Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[hu.ruf] | حروف

Definisi : lambang dlm sistem bunyi (bahasa) yg daripadanya sesuatu perkataan dlm tulisan dibentuk, lambang-lambang abjad, aksara; buta ~ tidak tahu membaca dan menulis; mata ~ huruf satu demi satu; tahu mata ~ = celik ~ tahu membaca dan menulis; menurut ~ (bkn terjemahan) kata demi kata, harfiah; ~ awal (pangkal) huruf yg pertama pd sesuatu perkataan; ~ balok Id huruf tegak yg tidak bersambung (spt huruf cetak); ~ benar konsonan; ~ besar huruf besar digunakan utk menulis pd permulaan perkataan (pd per­mulaan ayat, nama orang atau tempat, dll); ~ cap huruf tegak yg tidak bersambung; ~ cetak huruf yg biasa dipakai dlm buku, risalah, dsb yg dicetak; ~ hidup = ~ bunyi = ~ harakah = ~ saksi vokal; ~ Jawi huruf Arab utk menulis kata-kata Melayu; ~ kawi = ~ winggi tulisan Jawa Kuno; ~ kecil huruf yg biasa dipakai (lwn huruf besar); ~ lepas huruf yg tidak disambungkan (dirangkai-rangkaikan); ~ mad Ar huruf-huruf (alif, wau, dan ya) sbg tanda bacaan yg panjang; ~ mati huruf benar; ~ miring huruf cetak yg ditulis miring; ~ ringkas kependekan (spt KL utk Kuala Lumpur); ~ Rumi (Rumawi) huruf spt yg digunakan dlm tulisan Rumi bahasa Melayu (yakni A, B, C, D, dan seterusnya); ~ sambung huruf yg dirangkai-rangkaikan; ~ tebal huruf cetak yg tebal dakwatnya; ~ tulis huruf yg biasa dipakai dlm tulis-menulis; berhuruf memakai huruf, yg ditulis dgn huruf: buku yg ~ Rumi; penghurufan proses, perbuatan, seni, atau cara menulis huruf pd sesuatu. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[hu.ruf] | حروف

Definisi : lambang bertulis yg digunakan utk menyatakan bunyi dlm sesuatu bahasa; lambang dlm abjad. ~ awal huruf yg pertama dlm sesuatu perkataan. ~ benar huruf selain huruf saksi atau vokal; konsonan (l, s, t dll). ~ besar huruf yg berukuran dan berbentuk khusus, biasanya digunakan sbg huruf pertama bagi perkataan dlm ayat atau huruf pertama pd kata nama khas spt nama orang, nama tempat (mis, A, B, D, L). ~ cap huruf yg ditulis tegak dan tidak bersambung. ~ cetak huruf yg digunakan dlm cetak-mencetak. ~ Jawi huruf Arab yg digunakan utk menulis kata-kata dlm bahasa Melayu. ~ kecil huruf yg biasa digunakan, bukan huruf besar (mis, a, b, d, l). ~ miring (condong) huruf yg miring ke kanan bentuknya. ~ ringkas kependekan (spt KL bagi Kuala Lumpur). ~ Rumi (Roman) huruf menurut abjad Latin (spt a, A, b, B). ~ saksi huruf a, e, i, o, u; vokal. ~ tebal huruf yg dicetak tebal. berhuruf menggunakan huruf; ditulis dgn huruf: Berikan perkataan seerti bagi perkataan-perkataan yg ~ condong dlm ayat-ayat di bawah ini. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
huruf (kata nama)
Bersinonim dengan lambang, aksara, vokal, konsonan;,
Kata Terbitan : berhuruf,


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Assalam. Mohon nyatakan bilangan huruf-huruf Arab dan senaraikan huruf-huruf tersebut. Terima kasih.1. Untuk makluman puan, huruf Arab terdiri daripada 28 huruf. Visual huruf-huruf tersebut tidak dapat dipaparkan di sini dan saya telah lampirkan melalui e-mel puan,  raihany@smartreader.edu.my
Lain-lain27.08.2018
Assalamualaikum. Ayat mana yang betul: (i) Senarai huruf dalam abjad Jawi, atau (ii) Senarai huruf-huruf dalam abjad Jawi? Terima kasih.Ayat yang betul ialah "Senarai huruf dalam abjad Jawi".Tatabahasa04.01.2014
Assalamualaikum. Contoh ayat, "Kenapa kamu berperangai seperti monyet?" Gelak Ahmad. Soalannya, huruf selepas tanda petik bagi ayat ini perlu huruf besar atau huruf kecil (G huruf besar atau huruf kecil)? Atas sebab apa diguna huruf besar atau huruf kecil? Sebab ada yang berpendapat, kaedah penulisan seperti contoh diberi sudah betul kerana "Gelak" itu situasi lain, situasi selepas berdialog, bukan balasan daripada dialog. Terima kasih.

Ayat yang betul ialah “Kenapa kamu berperangai seperti monyet?” gelak Ahmad. Huruf kecil digunakan selepas tanda petik dalam satu ayat. Sila rujuk buku Gaya Dewan Edisi Keempat (DBP, 2023), halaman 125.

