Ingin tahu perkataan yang betul... Elakkan / Elakan. Contoh ayat. Elakkan / Elakan diri daripada bertembung dengan musuh. Saya sudah mencari di carian kata, tiada maklumat lengkap. | jawapan yang betul ialah elakkan. | Tatabahasa | 13.12.2007 |
Penggunanaan perkataan galakkan dan elakkan adakah betul? Contoh ayat: Elakkan memakan makanan yang telah basi. Galakkan anak makan sayur-syuran. | Penggunaan perkataan tersebut betul kerana elakkan dan galakkan merupakan kata kerja yang menerima akhiran -kan. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 183. | Tatabahasa | 23.12.2010 |
PEMBETULAN AYAT: Apakah ayat yang betul? "Elakkan penggunaan gasket terpakai apabila memasang semula karburetor bagi mengelakkan sebarang kebocoran". | Cadangan ayat yang dikemukakan adalah betul penggunaan tatabahasanya. | Tatabahasa | 09.01.2020 |
Salam, saya agak keliru dari segi kesalahan di permulaan ayat. Perkataan apa yang harus saya elakkan daripada digunakan di awal ayat. Saya kerap kali ragu-ragu untuk menggunakan perkataan NAMUN, DENGAN INI, ANTARANYA, YAKNI di awal ayat. Adakah penggunaan perkataan itu dilarang digunakan di awal ayat? | Kata tersebut boleh digunakan pada permulaan ayat sebagai menyambung wacana sebelumnya untuk menunjukkan perkaitan cerita dengan wacana seterusnya. | Tatabahasa | 18.02.2009 |
Assalamualaikum wbt., Saya ingin bertanya DBP apa terjemahan dlm Bahasa Melayu utk '' Life skills based education for drug abuse prevention". Elakkan penggunaan perkataan Kemahiran hidup untuk "Life skills" kerana subjek Kemahiran Hidup (KH) sudah sedia ada di sekolah. Terima kasih. Dr Muzafar Razali mohdrazalim@vcu.edu | Kami mencadangkan frasa Life skills based education for drug abuse prevention diterjemahkan kepada Pendidikan berasaskan kemahiran hidup untuk pencegahan penyalahgunaan dadah. Kami berpendapat perkataan kemahiran hidup yang sesuai dengan konteks ayat tersebut kerana life tidak sesuai diterjemahkan kepada hayat atau nyawa dan skill sememangnya merujuk kepada kemahiran. | Penyemakan dan penterjemahan | 18.06.2014 |
salam, jika kata sendi nama mesti diikuti frasa nama contohnya : seperti yang berikut~berikut kata kerja, yang berikut menjadi frasa nama.. oleh itu, bagaimana pula peribahasa 'seperti melepaskan batuk di tangga'~melepaskan merupakan frasa kerja? | Dalam mencari contoh binaan ayat yang gramatis carilah dalam buku bahasa tetapi elakkan daripada mengambil contoh peribahasa kerana peribahasa ialah warisan daripada nenek moyang kita dan dikekalkan seperti bentuk asalnya (walaupun tidak gramatis). Frasa "adalah seperti yang berikut", betul. Kata adalah, ialah kata pemeri yang diikuti oleh kata sendi nama seperti dan "yang berikut" ialah frasa keterangan. | Tatabahasa | 07.11.2012 |
Pemuzik jalan yang berpakaian segak dan memakai tali leher sering ditemui jika kita berkunjung ke negara-negara Eropah. Munsyi , apakah kesalahan pada jalan dalam ayat ini? TQ | Ayat tersebut tidak gramatis seperti penggunaan kata terbitan dan kata hubung yang kurang tepat. Oleh itu, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga dan lihat di bawah tajuk berkenaan dan elakkan daripada membina ayat gabungan yang terlalu panjang. | Tatabahasa | 13.02.2012 |
