Assalamualaikum pihak DBP. Saya ingin mengajukan beberapa soalan. Bagaimanakah prosedur untuk saya menerbitkan kompilasi cerpen bersama DBP? Bolehkah sekiranya dalam kompilasi cerpen yang ingin diterbitkan itu terdiri daripada beberapa orang penulis? Mohon maklum balas dari pihak DBP. Sekian, terima kasih. | Terima kasih saudara Ayin Cartoonist bersahabat dengan DBP. Saudara boleh menghantar manuskrip tersebut ke Pejabat Pentadbiran Jabatan Penerbitan DBP di Aras 10 atau boleh menghubungi pegawai kami Puan Marwati Wahab di talian 03-2147 9515 atau emel marwati@dbp.gov.my untuk keterangan lanjut. Moga ini dapat membantu. Sekian | Lain-lain | 14.04.2014 |
Saya mempunyai beberapa naskah novel dan kompilasi cerpen -cerpen remaja. Bagaimana caranya saya hendak menghantar untuk penilaian pihak tuan. | Waalaikumussalam WBT dan Salam Sejahtera. Saudara boleh menghubungi talian telefon 03-21479000 dan disambungkan ke bahagian yang sesuai dengan manuskrip Saudara, iaitu Bahagian Buku Sastera (genre sastera) dan Bahagian Buku Kanak-kanak dan remaja (genre kanak-kanak dan remaja). Terima kasih. | Lain-lain | 23.02.2019 |
Salam Sejahtera, saya ingin bertanyakan soalan berkaitan penerbitan.Adakah pihak DBP menerbitkan kompilasi Cerpen dan Puisi yang di terbitkan oleh Utusan Malaysia? Cerpen dan Puisi tersebut di siarkan pada setiap hujung minggu di dalam Minguan Malaysia.Sekiaranya ada, berapa tahun sekali penerbitannya? Sekian,terima kasih SUHANA ISHAK | Assalamualaikum. Untuk makluman, DBP ada menerbitkan kumpulan cerpen dan kumpulan puisi. Walau bagaimanapun, sekiranya karya tersebut pernah diterbitkan oleh penerbit lain sebelum ini, penulis hendaklah mendapatkan keizinan daripada penerbit yang berkenaan sebelum penulis menghantar manuskrip tersebut kepada DBP untuk diterbitkan. | Lain-lain | 18.04.2013 |
Tuan/Puan, 1. Allah SWT atau Allah S.W.T. ejaan yang betul? 2. Macam mana saya ingin merujuk kepada kompilasi Khidmat Nasihat Bahasa? Sebelum ini saya boleh rujuk di ruangan Carian Kata sahaja (http://prpm.dbp.gov.my/). Sekian, terima kasih. | Ejaan yang betul ialah Allah SWT (tanpa tanda titik). Untuk menggunakan Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP, tuan/puan boleh melayari laman web http://prpm.dbp.gov.my/ dan tuan/puan perlu memasukkan entri yang diingini terlebih dahulu dan klik pautan Khidmat Nasihat Bahasa yang terdapat di sebelah kanan ruangan laman web. | Ejaan | 13.08.2018 |
Selamat sejahtera tuan puan, saya ingin bertanya mengenai perbezaan jenis kata majmuk rangkai kata bebas dengan kata majmuk istilah khusus. Saya keliru dengan kedua-dua jenis kata majmuk ini kerana beberapa sumber rujukan (bahasa Melayu) yang pernah saya baca menyatakan maklumat yang agak berbeza antara satu sama lain. Sebuah buku menyatakan bahawa kata majmuk rangkai kata bebas ialah percantuman kata dasar daripada mana-mana golongan kata manakala kata majmuk istilah khusus merupakan kosa kata khusus bagi sesuatu bidang ilmu dan jawatan seperti lut sinar (contoh bidang ilmu) dan Naib Canselor (contoh jawatan). Namun begitu, beberapa hari lalu saya terbaca dalam satu kompilasi nota BM STPM (Sem 1-3) berbentuk PDF yang menyatakan kata majmuk rangkai kata bebas terdiri daripada umum dan gelaran. Contohnya, alat tulis (umum), Naib Canselor, dan Raja Muda (gelaran). Kata majmuk istilah khusus pula hanya terdiri daripada kosa kata khusus bagi sesuatu bidang ilmu. Sumber-sumber rujukan dalam internet yang saya juga baca menyatakan maklumat yang berbeza-beza. Hal ini membuatkan saya keliru. Yang mana satukah maklumat yang betul dan boleh digunakan pada masa kini? Apakah perbezaan di antara kata majmuk rangkai kata bebas dengan kata majmuk istilah khusus? Saya ingin memohon bantuan pihak DBP untuk menyelesaikan kekeliruan saya ini. Segala kerjasama dan perhatian daripada pihak DBP amatlah saya hargai. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa Dewan menerangkan kata majmuk ialah kata yang dihasilkan melalui proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Tidak ada pembahagian kata majmuk istilah khusus dan kata majmuk rangkai kata bebas kerana dalam bentuk penulisan umum kata tersebut berfungsi sebagai kata majmuk, manakala dalam penulisan ilmiah yang khusus kepada bidang tertentu kata tersebut dianggap sebagai istilah. Kami berpandangan pembezaan ini berdasarkan konteks penggunaannya, kata majmuk rangkai kata bebas digunakan dalam konteks umum, manakala kata majmuk istilah khusus digunakan dalam wacana ilmiah yang berkaitan dengan peristilahan. | Tatabahasa | 24.05.2020 |