Tatabahasa25.07.2024
Assalam. Saya ingin membuat carta Jawi bagi murid prasekolah. Mohon pandangan : 1.huruf ة (ta marbutah) dan ى (ye) adalah huruf Jawi atau sebaliknya? Sekiranya saya tidak meletakkan huruf-huruf ini, adakah ianya menjadi kesalahan dalam carta jawi yang saya ingin keluarkan? 2. Nyatakan rujukan kamus terkini bagi Rumi-Sebutan-Jawi? Terima kasih.Untuk makluman puan, huruf ة (ta marbutah) dan ى (ye) adalah termasuk dalam 37 abjad huruf Jawi dan terpakai untuk mengeja perkataan bahasa Melayu terutama serapan daripada bahasa Inggeris contohny (Kolonialisme) کولونياليسمى  dan bahasa Arab contohnya, (Surah)  سورة (Akhirat) اخيرة  
Untuk maklumat lanjutpuan boleh merujuk buku DAFTAR KATA BAHASA MELAYU RUMI-SEBUTAN-JAWI Edisi Kedua terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2016.
Ejaan28.05.2018
Assalamualaikum, 1) Huruf hijaiyah harus dieja dengan 1 y atau 2 y? Hijaiyah atau Hijaiyyah? 2) Huruf tersebut perlu dieja dengan huruf besar atau kecil? huruf hijaiyah atau Huruf Hijaiyah atau huruf Hijaiyah? Terima kasih.

Buat pengetahuan puan, kata hijaiyah wujud sebagai frasa di bawah entri ‘huruf’ dan dieja sebagai hijaiyah.

Lain-lain30.05.2019
1. Adakah huruf (b) merujuk pada bani Israel huruf kecil atau besar? 2. Dalam kisah Nabi Musa AS, adakah huruf (f) merujuk pada firaun huruf besar atau kecil?Bani Israel dieja dengan menggunakan huruf pangkal huruf b besar (B). Bani Israel tergolong dalam kumpulan kata nama khas tak hidup. Kata nama khas jenis ini terdiri daripada perkataan yang merujuk benda-benda yang khusus tetapi bukan hidup.

Firaun dieja dengan menggunakan huruf pangkal huruf f besar (F). Firaun tergolong dalam kumpulan kata nama khas hidup manusia. 

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2008) halaman 96 - 98.
Ejaan18.07.2024
Apakah nama-nama imbuhan yang mempunyai huruf besar itu seperti meN-, peN- dsb? Dan yang diterbitkan dari imbuhan seperti meN-. Contoh: men-, meng-. Apakah nama proses pertukaran huruf-huruf ini?Awalan meN-, PeN- dan sebagainya disebut alomorf.Tatabahasa24.02.2015
Yang manakah betul? 1. Murid-murid itu diajarkan cara membezakan antara huruf besar dengan huruf kecil. 2. Murid-murid itu diajar cara membezakan antara huruf besar dengan huruf kecil.Ayat yang betul ialah Murid-murid itu diajar cara membezakan antara huruf besar dan huruf kecil. Tatabahasa21.05.2022
Assalamualaikum. Bagaimanakah cara yang betul untuk menulis huruf G dalam huruf besar? Begitu juga dengan huruf K. Saya bertanya kerana terdapat pelbagai variasi dalam penulisan huruf tersebut. Terima kasih.

Pihak DBP tidak mempunyai panduan khusus untuk penulisan huruf. Berdasarkan semakan dan penelitian bahan yang telah dihantar melalui e-mel kepada pihak kami. Perbezaan bentuk pada huruf tersebut merupakan hasil daripada variasi gaya penulisan. Tidak menjadi kesalahan menulis gaya yang berbeza untuk huruf kecuali jika huruf tersebut berubah menjadi huruf yang lain atau tidak boleh difahami.

Lain-lain23.03.2022
Adakah huruf besar digunakan pada huruf “S” bagi dalam ejaan syarikat ABC Sdn Bhd? Dan huruf “K” dalam ejaan Kilang ABC Sdn Bhd?

Menurut buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 96 kata nama khas mendukung makna rujukan khusus pada suatu orang, haiwan, benda, perbadanan (institusi), undang-undang, bangsa, bahasa, pangkat dan seumpamanya. Dalam tulisan, huruf pertama kata nama khas ditulis dengan huruf besar, manakala kata nama am ditulis dengan huruf kecil.

Perkataan “syarikat” ialah kata nama am. Oleh itu, huruf “s” ditulis dengan huruf kecil. Namun sekiranya nama perniagaan/organisasi itu ialah “Syarikat ABC Sdn. Bhd.” yang merujuk kepada kata nama khas, huruf “S” ditulis dengan huruf besar.

Begitu juga dengan kilang ABC Sdn. Bhd. Perkataan “kilang” ialah kata nama am. Oleh itu, huruf “k” ditulis dengan huruf kecil. Namun sekiranya nama perniagaan/organisasi itu ialah “Kilang ABC Sdn. Bhd.” yang merujuk kepada kata nama khas, huruf “K” ditulis dengan huruf besar.


Tatabahasa02.02.2024
12345678910...

Kembali ke atas