Soalan 1 : Masalah Mengenai Satu Kenyataan Ayat dalam Penggunaan Kata Hubung “Dan” dan “Atau” Saya mengalami kekeliruan dan mendapati bahawa terdapat masalah tatabahasa atau penggunaan kata hubung dalam beberrapa kenyataan ayat yang menggunakan penggunaan kata hubung “dan” dan “atau” digunakan secara serentak. Antara contoh yang telah saya temui dalam beberapa notis umum sebelum ini ialah: 1. Simpan harta benda anda yang berharga dan atau mudah alih di tempat yang berkunci dan atau bawa bersama 2. Elakkan berada/menggunakan laluan yang sunyi dan atau gelap Sekiranya pernyataan di atas salah, boleh saya mengetahui penjelasan kesalahan penggunaan kata hubung di atas dan apakah pembetulan yang sesuai yang wajar digunakan dalam ayat tersebut. Dan boleh terangkan lebih terperinci penggunaan kata hubung “dan” dan “atau” yang sesuai mengikut ayat tertentu. Diharapkan pihak tuan/puan dapat menjawab soalan yang diajukan Soalan 2: Apakah faktor yang menyebabkan kesalahan penggunaan tatabahasa penggunaan kata hubung di atas dan boleh jelaskan secara terperinci. Saya berminat untuk mengetahui masalah tersebut. Sekian terima kasih. | Untuk makluman, kata hubung "atau" ialah kata hubung yang bermaksud serupa (sama) dengan. Contohnya "askar atau tentera", "binatang atau haiwan", dan sebagainya. Maksud kedua "atau" ialah "salah satu antara hal". Manakala kata hubung "dan" ialah kata hubung yang menghubungkan dua perkataan (frasa atau ayat). Ini bermakna, kedua-dua kata hubung tersebut tidak boleh digandingkan serentak kerana fungsinya yang berbeza. | Tatabahasa | 02.10.2016 |
definisi sebenar kemudahan awam dan cara mengatasi gejala merosakkan kemudahan awam | Kemudahan awam bermaksud prasarana yang disediakan oleh pihak kerajaan di tempat awam seperti tandas, telefon, tong sampah, tempat berteduh bagi pejalan kaki dan lain-lain, yang ditempatkan di sepanjang lebuh raya atau jalan raya, padang permainan, dewan serbaguna, pasar, sekolah, dan pejabat kerajaan. Gejala merosakkan kemudahan awam boleh merugikan semua pihak. Rakyat harus menghargai kemudahan awam ini dan menjaganya dengan baik demi kebaikan bersama. Elakkan sikap vandalisme. | Makna | 09.02.2008 |
Anak musang ---- tangan Amran sehingga berdarah. A memamah B memagut C menggerit. 1 E lakkan membaca di tempat yang gelap supaya mata tidak cepat KABUR . 2 Cermin itu kelihatan KABUR kerana sudah lama tidak dibersihkan. 3 Soalan yang KABUR biasanya sukar dijawab oleh murid 4 Cuaca hari ini diramalkan KABUR pada sebelah petang. Pilih ayat yang menggunakan perkataan KABUR dengan betul. | A. Ketiga-tiga pilihan jawapan yang diberikan tidak sesuai. Dicadangkan: Anak musang menggigit tangan Amran sehingga berdarah. B. 1 Elakkan membaca di tempat yang gelap supaya mata tidak cepat KABUR. 2 Cermin itu kelihatan KABUR kerana sudah lama tidak dibersihkan. 3 Soalan yang KABUR biasanya sukar dijawab oleh murid 4 Cuaca hari ini diramalkan KABUR pada sebelah petang. Untuk ayat 1 dan 2, perkataan kabur boleh digunakan. Untuk ayat 3 dan 4, tidak sesuai digunakan. Untuk ayat 3, perkataan kabur perlu ditukarkan kepada tidak jelas. Manakala untuk ayat 4, perkataan yang lebih sesuai bagi menggantikan perkataan kabur ialah mendung.
| Lain-lain | 06.09.2015 |