupas dan diolah dengan baik, disokong dengan pembentukan ayat yang berkesan melalui kosa kata yang tepat dan indah. Puan juga boleh merujuk bahan ini : 1. Seni mengarang (penulisan karangan KBSM, popular, ilmiah : Panduan untuk pelajar, guru, mahasiswa, wartawan, editor, pekerja) Sulaiman Masri Karisma Publications 2004 . 2. Perlakuan dan proses menulis karangan bahasa Melayu Marohaini Yusoff Penerbit Universiti Malaya 2004. | Lain-lain | 24.10.2013 |