"Pentafsiran" atau "Penafsiran", yang mana yang betul atau kedua-dua boleh digunakan mengikut konteks ayat? | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) ejaan yang betul ialah pentafsiran. Pentafsiran bermaksud hal atau perbuatan mentafsirkan sesuatu. Contoh penggunaan: a. Syarahan ini ditumpukan kepada pentafsiran dan penulisan sejarah dalam bahasa Melayu. b. Pentafsiran data memerlukan kaedah statistik. Kata mentafsirkan (kata pasif: ditafsirkan, tafsirkan) pula bermaksud: 1. menerangkan, menjelaskan atau membuat tanggapan tentang (sesuatu kejadian, maklumat dan lain-lain). Contoh penggunaan: a. Teori ini mentafsirkan pembelajaran sebagai perubahan dalam tingkah laku. b. Istilah filem dan perfileman sering ditafsirkan secara sempit oleh masyarakat umum. 2. menerangkan, menjelaskan atau merungkaikan maksud (ayat al-Quran, hadis dan sebagainya). Contoh penggunaan: a. Ulama ini telah mengetengahkan kaedah-kaedah mentafsirkan al-Quran supaya mudah difahami dan dapat dijadikan panduan. b. Sebenarnya perkataan al-yaqin dalam ayat tersebut ditafsirkan oleh semua mufasirin yang muktabar sebagai kematian.
| Ejaan | 02.01.2025 |
Apakah perbezaan antara perkataan tafsiran, pentafsiran, dan penafsiran dari segi makna dan penggunaannya? Ketiga-tiga perkataan ini dilihat sama maknanya dan bebas tempat penggunaannya. | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud "tafsiran" ialah "penjelasan (ayat-ayat Quran), tafsir, hasil mentafsirkan, pengertian atau pendapat", maksud "pentafsiran" pula ialah "perihal (perbuatan) mentafsirĀkan (sesuatu), dan penafsiran atau perihal menaksir" manakala "penaksiran" bermaksud "perihal menaksir". Maka kesemua perkataan ini boleh digunakan mengikut konteks ayat yang bersesuaian. | Tatabahasa | 20.08.2022 |
apakah perbezaan di antara penafsiran dengan pentaksiran? Yang mana satu betul penggunaannya? | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, kedua-dua "pentaksiran" dan "penaksiran" mempunyai maksud yang sama. Oleh itu, kedua-duanya adalah betul dan boleh digunakan. | Makna | 20.08.2014 |
Puan/Tuan, Sila Tuan/Puan perjelaskan ayat aktif yang manakah yang betul? 11) Isikan air di dalam botol plastik. 1b) Isi air di dalam botol plastik. 1c) Isikan botol plastik dengan air. 2a) Lukis garis untuk memadankan perkataan dengan maksudnya. 2b) Lukiskan garis untuk memadankan perkaataan dengan maksudnya. 3a) Ulang langkah A dan B menggunakan bahan lain. 3b) Ulangi langkah A dan B menggunakan bahan lain. 4a) Langkah menjimatkan air 4b) Langkah penjimatan air 5a) Menjalani kehidupan harian 5b) Menjalankan kehidupan harian 6a) Mengalami selesema 6b) Menghidap selesema 6c) Mendapat selesema 7a) Apakah Jisim? 7b) Apakah itu Jisim? 8a) Penafsiran impuls oleh otak kita 8b) Pentafsiran impuls oleh otak kita Sekian, terima kasih | Yang betul dan gramatis adalah seperti yang berikut: 1. Isi air ke dalam botol plastik. 2. Lukis garis untuk memadankan perkataan dengan maksudnya. 3. Ulangi langkah A dan B menggunakan bahan lain. 4. Langkah-langkah penjimatan air 5. Menjalani kehidupan harian 6. Menghidap selesema 7. Apakah Jisim? 8. Pentafsiran impuls oleh otak kita | Tatabahasa | 07.11.2011 |
apakah bezanya di antara perkataan "kenyataan", "penyataan" dan "pernyataan"? Sekiranya saya ingin menterjemah perkataan bahasa Inggeris "statement". istilah bahasa Melayu manakah yang paling tepat untuk digunakan? | Kenyataan bermaksud perihal nyata, kejelasan atau keterangan, penyataan bermaksud perbuatan menyatakan, dan pernyataan bermaksud kata-kata dan sebagainya yang menyatakan (mengumumkan) sesuatu, pemberitahuan, pemakluman dan pernyataan juga bermaksud kenyataan rasmi yang di dalamnya terkandung gagasan, hasrat, isu dsb tentang sesuatu perkara. Ketiga-tiga perkataan ini diterjemhkan kepada bahasa Inggeris sebagai statement, oleh itu bahasa Melayu telah memberi penafsiran yang lebih banyak dan digunakan mengikut kesesuaian konteks penggunaannya. | Makna | 16.11.2009 |
perbezaan makrolinguistik dengan mikrolinguistik | Mikrolinguistik merupakan bidang teoretis dalam linguistik. Cabang ini dibagi menjadi dua iaitu umum dan untuk bahasa-(bahasa) tertentu. Yang bersifat umum meliputi teori-teori linguistik yang terdiri dari fonologi (sistem bunyi bahasa), struktur (morfologi ‘tata kata’ dan sintaksis ‘tata kalimat’), serta sistem makna (semantik). Selain itu, ada linguistik deskriptif dan linguistik historis komparatif. Bidang teoretis untuk bahasa-(bahasa) tertentu meliputi linguistik deskriptif dan linguistik historis komparatif. Makrolinguistik dibagi menjadi dua kelompok. Kelompok pertama merupakan bidang interdisipliner dan kelompok kedua adalah bidang linguistik terapan. Cabang-cabang linguistik yang termasuk dalam bidang interdisipliner adalah sosiolinguistik, psikolinguistik, neurolinguistik, etnolinguistik, kriminolinguistik, fonetik (akustik dan auditoris), stilistika, filsafat bahasa, filologi (mempelajari bahasa, kebudayaan, pranata dan sejarah suatu bangsa melalui naskah-naskah lama), semiotika (ilmu tentang tanda), epigrafi (ilmu tentang tulisan kuno pada prasasti-prasasti), serta paleografi (penafsiran tulisan kuno). Kelompok bidang makrolinguistik kedua adalah bidang-bidang terapan, yaitu pengajaran bahasa, penerjemahan, leksikografi (linguistik terapan yang mencakup metode dan teknik penyusunan kamus), fonetik terapan, sosiolinguistik terapan, pembinaan bahasa internasional, pembinaan bahasa khusus, linguistik medis, grafologi, mekanolinguistik (linguistik komputasi, bidang linguistik terapan yang mencakup penggunaan linguistik untuk ilmu komputer dan usaha untuk membuat mesin penerjemahan; memanfaatkan komputer dalam penelitian bahasa). Untuk maklumat lanjut sila rujuk laman berikut: http://prasastibahasa.com/?p=19. cakrabuwana.files.wordpress.com/.../linguistik-klmpok-3-rombel-3.pdf | Makna | 22.10.2009 |