Mana satu yang paling tepat penggunaannya sama ada MENGHENDAKI atau MENGKEHENDAKI? | Saudara Jamdi, Perkataan mengkehendaki wujud dan sama maknanya dengan mengingini. Manakala perkataan menghendaki merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud hendak (mahu) akan, mengingini, memerlukan. Sila kemukakan ayat yang lengkap untuk tujuan penyemakan. | Makna | 05.10.2012 |
Merujuk kepada lampiran yang disertakan, yang diambil dari buku aktiviti Sains Tahun 3, mohon jelaskan dengan lebih terperinci maksud soalan pada gambar yang dibulatkan. 1) Adakah soalan mengkehendaki kaedah mengukur isipadu cecair di dalam kotak? atau 2) Adakah soalan mengkehendaki kaedah mengukur isipadu kotak minuman? | Soalan tersebut memerlukan anda menyata kaedah yang sesuai untuk mengukur sukatan atau ukuran ruang yang dipenuhi oleh sesuatu jisim seperti pepejal, cecair atau gas dalam sesuatu bekas. | Lain-lain | 06.05.2020 |
Salam dan terima kasih dia tas jawaban yang lalu. Saya masih banyak kemusykilan lagi. 1. wujudkah perkataan mengkehendaki atau tidak? masalah dengan imbuhan meng --- i 2. Bagaimana dengan perkataan berkehendakkan? Adakah kedua-duanya membawa maksud yang sama, want atau mahu dalam konteks yang formal. tolong jelaskan. 3. Adakah betul istilah pemunya proses bagi Process Owner? Terima kasih | 1. Perkataan mengkehendaki wujud dan sama maknanya dengan mengingini 2. Perkataan berkehendakkan boleh digunakan yang bermaksud berkehendak akan, atau memerlukan. 3.Padanan Process Owner ialah pemunya proses atau pemilik proses, walau bagaimanapun terjemahan ini disesuaikan mengikut konteks penggunaannya. | Tatabahasa | 27.08.2010 |
Assalamualaikum, boleh nyatakan apakah cabaran-cabaran yang dihadapi oleh DBP dalam memertabatkan bahasa Melayu di Malaysia? dan apakah cabaran yang paling utama sehingga mengkehendaki DBP meneruskan program-program memertabatkan bahasa Melayu terutama sekali di bawah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera? Terima Kasih. | Banyak cabaran yang dihadapi oleh DBP khususnya dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di negara ini. Antara faktor utama ialah isu globalisasi yang mementingkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pelbagai ranah kehidupan. Ditambah pula, dengan kewujudan institusi pendidikan swasta yang seolah-olah meminggirkan bahasa Melayu dalam sistem pendidikannya. Oleh itu, DBP mengharapkan pihak yang berwewenang perlu memahami dan komited dalam menjayakan dasar bahasa negara. Apatah lagi bahasa Melayu telah disepakati sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Untuk maklumat lanjut, tuan perlu membuat kajian dan pembacaan yang banyak. Soalan yang berbentuk tugasan sebegini tidak dapat diselesaikan dalam ruang yang terhad ini.
| Lain-lain | 17.03.2014 |
Merujuk kepada pertanyaan saya yang dihantar pada tarikh 16/11/17 dan telah menerima jawapan balas dari Khidmat Nasihat DBP menerusi email pada 24/11/17. Email dari DBP mengkehendaki saya merujuk lampiran untuk melihat jawapan balas tetapi saya tidak menemui sebarang lampiran yang disertakan dengan email tersebut. Saya telah cuba untuk memaklumkan hal ini menerusi email dengan alamat email seperti jawapan balas yang diterima tetapi email tidak dapat dihantar. Dengan ini saya memohon pihak DBP untuk menghantar semula email jawapan balas. Terima kasih atas segala kerjasama pihak DBP. | Mohon maaf atas kesilapan tersebut dan pihak kami akan meng-e-melkan lampiran dengan kadar yang segera. | Lain-lain | 27.11.2017 |
Assalamualaikum. Jika dirujuk khidmat nasihat tentang ejaan atlet dan atlit, dikatakan bahawa ejaan atlet ialah ejaan yang tepat. Namun demikian, mengapakah ejaan atlit masih terakam di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (halaman 88) ? Benar ada anak panah yang mengkehendaki pembaca untuk merujuk atlet (atlit->atlet) di dalam kamus tetapi hal ini telah mengelirukan pembaca kerana selagi entri atlit wujud di dalam kamus, maka masyarakat beranggapan bahawa atlit ialah ejaan yang sah. Sekiranya atlit ialah ejaan yang salah, ada baiknya dipadam sahaja daripada Kamus Dewan. Mohon pencerahan. Terima kasih. | Ejaan yang betul ialah "atlet" dengan sebutan e taling. Ejaan ini telah digunakan dalam Kamus Dewan Edisi Kedua yang diterbitkan pada tahun 1986. Atlet diambil dan melalui penyesuaian ejaan daripada bahasa Inggeris athlete. Tanda anak panah bererti lihat, iaitu lihat perkataan di hadapan. Walau bagaimanapun, kami mengambil maklum akan cadangan yang dikemukakan oleh tuan untuk penambahbaikan pada masa akan datang. | Ejaan | 11.12.2019 |
Tuan, saya ingin menanyakan bahawa sama ada Kamus Dewan tidak bersifat baku, manakala Kamus Pelajar lebih bersifat baku? Maklumat ini saya dapat daripada kiriman pengikut laman web Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Facebook. Menurutnya, Kamus Dewan hanya bertugas mencatat segala perkataan yang ada dalam masyarakat, jadi ada ayat yang tidak mematuhi tatabahasa serta ada dialek bahasa yang tidak sesuai untuk kita. Dia juga berkata bahawa jika hendak merujuk bahasa Melayu yang baku, rujuk Kamus Pelajar. Pada saya, saya mengkehendaki bahasa Melayu yang baku kerana bahasa Melayu baklulah yang hendak saya pelajari, bukan bahasa Melayu yang mengikut kebiasaan masyarakat tetapi tidak mengikut tatabahasa. Jadi, Kamus Pelajar terbitan DBP lebih baiklah jika hendak membuat pilihan? | Saudara perlu merujuk kedua-dua kamus, iaitu Kamus Dewan dan Kamus Pelajar apabila hendak membuat rujukan tentang bahasa Melayu, khususnya aspek makna perkataan dan penggunaannya. Kamus merakamkan apa-apa juga perkataan yang digunakan oleh masyarakat. Dalam hal yang lebih terperinci, seperti tatabahasa, buku Tatabahasa Dewan hendaklah menjadi sumber rujukan utama. | Tatabahasa | 08.12.2014 |